Petisyen 47 Ahli Parlimen Desak PETRONAS Henti Pelaburan Myanmar

Orang Rohingya yang beragama Islam diiktiraf sebagai kumpulan manusia yang paling tertindas di dunia, mengatasi nasib umat Islam Palestin. Mengikut sejarah, mereka telah menetap di bahagian barat laut Myanmar sejak lebih 400 tahun lalu dan kehadiran mereka dihargai atas kemahiran mereka bersawah padi.

Mereka kini adalah satu-satunya kumpulan manusia yang tidak diiktiraf sebagai rakyat mana-mana negara atau negeri. Mereka juga tidak mempunyai satu organisasi berkerajaan yang kuat untuk mewakili suara dan kebajikan mereka di tanah air mereka sendiri.

Oleh sebab itu mereka mudah menjadi mangsa penindasan. Laporan-laporan pelbagai badan antarabangsa, dari Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hinggalah pertubuhan hak asasi manusia dengan jelas memperincikan kekejaman yang dilakukan terhadap mereka.

Rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama ada tanggungjawab moral untuk menghentikan kekejaman ini, seperti berikut:

i. Malaysia sebagai sebuah negara yang pengaruh ekonomi dan politiknya kuat di rantau ASEAN perlu menjadi pemimpin untuk menghentikan kekejaman yang mencabar rasional dan peri kemanusiaan (“sense of humanity”) mana-mana masyarakat yang tinggi nilai sivik dan peri keadilan (“sense of justice”)

ii. Malaysia yang bercita-cita menjadi 20 negara teratas (“top 20 nations”) dari segi saiz ekonomi dan dagangan di dunia mestilah mengambil sikap kebertanggungjawaban (“accountability”) kepada apa yang berlaku di dalam ruang pengaruhnya, seperti mana yang ditunjukkan oleh negara-negara lain di dalam kelab negara-negara berpengaruh itu. Jika ada tragedi kemanusiaan di rantau ini, maka Malaysia sebagai wakil rantau ini yang mahu menjadi 20 negara teratas dunia itu mestilah bersikap seperti pemimpin yang menyelesaikan masalah, mendamaikan pertelingkahan dan membela yang tertindas

iii. Umat Islam Rohingya adalah tanggungjawab umat Islam Malaysia dan tanggungjawab itu lebih besar berbanding tanggungjawab yang dipikul untuk membela umat Islam Palestin kerana umat Islam Rohingya berada di belakang rumah kita sementara kita ada pengaruh besar yang boleh membela mereka

iv. Kekejaman ke atas orang Rohingya meruncingkan lagi masalah lambakan pelarian, pendatang asing dan jenayah pemerdagangan manusia (“human trafficking”) yang menyumbang kepada lambakan orang asing di Malaysia. Keadaan ini menyempitkan lagi peluang pekerjaan dan sumber awam seperti kesihatan dan pendidikan yang kini perlu dikongsi dengan seberapa ramai mungkin atas dasar kemanusiaan, lalu secara tidak langsung menafikan perkhidmatan pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi yang lebih baik kepada rakyat Malaysia berpendapatan rendah

Masalah sosio-ekonomi yang berkait dengan lambakan pelarian dan mangsa pemerdagangan manusia dari kalangan orang Rohingya boleh menjadikan masyarakat Malaysia bertukar menjadi anti-imigran. Fenomena ini tidak baik kerana masyarakat kita akan lebih pentingkan diri dan bergerak ke arah pandangan-pandangan sayap kanan yang melampau (“extreme right wing views”).

Masalah pelarian dan mangsa pemerdagangan manusia dari kalangan orang Rohingya hanya boleh diselesaikan secara politik di Myanmar, iaitu dengan mengiktiraf bahawa mereka adalah rakyat Myanmar yang sah dan ada hak kemanusiaan yang boleh dilindungi oleh undang-undang.

