Hakmilik Pelaburan Terbesar Felda Di London Didaftarkan Kepada Syarikat “Offshore” BVI, Bukan Anak Syarikat Felda

Jumaat lalu, saya telah tunjukkan bagaimana hakmilik Hotel Grand Plaza Kensington yang kononnya dibeli oleh anak syarikat Felda iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) didaftarkan di atas nama sebuah syarikat “offshore” yang namanya hampir sama (FIC London Hotel (Private) Limited) tetapi tidak dimiliki oleh Felda.

Semakan dengan penyata-penyata rasmi Felda tidak menunjukkan bahawa syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island (BVI) ini adalah sebahagian dari kumpulan Felda.

Felda menyatakan di dalam penyata kewangan yang diaudit bagi 2015 (yang terkini) bahawa anak syarikatnya yang memegang pelaburan hotel ini ialah FIC London Hotel (Private) Limited yang ditubuhkan di United Kingdom dan dimiliki sepenuhnya oleh FIC.

Sehingga kini tidak ada sebarang jawapan dari mana-mana pihak mengenai soalan paling utama yang saya timbulkan: jika Felda yang membayar kos membeli hotel itu yang dianggarkan sekitar RM330 juta, kenapa hakmiliknya didaftarkan di atas nama syarikat lain yang penuh kerahsiaan? Siapa sebenarnya pemilik syarikat BVI ini?

Jawapan paling pintar yang diberikan oleh Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda ialah “saya tertidur tiga bulan” seperti yang dilaporkan Sinar Harian:
http://www.sinarharian.com.my/nasional/rafizi-tidur-3-bulan-isu-hotel-sudah-disiasat-sprm-1.743340

Saya tidaklah perlu melayan komen sebegitu kerana saya bukan pengerusi Felda yang dibayar gaji untuk menjaga harta Felda. Saya boleh sahaja tidur dan tidak ambil tahu langsung mengenai Felda kerana saya tidak memikul amanah itu.

Apabila Tan Sri Shahrir yang diberikan amanah tersebut tidak merasa terpanggil untuk menerangkan isu yang paling penting iaitu siapa sebenarnya pemilik hotel tersebut (kerana siasatan SPRM yang dilaporkan hanyalah berkisar kepada bayaran lebih yang dibuat oleh Felda, bukan soal Felda ditipu sedemikian), saya serahkan kepada rakyat untuk menghakimi Tan Sri Shahrir dalam PRU14 nanti.

Projek Hartanah Terbesar Felda di Wembley, London

Sejak tahun 2015, Felda di bawah kepimpinan Tan Sri Isa Samad mula terlibat di dalam sektor hartanah secara besar-besaran. Jika sebelum itu Felda hanya membeli hartanah-hartanah yang sudah siap di bina, melalui sebuah lagi syarikat iaitu FIC Global Limited, Felda mula terlibat di dalam pembinaan bangunan-bangunan pula.

Nota 44 dari penyata kewangan diaudit Felda bagi 2015 menyenaraikan FIC Global Limited sebagai anak syarikat milik penuhnya yang ditubuhkan di United Kingdom:

Pembabitan Felda di dalam projek-projek yang membina bangunan kediaman untuk disewakan kepada pelajar ini dilaporkan secara besar-besaran di media tempatan:

Laporan-laporan berita mengesahkan projek-projek berikut:

1. Disiapkan dalam bulan Julai 2015, projek pertama yang dinamakan Felda House Wembley itu bernilai RM380 juta dan beralamat di 575 North End Road, Wembley HA9 0UU (rujuk maklumat mengenai Felda di laman www.crm-students.com iaitu ejen yang menyewakan unit-unit kediaman kepada pelajar dan lihat contoh unit kediaman di bawah)

2. Projek kedua yang disiapkan ialah projek kediaman pelajar yang dinamakan Grand Felda House di tapak yang sama berharga £109.26 juta (atau bersamaan RM656 juta). Projek yang siap dalam bulan Julai 2016 ini yang ada dilaporkan The Sun http://www.thesundaily.my/news/1917555

Ini bermakna, pelaburan Felda di dalam Felda House dan Grand Felda House di Wembley ini adalah pelaburan hartanah Felda yang terbesar di London melalui FIC, iaitu berjumlah RM1.036 bilion.

Hakmilik Felda House Bukan Anak Syarikat Felda

Maka saya mengambil inisiatif untuk menyemak geran hakmilik Felda House (projek pertama bernilai RM380 juta) untuk memastikan ia benar-benar di daftarkan atas nama anak syarikat Felda setelah penemuan mengenai geran hakmilik Hotel Grand Plaza Kensington yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat BVI yang tidak diketahui pemiliknya.

Saya sertakan geran hakmilik Felda House di alamat 575 North End Road, Wembley HA9 0UU yang saya beli dari HM Land Registry (Pendaftar Tanah UK):

Download (PDF, 10KB)

Sekali lagi, syarikat yang memiliki hakmilik Felda House ialah sebuah syarikat yang namanya sama dengan nama anak syarikat Felda yang diisytiharkan di dalam penyata kewangannya yang diaudit iaitu Felda Global Limited, tetapi ia syarikat berlainan kerana didaftarkan di BVI yang merahsiakan siapa pemilik sebenar syarikat ini.

