Najib Enggan Dedahkan Pecahan Kutipan LHDN, Sembunyikan Jumlah Kutipan Denda Dan Faedah Yang Ditanggung Rakyat

Selain dari cukai GST, golongan berpendapatan sederhana kini ditekan pula dengan cukai pendapatan tambahan yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Saya telah membawa perkara ini sejak pertengahan tahun ini tetapi kurang dihiraukan oleh pihak kerajaan.

Kebimbangan saya ialah keputusan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN akan menyebabkan LHDN terpaksa memenuhi sasaran kutipan tertentu kerana pendapatan (dirujuk di dalam dokumen bajet sebagai fii) LHDN tertakluk kepada berapa jumlah cukai yang dikutip oleh LHDN. Contohnya, bagi 2018 pentadbiran Dato’ Seri Najib telah memperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion sebagai fii atas khidmat LHDN mengutip cukai dari orang ramai, seperti helaian bajet yang berikut:

12-06-2017-6.png

Baru-baru ini pada 27 November 2017, akhbar perniagaan The Edge melaporkan (capaian di http://www.theedgemarkets.com/article/irb-launches-operasi-mega-reach-higher-tax-target-rm1347b-2018) bahawa LHDN telah melancarkan Ops Mega untuk mengutip cukai dari orang ramai dan syarikat bagi tujuan memenuhi sasaran kutipan cukai sebanyak RM134.7 bilion bagi 2018. Ini bermakna, LHDB dibayar sebanyak 1.63% dari jumlah kutipan cukai yang dipungut bagi pihak kerajaan.

12-06-2017-7

Sebab itu saya telah melahirkan kebimbangan sebelum ini mengenai keputusan dan tindakan Dato’ Seri Najib mengkorporatkan LHDN dengan mengambil kaedah memberi insentif kewangan sebagai komisen kepada jumlah cukai yang dikutip. Lebih-lebih lagi apabila keperluan kewangan di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib adalah jauh lebih tinggi yang menyebabkan LHDN terpaksa berusaha mengutip sasaran cukai yang bertambah tinggi setiap tahun.

Dalam keadaan ekonomi tidak berkembang pada kadar yang sepadan dengan kekayaan Malaysia dan gaji pekerja tidak naik, saya telah suarakan sebelum ini kebimbangan sekiranya LHDN lebih cenderung untuk mengenakan denda dan mengutip faedah atas cukai-cukai yang didakwa tidak dibayar di tahun-tahun lepas. Sementara syarikat besar mempunyai wang untuk membayar peguam dan akauntan, rakyat biasa tiada pilihan kecuali membayar sahaja jika tidak mahu faedah dan denda terus meningkat setiap tahun.

Saya telah mengemukakan satu soalan di Parlimen baru-baru ini untuk mengenal pasti sama ada peningkatan kutipan cukai oleh LHDN adalah disumbangkan oleh keuntungan syarikat/gaji pekerja yang lebih tinggi atau disebabkan lebih banyak denda atau faedah yang dikenakan kepada rakyat.

Sepatutnya soalan saya ini dapat dijawab dengan mudah, tetapi jawapan yang diberikan oleh Dato’ Seri Najib adalah panjang berjela tanpa sedikit pun menjawab soalan tersebut:

12-06-2017-2

12-06-2017-3

12-06-2017-4

Akhirnya, Dato’ Seri Najib tidak mahu mendedahkan pecahan mengikut cukai sebenar yang dikutip, denda yang dikenakan dan faedah yang dikutip atas denda dan cukai yang lewat dibayar. Saya yakin ini berpunca kebimbangan Dato’ Seri Najib bahawa rakyat akan menjadi bertambah marah sekiranya peningkatan kutipan cukai oleh LHDN sebenarnya bukan disebabkan oleh pertambahan pendapatan rakyat/keuntungan syarikat sebaliknya denda dan faedah yang dikenakan untuk memenuhi sasaran kutipan cukai rakyat.

Saya akan melancarkan satu laman online untuk membolehkan orang ramai yang merasa dianiaya dengan tuntutan denda dan faedah yang tidak berpatutan dari LHDN untuk mendapatkan khidmat akauntan sukarela membantu rakyat biasa yang tidak mampu membayar peguam atau akauntan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

 Facebook | Rafizi Ramli

https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

 Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.