Biayaramai NFC: Jangan Putus Harapan

10 hari lalu, dengan berat hati saya umumkan hasrat mendapatkan sumbangan untuk membayar sejumlah RM300,000 kepada NFC seperti yang diarahkan mahkamah. Saya melengah-lengahkannya beberapa minggu dan cuba mencari jalan lain kerana saya tidak berasa selesa untuk memohon sumbangan sebegitu. Sebelum ini memang saya pernah menggunakan “crowdfunding” atau “biayaramai” (saya pilih “biayaramai” sebagai terjemahan yang paling tepat kerana saya belum terjumpa terjemahan rasmi), tetapi dana itu digunakan bukan untuk diri saya.

Berat hari itu bertambah kerana saya sedar sejak setahun lalu, ramai rakyat Malaysia yang tidak saya kenali telah menyumbang wang (RM20, RM50, RM100 mengikut kemampuan masing-masing) secara berterusan untuk membiayai operasi INVOKE. Di kala saya mengumumkan kempen biayaramai itu Isnin lalu, INVOKE telah menerima sumbangan mencecah RM2.5 juta dari rakyat Malaysia. Saya segan untuk mengumumkan satu kempen biayaramai yang baru, lebih-lebih lagi kerana melibatkan kes mahkamah saya.

Saya maklumkan keputusan saya kepada pasukan muda saya di INVOKE untuk menggunakan akaun INVOKE supaya apa-apa sumbangan melepasi RM300,000 perlulah dipulangkan balik kepada rakyat. Pun begitu, bukanlah mudah untuk memulangkan kembali wang kepada setiap yang menyumbang. Maka cara yang terbaik ialah dengan menyalurkan sumbangan yang lebih itu kepada perkara yang didokong oleh sebahagian besar yang menyumbang. Saya yakin mereka yang menyumbang berbuat demikian kerana bencikan rasuah. Mereka yang bencikan rasuah selalunya bersetuju kepimpinan negara perlu berubah, sebab itu sebaiknya biayaramai ini dibuat menggunakan akaun INVOKE.

Dengan tidak menggunakan akaun peribadi saya, setiap satu sen sumbangan akan diaudit dan dikira untuk dilaporkan kembali kepada rakyat.

Selalunya, satu-satu kempen biayaramai di Malaysia mengambil masa antara satu ke dua minggu bergantung kepada sambutan. Macam mana pun, kami terpaksa menunggu sekurang-kurangnya seminggu untuk mendapatkan laporan sumbangan dari pembayaran maya (“online payment gateway”) kerana laporan dihantar seminggu sekali. Jika kami mengisytiharkan jumlah sumbangan tanpa menunggu jumlah sumbangan melalui pembayaran maya, ia samalah seperti kami tidak mengisytiharkan sebahagian dari sumbangan.

Alhamdulillah laporan mingguan sumbangan melalui pembayaran maya itu diterima semalam lalu bolehlah kami menjumlahkan sumbangan terkumpul bersama sedikit analisa.

Dalam tempoh 10 hari, seramai 7,435 rakyat Malaysia menjawab rayuan saya dan secara bersama menyumbang sejumlah RM1,585,014.49. Jumlah ini adalah 5 kali jumlah yang diperlukan untuk membayar NFC.

Mereka yang menyumbang datangnya dari pelbagai latar belakang. Dari 5,135 penyumbang yang maklumat mereka diketahui, seramai 1,575 orang adalah Melayu, 2,903 adalah Cina, 348 adalah India, 40 Bumiputra Sabah dan 91 Bumiputra Sarawak. Baki 2,300 orang lagi menyumbang melalui mesin deposit tunai yang tidak memberi maklumat mereka.

84% dari keseluruhan sumbangan adalah dalam bentuk sumbangan kecil, paling sedikit RM10 dan paling tinggi pun RM200 setiap sumbangan.

Download (PDF, 307KB)

Saya berkongsi maklumat penyumbang mengikut pecahan begini supaya rakyat Malaysia keseluruhannya membuat kesimpulan yang sama seperti saya; iaitu dalam usaha membanteras rasuah dan penyelewengan – kita semua serupa. Walau kita sering cuba dilaga-lagakan agar berpecah belah, peliknya (tetapi indah) sepanjang minggu lepas saya menyaksikan sendiri bagaimana rakyat Malaysia yang berlainan kaum, agama, harta kekayaan dan darjat dunia boleh bersatu untuk satu matlamat yang sama: menghantar isyarat bahawa mereka akan menyokong sesiapa yang berusaha melawan rasuah dan penyelewengan.

