Subsidi Minyak: Najib Buli Rakyat

Harga minyak RON95 yang tidak naik sejak sebulan lalu menimbulkan banyak tanda tanya di kalangan orang ramai, terutamanya dalam keadaan harga minyak mentah dunia telah naik melambung.

Harga minyak mentah telah melonjak naik dari USD67.64 setiap tong pada 2 April iaitu sebelum parlimen dibubarkan, kepada USD75.17 setiap tong semalam (iaitu peningkatan 11% dalam tempoh sebulan).

5 - 01 - 1

Anehnya, harga RON95 yang ditetapkan secara mingguan oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak tidak pula menunjukkan perubahan dan kekal pada harga RM2.20 seliter untuk RON95 bagi empat minggu berturut. Itu memberi gambaran bahawa Dato’ Seri Najib secara senyap-senyap telah memperkenalkan kembali subsidi minyak semata-mata untuk menang dalam pilihanraya ini sedangkan beliau juga yang cukup memusuhi subsidi minyak sebelum ini.

Saya telah membuat kiraan berdasarkan formula penetapan harga yang digunakan kerajaan sendiri untuk melihat berapa harga minyak yang sebenarnya sejak 4 minggu yang lalu. Harga minyak mentah dan kadar tukaran wang diperolehi dari sumber Bloomberg, sementara harga rujukan MOPS95 yang digunakan kerajaan diambil dari penerbitan Australian Institute of Petroleum.

Kiraan itu ditunjukkan di dalam jadual seperti berikut:

5 - 01 - 2

Harga-harga RON95 yang sepatutnya ditetapkan berdasarkan dasar pentadbiran Dato’ Seri Najib sendiri adalah seperti berikut:

Minggu 5 April ke 11 April: sepatutnya RM2.29 seliter, iaitu naik 9 sen berbanding RM2.20
Minggu 12 April ke 18 April: sepatutnya RM2.25 seliter, iaitu naik 5 sen berbanding RM2.20
Minggu 19 April ke 25 April: sepatutnya RM2.29 seliter, iaitu naik 9 sen berbanding RM2.20
Minggu 26 April ke 2 Mei: sepatutnya RM2.31 seliter, iaitu naik 11 sen berbanding RM2.20

Berdasarkan formula yang digunakan kerajaan sendiri, harga RON95 esok sepatutnya RM2.38 seliter iaitu naik 18 sen dari harga yang ditetapkan kerajaan.

Sementara saya mengalu-alukan keputusan mengembalikan subsidi untuk mengelakkan kenaikan mendadak harga petrol dan diesel, tindakan memanipulasi penetapan harga minyak mingguan demi meraih undi ini adalah satu tindakan membuli rakyat.

Selama ini, Dato’ Seri Najib membohongi rakyat apabila beliau berdegil mahu menghapuskan subsidi minyak atas alasan kerajaan tidak berkemampuan untuk menanggung lagi subsidi petrol dan diesel. Beliau juga mencanang kononnya menaikkan harga minyak apabila subsidi dihapuskan adalah satu tindakan yang bertanggungjawab.

Apabila Dato’ Seri Najib sendiri yang menggunakan kaedah subsidi untuk menstabilkan harga minyak sepanjang musim pilihanraya ini walaupun harga minyak mentah dunia naik melambung, itu mengesahkan kebenaran pendirian Pakatan Harapan bahawa harga minyak boleh diturunkan dan distabilkan melalui subsidi.

Tindakan menarik balik dan memberikan kembali subsidi minyak sesuka hati ikut kemahuan Perdana Menteri adalah satu tindakan yang membuli rakyat. Apabila rakyat tidak lagi boleh bergantung kepada satu peraturan yang tetap kerana ia diubah-ubah mengikut kepentingan Dato’ Seri Najib, ia samalah seperti rakyat dibuli oleh kerajaan kerana nasib rakyat bergantung kepada cita rasa kerajaan pada ketika itu.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.