Laporan Polis Berkenaan Pelaburan Hartanah Felda di London

Saya bernama Mohd Rafizi Ramli (770914-11-5025) adalah Ahli Parlimen bagi kerusi Pandan, Selangor. Dengan latar belakang sebagai seorang bekas juru audit dan akauntan bertauliah, saya selalu memberi perhatian kepada prestasi kewangan badan-badan kerajaan milik rakyat. Sejak Disember 2016, saya telah memberikan perhatian meneliti prestasi kewangan Felda dan semua syarikat yang berkait dengannya.

Saya ada membaca Laporan Tahunan Felda 2015 di Pusat Khidmat Parlimen Pandan pada 4 Oktober 2017 untuk menganggarkan kedudukan aliran tunai Felda yang terkini. Bermula dari situ, saya telah menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pelaburan-pelaburan hartanah yang telah dibuat oleh anak-anak syarikat Felda sejak 2013.

Saya percaya telah berlaku banyak pelanggaran undang-undang (sama ada sengaja atau tidak sengaja) yang berbentuk jenayah yang perlu disiasat di bawah pelbagai peruntukan undang-undang seperti berikut:

1. ANAK-ANAK SYARIKAT YANG MEMEGANG HARTANAH SEPERTI YANG DIISYTIHARKAN DI DALAM PENYATA KEWANGAN FELDA YANG DIAUDIT BAGI 2015 TIDAK WUJUD

– Saya merujuk kepada muka surat 293 penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015, di Nota 44(a) yang menyenaraikan semua anak-anak syarikat Felda di seluruh dunia.

– Penyata kewangan diaudit itu mengisytiharkan bahawa salah satu anak syarikat Felda di UK adalah FIC Global Ltd yang ditubuhkan di United Kingdom bagi tujuan pegangan pelaburan hartanah dan dimiliki sepenuhnya oleh Felda.

– Penyata kewangan diaudit itu (di muka surat 281, Nota 39(d)(viii)) mengisytiharkan bahawa satu pinjaman sebanyak £17.5 juta telah diambil dan dicagarkan kepada pegangan saham Felda di dalam FIC London Hotel Pvt. Ltd. (“FICLH”), anak syarikat milik penuh Felda yang memiliki Grand Plaza Kensington Hotel.

– Walau bagaimana pun, Nota 44(a) di muka surat 293 yang diwajibkan menyenarai SEMUA anak-anak syarikat Felda di seluruh dunia tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai FIC London Hotel Pvt. Ltd. (“FICLH”) ini.

– Penyata kewangan Felda yang diaudit memberi gambaran bahawa FIC London Hotel Pvt. Ltd. (“FICLH”) bukan anak syarikat Felda dan FIC Global Ltd adalah anak syarikat milik penuh Felda yang ditubuhkan di United Kingdom.

– Saya telah membuat carian di dalam Companies House di United Kingdom dan mendapati:

a) FIC Global Ltd tidak wujud sebagai syarikat yang ditubuhkan di United Kingdom, sebaliknya adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island (BVI)

b) FIC London Hotel Pvt. Ltd. tidak wujud sebagai syarikat yang ditubuhkan di United Kingdom, sebaliknya adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island (BVI)

– Penemuan ini menunjukkan berlaku jenayah apabila pengisytiharan yang dibuat di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit adalah tidak benar apabila kedua-dua buah syarikat itu sama ada tidak wujud dan/atau bukanlah milik Felda.

– Segala tindakan bermula dari keputusan pelaburan, penubuhan syarikat-syarikat, pembelian hartanah, urusan statutori dan undang-undang syarikat, penyimpanan rekod yang betul dan pengisytiharan di dalam penyata kewangan boleh disiasat di bawah pelbagai peruntukan di dalam Akta Syarikat, Kanun Keseksaan, Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan pelbagai akta yang lain.

2. HARTANAH YANG DIBELI FELDA DIDAFTARKAN HAKMILIK ATAS SYARIKAT YANG TIDAK WUJUD DAN/ATAU DIRAGUI PEMEGANG SAHAMNYA

– Dari perkara (1), saya terus menyiasat pemilikan hartanah yang dibeli oleh Felda di United Kingdom dengan menyemak geran-geran hakmilik hartanah-hartanah tersebut.

– Saya mendapati geran bagi Grand Plaza Kensington Hotel didaftarkan di atas nama FIC London Hotel Pvt. Ltd. yang tidak wujud di United Kingdom dan kewujudan serta pemilikannya di BVI diragui.

– Carian di BVI Gazette iaitu warta rasmi Kerajaan BVI menunjukkan satu syarikat yang bernama sama telah pun dibatalkan pendaftarannya dalam bulan Mei 2016.

– Ini menimbulkan tanda tanya sama ada Felda masih memiliki hotel itu atau pun hakmiliknya telah terbatal.

– Saya juga mendapati penyata kewangan Felda yang diaudit 2015 mengisytiharkan bahawa anak syarikatnya FIC London Hotel Pvt. Ltd. mempunyai nama asal yang lain iaitu Somellier Limited yang hanya ditukar nama pada 6 Mei 2015 (rujuk muka surat 299, Nota 49(b)).

– Ini bermakna, ada kemungkinan besar syarikat yang bernama FIC London Hotel Pvt. Ltd. yang didaftarkan sebagai pemilik hotel itu pada tarikh Felda membelinya iaitu 5 November 2014 bukanlah syarikat sama yang diisytiharkan oleh Felda sebagai anak syarikatnya.

– Penemuan ini menunjukkan ada kemungkinan besar hartanah Felda yang dibeli pada harga sekitar RM330 juta tidak pernah didaftarkan atas nama syarikat yang dimiliki oleh Felda.

– Oleh itu, segala tindakan bersabit pembelian dan pendaftaran hartanah ini bermula dari keputusan pelaburan, penubuhan syarikat-syarikat, pembelian hartanah, urusan statutori dan undang-undang syarikat, penyimpanan rekod yang betul dan pengisytiharan di dalam penyata kewangan boleh disiasat di bawah pelbagai peruntukan di dalam Akta Syarikat, Kanun Keseksaan, Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) dan pelbagai akta yang lain.

Sekian, saya membuat laporan.

One thought on “Laporan Polis Berkenaan Pelaburan Hartanah Felda di London”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.