Felda Bayar Hartanah Grand Plaza RM180 Juta Melebihi Nilai Pasaran

Dalam 2 kenyataan media sebelum ini, saya telah buktikan:

i. Felda telah membeli Hotel Grand Plaza Kensington; pada harga yang dianggarkan RM90 juta (£15 juta) lebih mahal dari harga yang sepatutnya

ii. Felda tidak memiliki Hartanah yang dibeli dengan RM1 bilion wang rakyat iaitu Grand Plaza Kensington Hotel dan Felda House kerana geran hakmilik menunjukkan syarikat lain yang memiliki hartanah-hartanah itu

iii. Hak milik bagi setiap harta telah didaftarkan atas nama syarikat-syarikat yang ditubuhkan di British Virgin Island (BVI) yang berselindung di sebalik kerahsiaan. Walaupun nama-nama tersebut mempunyai persamaan dengan anak syarikat yang dinyatakan seperti mana penyata kewangan Felda tahun 2015, syarikat-syarikat ini adalah entiti yang berlainan kerana anak-anak syarikat Felda (yang mempunyai nama sama) diperakui di dalam penyata kewangan Felda sebagai entiti-entiti yang diperbadankan di United Kingdom

Pada ketika kenyataan media ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan daripada Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad untuk menafikan fakta-fakta yang dibentangkan setakat ini atau kenyataan yang mempersoalkan keabsahan dokumen-dokumen yang dijadikan bukti itu.

Hari ini, saya akan tunjukkan pula bagaimana Felda sekali lagi membeli hartanah pada harga yang dianggarkan RM180 juta (£30 juta) lebih mahal dari harga sebenarnya. Anak syarikat milik penuh Felda itu ialah FIC UK Properties Sdn Bhd yang telah membeli 194 unit pangsapuri di Bayswater (London) bernama Grand Plaza Serviced Apartments (Grand Plaza SA) dalam 2013 pada harga RM538 juta.

Pendedahan ini penting kerana sebelum ini gambaran yang diberikan adalah penyelewengan hanya berlaku di dalam pembelian satu hartanah, seolah-olah pembelian Grand Plaza SA adalah telus dan bersih.

Malah, akhbar perniagaan Malaysian Reserve pada 21 Julai 2017 https://themalaysianreserve.com/2017/07/21/feldas-uk-property-disposal-continue/ pernah memetik kenyataan Tan Sri Shahrir Samad yang mengesahkan Grand Plaza SA tidak disiasat oleh SPRM semasa beliau mengesahkan rancangan Felda untuk menjual hartanah tersebut.

Felda Bayar £95.65 Juta, Nilaian Semasa Mengikut Akaun Hanya £56 Juta

Untuk menyemak berapa harga yang dibayar Felda, anda hanya perlu bayar £3 untuk mendapatkan salinan geran hakmilik hartanah itu. Maklumat yang lebih penting terkandung di Bahagian B: Pendaftaran Pemilik yang memberikan butiran pihak yang terlibat dalam urus niaga dan nilai urusniaga.

Saya sertakan salinan geran hakmilik Grand Plaza SA yang mengesahkan Felda telah membayar £95.65 juta (bersamaan RM538 juta seperti dilaporkan secara meluas pada masa urusniaga) kepada sebuah syarikat bernama Larmway Properties Limited (pemilik Grand Plaza Serviced Apartments sebelumnya).

Download (PDF, 11KB)

Saya juga lampirkan penyata kewangan yang disatukan (“consolidated financial statements”) bagi Larmway Properties Limited bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2014, yang merupakan tahun terakhir syarikat itu menyediakan akaun kerana ia tidak lagi beroperasi selepas ia menjual Grand Plaza SA dan perniagaan yang berkaitan kepada Felda.

Download (PDF, 431KB)

Khususnya, saya ingin menarik perhatian pembaca kepada muka surat 2, 5 (penyata untung rugi) dan 13 (nota menghuraikan pecahan aset tetap).

Mukasurat 2: Laporan Strategik Perniagaan mengesahkan Larmway Properties telah menjual hartanah pelaburannya (Grand Plaza SA) dan perniagaannya dalam tahun kewangan itu

 

Penyata untung rugi yang disatukan mencatatkan keuntungan daripada penjualan aset nyata (“tangible fixed assets”) sebanyak £30,388,392 (kira-kira RM182 juta)

 

Nota 10 yang memperincikan “aset tetap ketara” menunjukkan hartanah pelaburan (iaitu Grand Plaza SA) yang pada masa jualan kepada Felda bernilai £ 54 juta (mengikut nilaian harga semasa)

 

Oleh kerana Felda telah membeli keseluruhan perniagaan dari Larmway (selain hartanah juga asset-aset lain), harga keseluruhan asset pada kos ketika baru (tanpa mengambil kira susut nilai) sebanyak £56.8 juta (seperti di dalam penyata kewangan) sudah pun satu nilaian yang tinggi

Grand Plaza SA adalah harta pelaburan dan tertakluk kepada peraturan perakaunan di bawah SSAP 19 (Penyata Amalan Perakaunan Standard 19) untuk hartanah pelaburan, seperti ditetapkan Majlis Laporan Kewangan UK.

