Happy Deepavali, Deepavali Vaalthukal

Selamat menyambut perayaan Deepavali kepada mereka yang merayakan. Minta maaf lambat post, #Creative INVOKE Malaysia bercuti dan saya tidak sampai hati mengacau mereka di hari cuti.

Jadi saya kena buat design sendiri ?

Saya ada ramai kenalan berbangsa India sejak kecil lagi.
Hubungan paling erat ialah dengan tukang gunting rambut sejak saya di Tingkatan 1 di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Tukang gunting rambut ada beberapa kedai saja. Banyaknya ialah dari kalangan pakcik-pakcik India.

Perkara biasa kalau di hujung minggu, kedai pakcik tukang gunting rambut ni penuh dengan kami budak-budak sekolah.
Di zaman 90an pun, masih ramai kakitangan kerajaan yang bekerja di dewan makan dari kalangan pakcik-pakcik India. Saya besar di Kolej Melayu dulu dengan Uncle David (yang dah nak bersara semasa saya di Tingkatan 1), juga dengan Ashok yang suka ambil gambar kegiatan kami dan tolong cuci gambar (50 sen sekeping).

Saya juga tidak lupa kemuliaan Uncle Salam yang kutip makanan untuk diberikan kepada kucing-kucing di seluruh MCKK setiap hari.

Cikgu-cikgu pun ramai yang dari kalangan kaum India. Guru Bahasa Inggeris semasa junior form namanya Mr Purushotanam – dia suka ajar bahasa Inggeris tetapi menggunakan peribahasa Melayu. Antara yang paling famous: bila dia nak rotan kitorang (ada yang kantoi conteng di atas meja Language Lab yang mahal yang diberikan Kerajaan Jepun kepada MCKK), dia bersyarah:

“Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya kena juga….” Piap kena rotan.

Semasa saya kembali menguruskan pasukan hoki MCKK antara tahun 2007 hingga 2010, saya minta tolong Mr Thaman Singh yang dah berumur dekat 70an untuk jadi coach. Beliau dibantu Mr Pala, bekas kerani dari SM Clifford (di sebelah).

Mr Thaman dan Mr Pala sayang anak-anak Melayu ini seperti anak mereka, walaupun mereka sudah umur lewat 60an dan hidup atas pencen guru bukan ijazah/kerani kerajaan.

Dalam politik – saya ramai kawan-kawan karib dari masyarakat India. Sdr Manivanan Gowin Sdr Kesavan Subramaniam Sdr Kumar Thuraisingam DS Edmund Santhara, Sdr Ravi, Dr Shan, Sdr Rony Murugan Dr Jayabalan Thambyappa dan ramai lagi. Di Pandan, saya banyak dibantu Sdr Arvindh, Sdr Vicky, Sdr Kali dan ramai lagi.

Saya memilih untuk melihat yang baik, bukan yang mencambahkan kebencian.

Dan ramai orang baik di kalangan masyarakat India, seperti ramainya orang baik dari kalangan orang Melayu, Cina, Iban, Kadazan, Arab, Mat Salleh dan lain-lain.

Allah tidak menjadikan kita berbeza-beza selain dari untuk kita berkenalan, kerana dari berkenalan itu mengingatkan kita kepada kekuasaanNya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.