Najib Perlu Hentikan Kutip Cukai Tersembunyi Seperti IMAMS Dan Cukai Penumpang

Dua kontroversi terkini yang memalukan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah berpunca dari keghairahan Kerajaan Persekutuan mengutip cukai-cukai tersembunyi untuk membiayai program yang sememangnya tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Pengenalan IMAMS yang terpaksa dibatalkan dalam tempoh kurang 48 jam sebenarnya berpunca dari kegagalan pihak berkuasa mengawal selia ejen-ejen pakej umrah sehingga menyebabkan ada orang ramai yang tertipu. Lebih teruk lagi, ada juga penipuan pakej umrah ini yang melibatkan pertubuhan yang ada kaitan dengan pentadbiran Umno sendiri.

Sepatutnya ini merangsang pentadbiran Dato’ Seri Najib untuk segera mengambil tindakan melalui jabatan-jabatan sedia ada di bawah bidang kuasa beliau sendiri seperti JAKIM dan Tabung Haji untuk mengelakkan penipuan pakej umrah.

Namun yang berlalu adalah sebaliknya – Kerajaan Persekutuan melantik sebuah syarikat swasta melalui sistem konsesi dengan memberi anugerah untuk mengutip cukai tersembunyi dari orang ramai yang ingin menjalankan ibadah umrah. Bayaran RM90 yang dikatakan untuk menampung caj perkhidmatan penyediaan sistem untuk memantau pakej umrah serta insuran yang dikenakan (ditambah pula dengan GST ke atas kedua-dua bayaran tadi) sebenarnya adalah cukai tersembunyi yang dikutip oleh pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Sedangkan tugas untuk memastikan tidak berlaku penipuan di dalam tawaran pakej umrah itu memang tugas Kerajaan Persekutuan. Ada beratus-ratus kakitangan Kerajaan Persekutuan di bawah JAKIM dan Jabatan Perdana Menteri yang boleh sahaja diarahkan oleh Dato’ Seri Najib untuk memantau dan menguatkuasakan undang-undang terhadap operator umrah yang menipu.

Kalau pun perlu ada sistem perisian baru yang dibangunkan khusus bagi tujuan memantau, peruntukan ribuan bilion kepada Jabatan Perdana Menteri sepatutnya cukup untuk menampung perbelanjaan itu tanpa perlu mengutip cukai tersembunyi dari rakyat.

Begitu juga dengan kontroversi mengenai cukai penumpang (“passenger service charge” atau PSC) yang lebih mahal yang mahu dikenakan ke atas pengguna KLIA2 walaupun lapangan terbang itu sepatutnya adalah untuk penerbangan kos rendah.

Saya terkejut membaca laporan mengenai kenyataan Suruhanjaya Penerbangan Awam Malaysia (MAVCOM) bahawa Kerajaan Persekutuan terpaksa menaikkan cukai penumpang di KLIA2 dari RM50 setiap orang kepada RM73 setiap orang (bagi setiap penerbangan antarabangsa) untuk mengelakkan Kerajaan Persekutuan membiayai sekitar RM60 juta kos “subsidi”.

(Baca laporan BERNAMA di https://www.malaysiakini.com/news/405729)

Saya bersuara pada hari ini untuk menghalang Kerajaan Persekutuan menambah satu lagi bentuk cukai tersembunyi yang boleh dikenakan ke atas penumpang berikutan ura-ura penumpang akan dikenakan RM35 seorang bagi pelaksanaan Advance Passenger Screening System (APSS) bertujuan mengurangkan risiko serangan keganasan dengan memantau pergerakan keluar-masuk di lapangan terbang.

Sama seperti tanggungjawab menghalang berlaku penipuan dalam pakej umrah yang ditawarkan kepada orang ramai, tanggungjawab menjaga keselamatan di lapangan terbang juga adalah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan.

Dato’ Seri Najib sudah mencapai tahap kegilaan baru jika setiap tanggungjawab yang memang perlu dipikul oleh Kerajaan Persekutuan hanya mahu dilaksanakan dengan mengutip cukai tersembunyi, seperti cukai melalui IMAMS, cukai penumpang dan selepas ini mungkin cukai APSS.

Lebih teruk lagi apabila menteri kesayangan Dato’ Seri Najib iaitu Dato’ Seri Rahman Dahlan membelanjakan RM37 juta untuk menganjurkan pameran di Dataran Merdeka yang membodek dan mengagung-agungkan Perdana Menteri?

Jika Putrajaya ada RM37 juta untuk menganjurkan pameran, kenapa pula Putrajaya perlu mengutip cukai tersembunyi melalui IMAMS, PSC dan selepas ini cukai APSS untuk menjalankan tugas yang memang tugas Kerajaan Persekutuan?

Saya suka mengingatkan rakyat Malaysia bahawa jika BN menang sekali lagi dalam PRU14, bukan sahaja GST akan naik dan lebih banyak denda cukai pendapatan akan dikenakan, ada kemungkinan besar cukai-cukai seperti IMAMS, PSC, APSS dan segala jenis cukai tersembunyi akan terus diperkenalkan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Najib Perlu Hentikan Kutip Cukai Tersembunyi Seperti IMAMS Dan Cukai Penumpang”

  1. Kepada YB. Perdana Menteri Dato’ Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak,

    Di sini saya ingin mengatakan bahawa BN kalah bukanlah koncern BN tak baik, khas nya MCA kerana kebanyakan Ahli MCA cabangan bawah, pemimpinnya sudah berjaya sombong dan tidak berkhimat dan ular, olih itu mengakibatkan ramai Malay, Cina dan India naik marah dan kalah PRU 13 teruk

    Contohnya yang saya tahu Pengerusi MCA GOMBAK YIP KUM FOOK dan Permuda MCA GOMBAK YIP JIUN HANN, mereka ular sampai wang Tokong pun berani telang dan halau Sami Buddha keluar dari tokong, orang ramai benci MCA.

    Apabila mereka tolong Donald Lim Siang Chai di Selayang, orang ramai salah sangka Donald Lim sama satu kaki……

    Sekira MCA cuba ingin memulit nama baik dan sokongan olih orang ramai semula, pemimpin seperti ini patut di kikis dengan bersih dalam parti, Kalau tidak sampai bila pun susah memulit semangat

    Sekian, Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.