Kerosakan Di Felda Juga Dari Keputusan Perniagaan Yang Merugikan, Bukan Sahaja Rasuah Semata-Mata

Laporan media hari ini memetik kenyataan Tan Sri Shahrir Samad, Pengerusi Felda yang dilaporkan berjanji untuk tidak melindungi sesiapa pun dari kalangan kakitangan dan pengurusan Felda sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada bukti telah berlaku rasuah di dalam pengurusan Felda. Kenyataan itu dibuat ekoran kenyataan SPRM bahawa satu kertas siasatan baru telah dibuka setelah beberapa maklumat baru diperolehi.

Sementara saya sentiasa mengalu-alukan apa-apa siasatan ke atas dakwaan salah laku, saya berpendapat prestasi Tan Sri Shahrir Samad setakat ini tidak banyak berbeza dari sahabatnya, Tan Sri Isa Samad. Walaupun Tan Sri Shahrir nampak lebih terbuka setakat ini, beliau menutup mulut dan tidak memberi reaksi berkenaan urusniaga besar yang diketahui akan merugikan Felda.

Pandangan rakyat bahawa kedudukan Felda sekarang adalah ekoran urustadbir yang lemah dan telah berlaku salah laku penyelewengan dan rasuah, adalah berasas. Sejak setahun lalu, pelbagai laporan dari Ketua Audit Negara dan penahanan pegawai tinggi oleh SPRM telah mengesahkan pandangan rakyat itu tidak tersasar dari keadaan sebenar.

Pun begitu, masalah paling utama yang berlaku semasa Tan Sri Isa Samad menjadi pengerusi Felda ialah satu urusniaga perniagaan yang buruk sehingga menyebabkan Felda menanggung hutang berbilion ringgit, iaitu penyenaraian FGV yang melibatkan juga “wang pengeras” kepada peneroka Felda sebelum PRU13.

Berbanding dengan pelbagai rasuah di peringkat bawah yang berlaku, kesan terbesar kepada kedudukan kewangan Felda ialah penyenaraian FGV yang kemudiannya menyaksikan harga sahamnya jatuh merudum, sekaligus mengheret Felda bersama-samanya.

Sebab itu saya ingin mengingatkan Tan Sri Shahrir Samad bahawa risiko terbesar kepada kelangsungan Felda bukanlah rasuah yang melibatkan pegawai-pegawainya di bawah tetapi satu atau dua keputusan perniagaan besar yang membabitkan urusniaga sehingga berbilion ringgit kerana itu akan memburukkan lagi kedudukan kewangan Felda.

Dalam bab ini, saya meletakkan prestasi Tan Sri Shahrir Samad sama sahaja dengan Tan Sri Isa Samad kerana beliau (Tan Sri Shahrir) yang mengetuai Felda ketika Felda membelanjakan sehingga RM2.2 bilion untuk membeli saham majoriti di dalam syarikat perladangan milik sahabat Dato’ Seri Najib Tun Razak iaitu PT Eagle High Plantations.

Hampir sebulan lalu, saya telah bertanyakan sendiri melalui satu kenyataan media kepada Tan Sri Shahrir Samad, mengenai laporan media di Indonesia bahawa Felda telah pun memuktamadkan pembelian saham-saham PT Eagle High Plantations dalam bulan April 2017. Malah, menurut laporan itu lagi, Felda berhasrat untuk membeli lagi saham-saham dengan menawarkan harga belian kepada pemegang saham lain.

Antara rumusan urusniaga yang dilaporkan di http://m.kontan.co.id/news/felda-dikabarkan-incar-porsi-mayoritas-bwpt

i. Felda telah pun membeli 37% pegangan di dalam PT Eagle High
ii. Urusniaga itu dimuktamadkan dalam bulan April 2017 dengan Kumpulan Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh
iii. Anak syarikat Felda, FIC Properties Sdn Bhd membayar sehingga USD 505.4 juta bersamaan sekitar RM2.12 bilion bagi saham-saham itu
iv. Felda dilaporkan akan membuat satu “tawaran umum” atau “general offer” bagi membeli saham-saham PT Eagle High yang belum dimilikinya

Saya pernah mendedahkan kedudukan kewangan Felda setakat 2013 dan 2014 berpandukan penyata kewangan yang diaudit (kerana laporan kewangan Felda bagi 2015 dan 2016 belum lagi keluar walaupun kini sudah melepasi separuh tahun 2017):

i. Mukasurat 168: Pendapatan di peringkat Felda hanyalah RM87 juta setahun. Jika diambil kira pendapatan di peringkat kumpulan yang disatukan, pendapatan tahunan kumpulan Felda hanyalah RM420 juta setahun.

ii. Mukasurat 168: Rugi bersih Felda adalah RM1 bilion (2014) dan RM2.3 (2013)

iii. Mukasurat 185: Perbelanjaan kasar untuk melaksanakan rancangan tanam semula untuk peneroka ialah RM2.5 bilion (2014) dan RM2.4 bilion (2013)

iv. Mukasurat 187: Baki tunai yang ada di akaun Felda hanyalah RM291 juta (2014) dan RM685 juta (2015)

v. Mukasurat 271: Jumlah hutang Felda adalah RM6.1 bilion (2014) dan RM5.7 bilion (2013)

Ini bermakna, sudah hampir pasti Felda telah mengambil hutang baru sebanyak RM2.12 bilion untuk membiayai pembelian saham-saham PT Eagle High itu kerana Felda tidak mempunyai sumber kewangan dalam yang mencukupi.

Keputusan untuk terus berhutang dalam keadaan kedudukan kewangan Felda sudah pun parah itu tidak sekali-kali disiasat oleh SPRM kerana ia tidak dikira sebagai rasuah; sebaliknya hanyalah satu keputusan pengurusan yang merugikan.

Sebab itu saya ingin menasihati Tan Sri Shahrir Samad supaya menginsafi hakikat bahawa beliaulah yang memimpin Felda tatkala Felda membayar sejumlah harga yang begitu tinggi untuk membeli saham-saham syarikat perladangan milik sahabat Dato’ Seri Najib.

Jangan dengan hanya mengalu-alukan siasatan ke atas ikan-ikan bilis di kalangan kakitangan Felda; itu dikira cukup untuk menutup peninggalan beliau yang sewajarnya diingati seperti mana rakyat mengingati peninggalan Tan Sri Isa Samad kepada Felda juga: kedua-dua mereka bertanggungjawab membiarkan Felda terjebak di dalam urusniaga berbilion ringgit yang menyebabkan hutang Felda mula membawa kesan kepada peneroka Felda.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.