Sebab itu apabila wakil International Campaign for the Rohingya (http://www.rohingyacampaign.org/) di Malaysia iaitu Puan Tengku Emma menghubungi saya untuk memulakan kempen yang sama di Malaysia, saya bersetuju untuk membantu. Selain saya, enam orang lagi ahli parlimen bersetuju untuk menjadi Penaja Bersama (“Co-Sponsors”) petisyen ini iaitu Dato’ Johari Abdul (Sungai Petani – KEADILAN), Raja Dato’ Kamarul Bahrin Ahmad (Kuala Terengganu – AMANAH), Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad (Pasir Putih – PAS), Saudara Khalid Samad (Shah Alam – AMANAH) dan Saudara G Manivanan (Kapar – KEADILAN).

Petisyen ini melahirkan hasrat 47 ahli-ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, PAS dan Warisan (setakat pagi ini) agar PETRONAS menarik diri dari semua pelaburan di Myanmar sehinggalah Kerajaan Myanmar mengiktiraf orang Rohingya sebagai rakyat yang ada hak di sisi undang-undang dan sekali gus menghentikan pembunuhan beramai-ramai (“genocide”) orang Rohingya.

Petisyen Ahli Parlimen & NGO – Petronas Rohingya

PETRONAS mempunyai beberapa pelaburan di Myanmar seperti berikut:

1. Hanya satu projek sedang mengeluarkan hasil hidrokarbon iaitu projek lapangan gas Yetagun di Laut Andaman. Projek ini mulanya diusahakan oleh Texaco dan Premier Oil, yang masing-masing menarik diri dalam tahun 1997 dan 2002. PETRONAS hanya menyertai projek ini setelah syarikat Amerika Syarikat itu menarik diri, dipercayai akibat tekanan Kerajaan Amerika Syarikat dan pemegang saham yang berkempen untuk Aung Saan Suu Kyi.

Projek gas Yetagun hanya berbaki 12 tahun lagi (sumber gas dijangka habis menjelang 2030) dan pengeluaran gas sudah pun dilaporkan turun dengan mendadak, iaitu dari 450 mmcfd kepada 360 mmcfd iaitu penurunan 20% (rujuk: http://arakanoilwatch.org/oil-giants-launch-myanmar-exploration/ dan http://www.offshore-technology.com/projects/yetagun-gas-and-condensate-field/ untuk maklumat projek).

Harga gas juga adalah rendah dalam keadaan pasaran sekarang dan tidak diikat secara berkadar langsung dengan kenaikan harga minyak mentah kerana dimeterai melalui perjanjian bekalan gas asli bagi jangka masa panjang yang ada formulanya sendiri.

Projek ini juga mempunyai pelbagai cabaran operasi kerana gas dibekalkan melalui saluran paip gas dasar laut dan atas tanah yang pernah mengalami kebocoran dalam tahun 2008.

2. PETRONAS memenangi bidaan bagi blok baru iaitu M-12, M-13 iaitu M-14 dan telah menggerudi telaga minyak ujian (fasa “exploration” atau “development”) setakat akhir 2015. Saya belum dapat apa-apa maklumat blok-blok baru ini telah menghasilkan minyak atau gas yang mendatangkan hasil kepada PETRONAS.

3. Perniagaan minyak pelincir yang sumbangan kepada pendapatan PETRONAS adalah jauh lebih kecil

Saya telah mengutus satu surat kepada Presiden/CEO PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin untuk membolehkan delegasi ahli parlimen yang menandatangani petisyen ini berjumpa dengan beliau dan pengurusan PETRONAS untuk membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut.

PETRONAS – IFR – Request to Meet Petronas Management

Petisyen pada hari ini adalah langkah pertama. Kempen ini akan terus dibina supaya tekanan masyarakat antarabangsa (yang bermula dengan kempen di Amerika Syarikat dan di Malaysia) akan membawa kepada pengiktirafan hak kewarganegaraan orang Rohingya.

Saya sertakan petisyen yang ditandatangani oleh 47 orang ahli Parlimen dari Pakatan Harapan, PAS dan Warisan. Saya menyeru supaya lebih ramai ahli parlimen lain dari semua parti untuk menyertai petisyen ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Petisyen 47 Ahli Parlimen Desak PETRONAS Henti Pelaburan Myanmar”

  1. yang paling penting kenapa? kenapa bangladesh mahupun myanmar tidak mahu mengiktiraf mereka ini sebagai warga negara atau penduduk yang sah?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.