Saya benar-benar tersentuh hati mengenangkan keikhlasan mereka yang menyumbang mengikut cara dan kemampuan masing-masing.

Beberapa orang Ahli Parlimen PAS menghampiri saya dari tempat duduk mereka (yang kini terpisah jauh di sebelah kiri Dewan Rakyat) untuk menyampaikan sumbangan tunai mereka secara terbuka di khalayak ahli parlimen yang lain, walaupun kebelakangan ini hubungan parti-parti kami tidak lagi seperti sebelum ini. Semasa trak kempen INVOKE singgah di Temerloh minggu lalu, seorang kakak mengirimkan sumbangan RM20 dengan satu nota kata-kata semangat yang distapelkan bersama wang itu. Laman-laman berita seperti Malaysiakini, Cilisos dan banyak lagi yang lain memuatnaik berita mengenai biayaramai ini yang membantu menularkan rayuan saya itu dengan cepat.

Saya membaca setiap satu dari beribu-ribu kata-kata semangat, doa dan nasihat dari orang ramai yang datang mencurah-curah itu. Saya sedar banyak kata-kata itu terlalu baik dan tidak sepadan dengan usaha saya, sebaiknya saya hanya boleh berterima kasih sebanyak-banyaknya kepada setiap insan yang telah membantu dengan apa jua cara (baik yang menyumbang, yang menularkan maklumat, yang menganjurkan majlis kecil untuk mengutip sumbangan sesama mereka, yang menulis mengenainya, yang menghantar komen dan kata-kata semangat di media sosial dan banyak lagi).

Sejumlah RM300,000 dari keseluruhan sumbangan akan diserahkan kepada peguam-peguam saya untuk menguruskan tuntutan NFC.

Bakinya akan digunakan untuk membiaya operasi INVOKE yang mengendalikan kempen di 50 kerusi parlimen marginal di seluruh negara, yang menelan belanja purata RM300,000 sebulan. Sebahagian besar dari belanja ini adalah tanggungan gaji 80+ orang kakitangan sepenuh masa INVOKE di seluruh negara yang bekerja di belakang tabir saban hari untuk membantu kemenangan di 50 kerusi ini.

INVOKE akan menerbitkan laporan setiap suku tahun untuk menunjukkan bagaimana kos operasi dibelanjakan dan penyata kewangan INVOKE yang diaudit akan disiarkan sepenuhnya untuk diteliti rakyat.

Dalam banyak ikhtiar saya yang lain sebelum-sebelum ini, setiap kali saya menemui kebuntuan, saya mengingatkan diri saya kepada satu bab akhir dari “Fellowship of The Ring” karya agung penulis terkenal JRR Tolkien. Apabila watak utama Frodo Baggins dan Samwise Gamgee berada di tengah-tengah sungai setelah berpisah dari kawan-kawan mereka yang lain, Frodo memandang sedih ke arah tebing mengenangkan kawan-kawan mereka yang terpisah selama-lamanya.

“I don’t suppose we’ll ever see them again” said Frodo.
Agaknya kita tidak akan bertemu lagi dengan mereka sampai bila-bila” kata Frodo.

“We may yet Mr Frodo, we may” replied Sam comfortingly.
“Jangan putus harapan Mr Frodo, masih ada harapan” kata Sam.

Dalam saat-saat yang sangat genting sepanjang sejarah pendek negara kita, rakyat Malaysia yang bersaudara telah berkali-kali menongkah arus dan mengenepikan perbezaan sesama kita untuk bersatu hati di saat-saat yang paling memerlukan kesatuan itu. Sepanjang minggu lalu, keyakinan saya kepada kemuliaan rakyat Malaysia diperbaharui malah diperkukuhkan.

Hati saya berbisik: memang banyak ranjau di sepanjang jalan ini, tapi kita masih ada harapan untuk bertemu hari-hari yang lebih baik selepas ini.

Terima kasih Malaysia.

Rafizi Ramli

2 thoughts on “Biayaramai NFC: Jangan Putus Harapan”

  1. PERJUANGAN IKHLAS, MEREKA MEREKA YG IKHLAS JUGA AKAN MEMBANTU. JEMAAH ISLAM DAN MANUSIA SEJAGAT ADALAH SALING BANTU MEMBANTU DEMI KEBAIKAN SEJAGAT JUGA.
    IN SHAA ALLAH AKAN DIPERMUDAHKAN SEGALA URUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.