(Rujuk:
https://www.frc.org.uk/accountants/accounting-and-reporting-policy/uk-accounting-standards/standards-in-issue/ssap-19-accounting-for-investment-properties)

Bagi penyata kewangan yang tahun kewangannya berakhir sebeleum 2015, hartanah pelaburan (dalam kes ini Grand Plaza SA) hendaklah direkodkan pada harga yang melambangkan nilainya di pasaran terbuka. Sekiranya nilai pasaran lebih tinggi dari nilai yang direkodkan di dalam akaun, hartanah itu perlu dinilai semula untuk mencerminkan nilai pasaran dan kenaikan nilai pasaran akan ditunjukkan sebagai tambahan rizab penilaian semula. Begitu juga, jika harga pasaran lebih rendah dari nilai yang direkodkan, nilai Grand Plaza SA dalam penyata kewangan itu akan diturunkan sepadan dengan nilai pasarannya.

Oleh itu, jika pun Felda membeli pada harga £56 juta sekali pun, itu sepatutnya telah pun melebihi nilai pasaran bagi Grand Plaza SA kerana harga itu tidak mencerminkan susut nilai aset-aset lain yang telah berusia.

Berkemungkinan Besar Tidak Akan Dapat Balik Modal, Mana SPRM?

Malangnya, Felda memilih untuk membeli hartanah itu pada harga £95.65 juta (iaitu sekitar 70% melebihi nilai pasaran dalam tahun 2014). Dalam keadaan pasaran hartanah UK yang malap selepas Brexit, adalah suka untuk Felda mendapatkan kembali RM538 juta yang dibayar dahulu.

Analisa ini bertepatan dengan laporan Bloomberg minggu lalu bahawa pasaran hartanah merasakan nilaian hartanah-hartanah di London terlalu mahal. Lebih teruk lagi, saya juga telah membuktikan bagaimana sejak Felda membelinya, operasi Grand Plaza SA mengalami kerugian berpanjangan yang menyebabkan pembeli akan menuntut harga yang lebih rendah atas alasan ia perniagaan yang merugikan.

(Rujuk http://rafiziramli.com/2017/10/felda-bila-beli-ferrari-pakai-duit-rakyat-rakyat-yang-rugi/)

Saya tidaklah terkejut apabila Tan Sri Shahrir Samad beriya-iya mempertahankan Felda sehingga seolah-olah tidak lagi boleh membezakan dokumen-dokumen rasmi hakmilik hartanah itu berbanding serangan politik.

Saya terkejut apabila harga yang terlalu mahal ini tidak menimbulkan keraguan yang mendorong SPRM menyiasat pembelian tersebut, apatah lagi bukti-bukti ini boleh diperolehi dengan mudah dari dokumen-dokumen yang ada di internet.

Contohnya, dengan satu carian mudah di internet, SPRM sepatutnya tahu bahawa urusniaga melibatkan Felda ini telah pun mengundang satu kes mahkamah di Britain apabila pemiliknya (Larmway Properties) disaman kerana dituduh melanggar perjanjian apabila menjual hartanah itu kepada Felda pada harga £98 juta sedangkan ia telah dijual kepada syarikat lain pada harga £80 juta.

Kes ini telah pun dilaporkan di Daily Mail dan sekali lagi akan membuatkan Malaysia dicemuh oleh media antarabangsa kerana melibatkan penyelewengan dana rakyat dan selebriti. Kalau 1MDB ada Leonardo Di Caprio, Felda kini ada Marco Pierre White, iaitu chef terkenal.

Rujuk http://www.dailymail.co.uk/news/article-4645526/Chef-Marco-s-ex-business-partner-faces-6-5M-fraud-battle.html

Paling sikit, rakyat Malaysia kerugian RM108 juta apabila Felda membayar £98 juta sedangkan harga semasa adalah £80 juta. Paling teruk, wang yang diselewengkan boleh mencecah RM180 juta dari satu hartanah ini sahaja kerana nilaian semasa di dalam penyata kewangannya hanyalah £56 juta.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.