200 Orang Penjawat Awam Jaga Najib Seorang

Dua hari lalu, Dato’ Seri Najib Tun Razak memberi amaran kepada sekitar 5,000 pimpinan perkhidmatan awam dan penjawat awam di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) kononnya masa depan penjawat awam akan gelap jika Pakatan Harapan menang dalam PRU14.

Kandungan ucapan Dato’ Seri Najib yang dilaporkan media antara lainnya membuat beberapa dakwaan (atau memberi makna):

i. Kakitangan kerajaan dan Barisan Nasional tidak dapat dipisahkan
ii. Sebarang kritikan ke atas Dato’ Seri Najib adalah kritikan ke atas kakitangan kerajaan
iii. Pakatan Harapan akan memecat separuh dari kakitangan kerajaan kerana beranggapan jumlah kakitangan kerajaan adalah terlalu ramai
iv. Pembangkang menuduh kakitangan kerajaan sebagai tidak cekap dan makan gaji buta
v. Ada pembangkang yang menghina kakitangan awam sebagai kucing kurap
vi. Jika kakitangan awam mengundi Pakatan Harapan, itu samalah seperti menggadaikan masa depan mereka

Walaupun dakwaan-dakwaan itu kasar, tidak benar dan murahan (maka tidak wajar ia datang dari seorang Perdana Menteri dalam satu majlis rasmi), saya tidaklah terkejut kerana saya tahu Dato’ Seri Najib semakin terdesak. Beliau tahu bahawa sokongan kakitangan awam kepada Umno/Barisan Nasional tidak lagi jitu dan ada risiko besar sejumlah kakitangan awam akan mengundi Pakatan Harapan dalam PRU14 akan datang.

Saya tidak berhajat untuk bersaing menghamburkan retorik politik seperti mana beliau. Pun begitu, saya ambil tanggungjawab untuk berhujah secara fakta dan telus mengenai tuduhan-tuduhan yang dibuat oleh Dato’ Seri Najib itu kerana kakitangan awam adalah nadi pentadbiran negara ini. Kalau pun Pakatan Harapan menang PRU14 dan membentuk Kerajaan Persekutuan, tanpa sokongan padu dan kebersamaan dari kakitangan awam untuk menjalankan semua reformasi yang perlu dijalankan segera, Pakatan Harapan akan menghadapi masalah membantu rakyat seperti niat kami sebelum membentuk kerajaan.

Bermula hari ini, saya akan menghuraikan secara berterusan isu-isu bersabit masa depan dan kebajikan perkhidmatan awam dan kakitangan awam di negara ini dengan menyentuh secara khusus perkara-perkara berikut:

i. Kelangsungan (sustainability) perkhidmatan awam dari aspek kewangan negara, termasuk persoalan pakej penggajian, kos kepada pembayar cukai dan kemampuan kerajaan menjaga kebajikan kakitangan awam selepas bersara

ii. Reformasi organisasi dan perjawatan kakitangan awam untuk memastikan strukturnya berada pada tahap optimum untuk memacu kemajuan negara dan menjaga kebajikan rakyat

iii. Fungsi dan peranan perkhidmatan awam dalam masa 15 tahun akan datang untuk menyesuaikannya dengan zaman dan masyarakat yang sangat berbeza

Hari ini, saya akan mula mengulas mengenai persoalan jumlah kakitangan awam yang ada untuk menjawab tuduhan Dato’ Seri Najib kononnya Pakatan Harapan akan memecat separuh dari kakitangan awam sedia ada.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan mudah yang membandingkan kesemua penjawat awam yang menerima gaji dari badan kerajaan dengan jumlah rakyat Malaysia untuk membuat kesimpulan jumlah kakitangan awam adalah terlalu ramai di negara ini.

Setakat ini, kajian saya mendapati takrifan kakitangan awam adalah berbeza-beza mengikut negara. Laporan-laporan antarabangsa yang menyiarkan angka nisbah kakitangan awam berbanding jumlah rakyat juga tidak memberi perincian kakitangan awam mana yang dikategorikan sebagai penjawat awam.

Oleh itu, satu-satunya jalan yang saya ada ialah membandingkan mengikut jumlah kakitangan awam bagi kategori utama iaitu pentadbir dan perkhidmatan rakyat, pertahanan (jumlah angkatan tentera), keselamatan (jumlah polis), pendidikan (jumlah guru dan pensyarah) dan kesihatan (jumlah doktor dan jururawat).

Saya sedang menyiapkan angka-angka ini yang akan diterbitkan minggu depan dalam siri sidang media secara langsung yang saya adakan setiap hari.

Setakat ini, kesimpulan bahawa jumlah kakitangan awam adalah terlalu ramai berbanding dengan jumlah rakyat adalah tidak tepat (dan saya akan tunjukkan angkanya minggu depan).

Pun begitu, itu tidak bermakna jumlah kakitangan awam dalam bentuk organisasi dan perjawatan sedia ada di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib adalah baik dan tidak perlu dibaiki. Masalah sebenar ialah terlalu banyak kakitangan awam yang ditanggung oleh rakyat yang sebenarnya tidak berkhidmat untuk rakyat, tetapi berkhidmat untuk ahli politik yang menjadi menteri atau menguasai badan kerajaan atas lantikan politik.

Sebelum ini saya telah timbulkan perkara ini secara khusus, iaitu jumlah kakitangan awam yang berkhidmat di bawah Pejabat Perdana Menteri. Saya juga telah tunjukkan secara khusus jumlah tukang masak, pembantu rumah dan lain-lain yang ditanggung oleh rakyat untuk berkhidmat di kediaman Perdana Menteri.

