Projek Prasarana Di Arab Saudi Kerugian Ratusan Juta Ringgit, Bagaimana Mahu Menanggung Beban Kewangan MRT?

Sementara media propaganda Dato’ Seri Najib Tun Razak secara berterusan menjulang MRT1 (Sungai Buloh – Kajang) sebagai lambang kejayaan beliau, sehingga kini pentadbiran beliau masih belum menerangkan bagaimanakah kerajaan akan membayar kos membina MRT, apatah lagi kos operasi tahunan.

MRT akan diserahkan kepada Prasarana Malaysia Berhad sebagai pemilik dan pengendali pengangkutan awam negara.

Oleh itu, Prasarana Malaysia Berhad sebagai syarikat milik penuh kerajaan ini yang mengendalikan pengangkutan awam juga terpaksa menampung kos operasi tahunan.

Saya akan mengupas kemampuan kewangan Prasarana Malaysia Berhad untuk mengendalikan sistem MRT dalam sidang media yang akan datang.

Pada hari ini, saya ingin memfokuskan kepada kedudukan kewangan Prasarana Malaysia Berhad yang sedia ada sebelum pun ia mewarisi kos operasi MRT.

Sebagai sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Persekutuan, Prasarana Malaysia Berhad tidak mengeluarkan laporan kewangan diaudit yang dikongsi dengan orang ramai. Oleh itu, kedudukan kewangan Prasarana Malaysia Berhad hanya boleh dianggarkan berdasarkan laporan penarafan bon-bon hutangnya dan maklumat yang difailkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berdasarkan laporan penarafan yang dikeluarkan Ratings Agency Malaysia Berhad (RAM) dan SSM, kedudukan kewangan Prasarana Berhad setakat akhir tahun 2015 boleh dirumuskan seperti berikut:

i. Bagi tahun 2014 dan 2015, kos operasinya melebihi kutipan tiket dan hasil yang lain iaitu kos lebih tinggi dari hasil sebanyak 30% (2015) dan 13% (2014). Ini bermakna, operasi Prasarana sedia ada memang mengalami kerugian setiap tahun

ii. Bayaran faedah atas hutang mencecah sehingga RM551 juta bagi tahun 2015 dan dijangka terus meningkat

iii. Jumlah hutang sedia ada Prasarana Malaysia Berhad telah mencecah RM18 bilion bagi tahun 2015. Ini dijangka terus meningkat dalam tahun 2016 kerana Prasarana Malaysia Berhad terus menerbitkan hutang untuk menampung kosnya. Dalam tahun 2013 hingga 2016, pertambahan hutang dianggarkan mencecah RM10 bilion

iv. Kerajaan terpaksa menyuntik dana rakyat dari semasa ke semasa, sama ada melalui suntikan dana baru RM2.2 bilion (2013) atau memaafkan hutang sedia ada sebanyak RM475 juta (2015)

Sejak tahun 2014, Prasarana Berhad juga terlibat dengan projek keretapi metro di Arab Saudi iaitu bagi projek Al Mashaer Al Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL) dan Makkah Shadow Operator, seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Saya telah mendapat maklumat sulit dari pemberi maklumat mengenai kedudukan kewangan projek Prasarana Malaysia Berhad di Arab Saudi ini yang menunjukkan kerugian besar yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia.

Saya sertakan satu paparan skrin laporan kewangan projek-projek Prasarana Malaysia Berhad di Arab Saudi, yang dimaklumkan kepada saya adalah laporan pengurusan (management account) dalaman yang dibentangkan di peringkat pengurusan Prasarana Malaysia Berhad.

Ia boleh dirumuskan seperti berikut (semua angka dalam RM juta dan dibundarkan, angka [ ] dalam SAR, kadar tukaran 2015/16=1.15, 2016/17=1.09, 2017/18=1.18):

Untuk memastikan maklumat itu benar dan tepat, saya juga telah bertanya satu soalan bertulis kepada Perdana Menteri mengenai jumlah wang yang telah dibelanjakan oleh Prasarana Berhad bagi projek di Arab Saudi ini berbanding perolehan.

Download (PDF, 1.49MB)

Saya sertakan salinan jawapan Perdana Menteri mengenai perkara ini yang mengesahkan perkara-perkara berikut:

i. Jawapan Perdana Menteri bahawa perolehan setakat 30 Jun 2017 adalah RM580 juta padan dengan laporan kewangan pengurusan yang bocor itu. Perolehan dua tahun pertama dari Jun 2015 hingga Mei 2017 adalah RM530 juta. Jika perolehan bagi bulan Jun 2017 adalah RM50 juta, itu mengesahkan bahawa jawapan Perdana Menteri itu tidak lari jauh dari laporan kewangan pengurusan yang dibocorkan

ii. Semakan yang sama ke atas jumlah kos yang dibelanjakan juga menunjukkan ada padanan di antara angka yang dilaporkan di dalam laporan yang bocor itu serta jawapan Perdana Menteri. Sejumlah RM630 juta telah dibelanjakan setakat dua tahun pertama sehingga Mei 2017 dan RM49 juta untuk bulan Jun 2017, seperti angka yang dilaporkan Perdana Menteri

Maka, saya boleh simpulkan unjuran pengurusan Prasarana Malaysia Berhad sendiri bahawa projek di Arab Saudi ini akan menyebabkan kerugian sehingga RM142 juta menjelang tahun 2018 adalah benar dan tepat. Ia disahkan melalui angka-angka yang dijawab oleh Perdana Menteri.

Oleh itu, rakyat wajar bertanya soalan-soalan ini:

i. Dalam keadaan Prasarana Malaysia Berhad sudah pun mengalami kerugian saban tahun apabila kos operasinya melebihi kutipan tiket, kenapa ia dibebankan dengan projek keretapi metro di Arab Saudi ini?

ii. Pada kedudukan kewangan Prasarana Malaysia Berhad sekarang, ditambah pula dengan kerugian sebanyak RM142 juta ini yang dijangka dari projeknya di Arab Saudi, adalah jelas bahawa ia tidak berkemampuan untuk menanggung kos mengendalikan MRT

Saya juga ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib bahawa pendedahan terkini mengenai kerugian Prasarana Malaysia Berhad di Arab Saudi ini sebenarnya memberi gambaran sebenar hubungan Dato’ Seri Najib dan kerajaan Arab Saudi sejak tercetusnya skandal 1MDB.

Sementara Dato’ Seri Najib menjual nama kerajaan Arab Saudi kononnya keluarga diraja Arab Saudi mendermakan RM2.6 bilion kepada beliau, rakyat boleh melihat dengan jelas: yang menderma adalah rakyat Malaysia kepada Arab Saudi, bukannya Arab Saudi kepada Dato’ Seri Najib.

Ini adalah salah satu contoh terbaik bagaimana rakyat Malaysia telah mendermakan sehingga RM142 juta kepada kerajaan Arab Saudi.

Paling teruk, saya dimaklumkan oleh pekerja-pekerja Malaysia di sana bahawa rakyat Malaysia tidak pun boleh menaiki keretapi metro ini kerana dikhususkan kepada kerakyatan tertentu sahaja!


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.