Semakan ke atas rekod Felda yang boleh disemak orang awam setakat ini juga tidak menunjukkan apa-apa anak syarikat berna,a FIC Global Limited yang didaftarkan di BVI.

Bukan sahaja hotel berharga RM330 juta yang dibeli menggunakan wang Felda hakmiliknya didaftarkan di atas nama sebuah syarikat rahsia, kini pelaburan besar Felda di London iaitu projek Felda House berharga RM380 juta juga didaftarkan di atas satu lagi syarikat rashia.

Felda House Digadai Bank, Siapa Yang Ambil Pinjaman RM60 Juta?

Geran hakmilik di atas ada menunjukkan “harga” yang didaftarkan sebanyak £10 juta (atau RM60 juta). Saya tidak yakin itu harga sebenar Felda House dan membuat beberapa semakan lain untuk mendapatkan maklumat apakah RM60 juta yang didaftarkan bersama-sama dengan hakmilik Felda House itu.

Semakan saya mendapati Felda House telah dicagarkan kepada bank yang sama iaitu Bangkok Bank Public Company Limited dan cagaran ini telah dimasukkan ke dalam dokumen hakmilik. Saya beranggapan RM60 juta itu adalah jumlah yang dipinjam dari Bangkok Bank Public Company Limited dan sebab itulah jumlah itu didaftarkan bersama geran hakmilik Felda House.

Saya sertakan perjanjian pinjaman yang mencagarkan Felda House ini kepada Bangkok Bank Public Company Limited:

Download (PDF, 1.56MB)

Walau bagaimana pun, ada sedikit keraguan kerana sijil cagaran yang didaftarkan untuk membuat tuntutan ke atas hakmilik Felda House memasukkan nama FIC Management Houses Pte Limited kerana perjanjian pinjaman itu adalah di antara FIC Management Houses Pte Limited dan Bangkok Bank Public Company Limited.

Semakan ke atas FIC Management Houses Pte Limited menunjukkan ia adalah anak syarikat milik penuh FIC (dan Felda):

Lebih meragukan, semakan ke atas penyata kewangan FIC Management Houses Pte Limited yang terkini iaitu setakat 31 Disember 2016 tidak pula menunjukkan ia mempunyai apa-apa pinjaman dengan mana-mana bank:

 

Maka kesimpulan berikut boleh dibuat:

1. Felda mengumumkan ia membelanjakan RM380 juta  menyiapkan Felda House di alamat 575 North End Road, Wembley HA9 0UU yang dibuka dalam tahun 2015

2. Felda melalui FIC menubuhkan sebuah anak syarikat milik penuhnya yang bernama FIC Management Houses Pte Limited untuk mengutip sewa dari unit-unit yang disewakan kepada pelajar-pelajar

3. Tetapi hakmilik Felda House ini didaftarkan di atas sebuah syarikat di BVI yang tidak diketahui pemiliknya. Nama syarikat ini hampir sama dengan nama anak syarikat Felda yang diisytiharkan di dalam penyata kewangan Felda yang diaudit bagi tahun 2015, tetapi ia syarikat yang berlainan kerana ditubuhkan di BVI yang merahsiakan pemiliknya

4. Felda House digadaikan ke sebuah bank yang bernama Bangkok Bank Public Company tetapi perjanjian itu adalah bagi pinjaman yang dijangkakan bernilai RM60 juta di antara FIC Management Houses Pte Ltd (bukannya FIC Global Ltd, syarikat BVI yang menjadi pemilik Felda House)

5. Pinjaman RM60 juta itu tidak ditunjukkan di dalam penyata kewangan FIC Management Houses Pte Ltd walaupun ia yang menandatangani perjanjian pinjaman dan gadaian

Saya yakin kanak-kanak sekolah boleh membuat kesimpulan bahawa kesemua ini menimbulkan banyak keraguan.

Siapa yang dapat RM60 juta itu? Kenapa perlu pinjam RM60 juta sedangkan Felda membayar sepenuhnya kos untuk menyiapkan Felda House?

Kenapa hakmilik Felda House didaftarkan di atas nama syarikat BVI yang pemiliknya adalah rahsia?

Siapa pemilik sebenar syarikat BVI ini dan adakah dia yang telah mengambil RM60 juta itu dan menggadaikan Felda House, iaitu hartanah yang dibeli dengan wang Felda?

Saya berharap Tan Sri Shahrir tidak lagi memberi jawapan kononnya saya tertidur dan macam-macam lagi.

Saya nasihatkan beliau jangan tidur malam ini untuk membuat penjelasan mengenai segala keraguan yang saya timbulkan di sini kerana kalau tidak ada jawapan yang munasabah dan tidak diberikan maklumat mengenai pemilik sebenar syarikat BVI tersebut, tindakan saya yang seterusnya ialah membuat laporan polis.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.