Malah, saya telah fokuskan juga mengenai seorang Ketua Penolong Pengarah (KPP) yang mengetuai satu unit yang dipanggil Bahagian Khas, Jabatan Perdana Menteri yang diwujudkan khusus untuk menjadi pejabat Datin Seri Rosmah Mansor dan kerjanya menjadi kaki pukul politik untuk membidas mana-mana pihak yang berani mengkritik Datin Seri Rosmah.

Saya sertakan jadual yang menunjukkan jumlah penjawat awam yang diperuntukkan kepada 6 menteri-menteri kanan (iaitu Presiden, Naib-naib Presiden & Ketua Pemuda Umno, Presiden MCA dan Presiden MIC):

(Rujuk petikan-petikan dari laporan Senarai Perjawatan Kerajaan Malaysia 2017. Laporan penuh di http://rafiziramli.com/2016/12/selaraskan-kadar-kenaikan-gaji-di-antara-penjawat-awam-berpangkat-tinggi-dan-remdah/)

Download (PDF, 14KB)

 

Download (PDF, 4KB)

 

Download (PDF, 102KB)

 

Download (PDF, 43KB)

 

Download (PDF, 44KB)

 

Download (PDF, 83KB)

 

Download (PDF, 80KB)

 

Download (PDF, 4KB)

 

Download (PDF, 122KB)

 

Jumlah penjawat awam termasuk lantikan politik untuk 6 orang pemimpin kanan Umno/Barisan Nasional ialah 335 orang. Ini adalah jumlah yang paling konservatif kerana saya tidak mengambil kira jumlah unit-unit lain di luar pejabat menteri.

Dengan jumlah purata 10 kakitangan awam yang dibayar rakyat yang diberikan kepada seorang menteri dan jumlah 33 orang menteri (selain Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri), jumlah kakitangan awam untuk Jemaah Menteri sahaja adalah 330 orang (pada anggaran purata).

Bila dicampur dengan 200 orang yang berkhidmat khusus untuk Perdana Menteri (dan isteri) dan 77 orang yang berkhidmat khusus untuk Timbalan Perdana Menteri, rakyat menanggung gaji 607 pegawai dan pembantu menteri-menteri setiap bulan.

Analisa awal ini secara jelas menunjukkan bahawa masalah sebenar perkhidmatan awam di Malaysia ialah pengaruh politik yang keterlaluan sehinggakan sumbernya juga diherotkan untuk memenuhi keperluan menteri-menteri dan orang politik. Jemaah Menteri misalnya, tidak memerlukan sehingga 607 orang pegawai dan pembantu seperti sekarang. Sebahagian besar dari mereka (yang bukan lantikan politik) seharusnya ditugaskan untuk berurusan dengan rakyat melalui perkhidmatan-perkhidmatan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

Sebab itu, untuk menjawab tuduhan Dato’ Seri Najib bahawa Pakatan Harapan akan membuang sehingga separuh dari kakitangan awam yang ada sekarang, saya percaya langkah-langkah Pakatan Harapan untuk memperbetulkan herotan sumber perkhidmatan awam adalah seperti berikut:

1. Mengecilkan saiz Jemaah Menteri kepada sekitar 20 orang sahaja dengan menstrukturkan kembali kementerian-kementerian supaya tidak bertindih. Secara langsung, ini akan mengurang jumlah gaji yang perlu dibayar dan jumlah kakitangan awam yang diperuntukkan kepada menteri

2. Mengurangkan jumlah kakitangan awam (baik lantikan politik atau yang dalam perkhidmatan) yang diperuntukkan untuk berkhidmat dengan menteri dan timbalan-timbalan menteri. Saya percaya kakitangan awam untuk Perdana Menteri mestilah dikurangkan kepada 70 orang sahaja dari jumlah 200 sekarang, Timbalan Perdana Menteri dikurangkan kepada 30 orang sahaja dari jumlah 77 sekarang, dan menteri-menteri dikurangkan kepada 6 orang sahaja dari purata 10 orang sekarang

3. Memberi tugasan baru kepada kakitangan awam dalam perkhidmatan yang kini berkhidmat dengan menteri-menteri dan ahli politik. Tugasan baru itu mestilah perkhidmatan yang berurusan secara langsung dengan rakyat

Konsep yang sama hendaklah digunakan untuk menyusun kembali agihan sumber manusia di dalam perkhidmatan awam untuk menghapuskan herotan sumber akibat campur tangan politik yang keterlaluan.

Saya akan membentangkan angka-angka mengikut kementerian yang boleh menunjukkan secara khusus bagaimana herotan ini berlaku dan bagaimana agihan sumber manusia boleh membantu memastikan jumlah kakitangan perkhidmatan awam yang optimum. Saya akan berusaha supaya sekurang-kurangnya setiap satu minggu, saya boleh membentangkan satu laporan yang terperinci seperti ini untuk makluman rakyat.

Saya yakin kakitangan awam pun secara keseluruhannya tahu apa yang berlaku dan bersetuju dengan pandangan saya ini. Dalam minggu-minggu seterusnya, saya akan tunjukkan juga bagaimana manfaat kewangan dan perkhidmatan yang diberikan kepada penjawat awam semakin berkurangan sejak di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Jika Dato’ Seri Najib mahu menggunakan retorik lama menakut-nakutkan kakitangan awam, saya rasa kali ini beliau akan bertemu buku dengan ruas kerana saya telah lama menunggu peluang ini.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.