INVOKE Sambut Baik Kesudian SPR Benarkan Wakil Calon Tidur Dalam Lokap Jaga Peti Undi

Soal kebebasan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam mengendalikan PRU14 adalah perkara yang merisaukan banyak pihak. Beberapa perkembangan terkini, termasuklah pemindahan pengundi-pengundi yang didaftarkan pada satu alamat yang sama, atau pemindahan pengundi awal di kem tentera yang belum siap, menambahkan lagi kecenderungan rakyat bahawa perkara-perkara ini berlaku untuk memberi kelebihan kepada Umno/Barisan Nasional.

Ada 6 kerusi Parlimen marginal yang keputusannya bakal ditentukan oleh anggota keselamatan yang akan mengundi secara undi awal. Kerusi-kerusi ini adalah:

  1. Teluk Kemang
  2. Lumut
  3. Setiawangsa
  4. Tambun
  5. Merbok
  6. Segamat

Pengundi dari kalangan anggota keselamatan akan membuang undi beberapa hari lebih awal (dirujuk sebagai pengundi awal) dan peti undi itu akan disimpan di balai polis sebelum dikeluarkan untuk dibawa bagi pengiraan pada hari pengundian.

Sebelum ini, ada kerisauan munasabah bahawa proses menyimpan peti undi di balai polis selama beberapa hari tanpa ada wakil dari calon boleh membuka ruang kepada penipuan dan pelbagai manipulasi.

Sebab itu, saya mengalu-alukan kesediaan Suruhanjaya Pilihanraya untuk mengubah prosedurnya bagi membenarkan wakil-wakil calon berada di balai polis sepanjang masa supaya peti-peti undi awal ini tidak dibuka, dipinda atau dimanipulasi. Kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah itu dilaporkan oleh Sinar Harian semalam.

12-06-2017-1

Saya memetik kenyataan Tan Sri Mohd Hashim seperti dilaporkan semalam – “SPR tidak mempunyai halangan jika ada pihak yang mahu tidur bersama tong kertas undi dalam lokap”.

Memandangkan INVOKE dibawah kelolaan saya memang sedang rancak melatih Ejen Tempat Mengundi/Ejen Mengira Undi (PACA) untuk ditempatkan di pusat-pusat mengundi di kerusi marginal di seluruh negara, saya akan mula menyusun supaya ada sukarelawan INVOKE yang menjadi PACA yang akan bertugas menjaga peti undi di dalam lokap sepanjang beberapa hari sebelum pengiraan berlaku, terutamanya di 6 kerusi parlimen marginal di atas.

Saya akan menulis secara rasmi kepada Tan Sri Mohd Hashim untuk menyatakan minat INVOKE untuk menempatkan wakil-wakil calon menjaga peti undi di balai polis, kalau pun mereka terpaksa bermalam di dalam lokap. Saya berharap SPR tidak menarik balik tawaran ini.

Saya juga ingin membawa satu perkara ke perhatian orang ramai iaitu peraturan terbaru SPR yang membenarkan dokumen selain dari kad pengenalan dan pasport untuk dijadikan dokumen pengenalan diri semasa proses mengundi. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh SPR seperti yang ditaklimatkan kepada orang ramai dan terkandung di dalam risalah taklimat SPR.

Saya sertakan petikan dari risalah taklimat SPR mengenai perkara ini:

12-06-2017-5

Saya khuatir tindakan membenarkan (b) resit pengenalan sementara, (d) lesen memandu dan (e) kad kuasa yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak berkuasa kerajaan akan memberi ruang kepada penipuan pilihanraya apabila dokumen pengenalan palsu dalam bentuk (b), (d) dan (e) akan digunakan secara berleluasa.

Untuk mengelakkan kekecohan pada hari pengundian, saya memohon supaya SPR membatalkan peraturan yang memberi kelonggaran kepada dokumen-dokumen pengenalan yang lain dan hanya menerima kad pengenalan dan pasport antarabangsa.

Saya akan menulis kepada SPR secara rasmi esok dan akan diedarkan kepada rakyat agar perkara ini diketahui umum. Saya juga akan bekerjasama dengan JK Kebebasan Pilihanraya PH yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, mantan Pengerusi SPR dan kini Naib Presiden PPBM untuk memastikan SPR tidak menukar peraturan pilihanraya dengan sewenang-wenangnya yang menjejaskan ketelusan dan kebebasan PRU14.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

One thought on “INVOKE Sambut Baik Kesudian SPR Benarkan Wakil Calon Tidur Dalam Lokap Jaga Peti Undi”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.