Harga Petrol Dan Diesel Serendah RM1.80 Seliter Melalui Mekanisme Subsidi Petrol Berkuota

Harga petrol dan diesel akan terus menjadi isu yang paling utama kerana turun naik harga minyak (petrol dan diesel) mempunyai kesan langsung kepada harga barang dan tanggungan sara hidup setiap keluarga.

Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dalam sejarah Malaysia yang menghapuskan terus subsidi minyak yang dinikmati rakyat Malaysia sejak berpuluh tahun. Oleh itu, harga minyak yang dibayar oleh rakyat Malaysia adalah mengikut turun naik harga minyak mentah dunia dan turun naik nilai Ringgit (kerana harga minyak mentah di dalam Dolar AS perlu diterjemahkan kepada harga di dalam Ringgit).

Dengan pelbagai skandal kewangan yang melemahkan nilai Ringgit, kalau pun harga minyak mentah dunia jatuh, harga petrol dan diesel di Malaysia jatuh pada kadar yang lebih perlahan kerana nilai Ringgit yang lemah (bermakna rakyat Malaysia terus membayar harga petrol dan diesel yang secara bandingannya lebih rendah berbanding negara lain).

Ada yang memperlekehkan amaran saya sebelum ini bahawa harga minyak boleh naik melonjak jika subsidi dan mekanisme harga siling tidak dilaksanakan. Apatah lagi beberapa minggu kebelakangan ini berlaku penurunan harga beberapa sen setiap minggu, lalu ada #pencintaNajib yang menyerang saya kononnya ramalan saya tidak tepat.

Mereka tidak memahami bahawa pasaran minyak mentah dunia adalah tidak menentu dan terdedah kepada strategi mengambil untung oleh pedagang komiditi dunia. Apabila berlaku penurunan harga minyak mentah, ada pedagang yang akan menjual kontrak masa depan (“forward contract”) yang dipegang sekarang lalu menyebabkan harga jatuh, tetapi pada masa yang sama membeli pula kontrak-kontrak baru di masa depan pada harga yang lebih tinggi kerana mereka tahu harga minyak yang jatuh itu akan naik kembali.

Dalam keadaan harga minyak mentah dunia banyak dipengaruhi oleh persaingan di antara pengeluar dari OPEC (negara-negara pengeluar minyak) dan pengeluar minyak di benua Amerika (yang bergantung kepada minyak mentah dari sumber bukan konvensional seperti minyak batuan), harga minyak mentah akan terus turun naik.

Ini berlaku dalam sebulan dua kebelakangan ini yang menunjukkan turun naik yang tidak menentu, seperti carta harga minyak mentah Brent berikut:

Harga Brent (USD setong) tempoh sebulan 6 Jun – 5 Julai

Keadaan turun naik yang tidak menentu ini diburukkan lagi oleh nilai Ringgit seperti berikut:

Kadar tukaran RM bagi setiap 1 USD bagi 6 Jun – 5 Julai

Oleh kerana formula yang digunapakai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merujuk kepada harga pasaran minggu lalu untuk menetapkan harga RON95 bagi minggu depan, saya menganggarkan harga RON95 (dan minyak lain) akan mula naik kembali bermula malam ini.

Berdasarkan jumlah kiraan harga di atas, harga RON95 dijangka akan naik di antara 2 hingga 3 sen bermula malam ini. Oleh kerana harga minyak mentah juga mula naik kembali sejak minggu lepas, maka suasana harga RON95 naik setiap minggu ini dijangka berterusan minggu depan sebanyak 2 ke 3 sen lagi.

Oleh sebab itu, apa-apa kaedah penetapan harga minyak yang dilaksanakan oleh KPDNKK akan tetap merugi dan menyusahkan rakyat kecualilah kaedah harga petrol bersubsidi yang tertakluk kepada kuota setiap pengguna yang layak diperkenalkan.

Saya telah lama mengutarakan cadangan ini yang saya masukkan di dalam buku bertajuk “Panduan Bina Semula Negara” yang dilancarkan 2 bulan lalu.

Berikut adalah cara-cara untuk melaksanakan kaedah tersebut:

i. Semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu berhak membeli minyak bersubsidi tertakluk kepada jumlah penggunaan maksima bulanan. Selagi penggunaan tidak melebihi jumlah pengunaan maksima bulanan, harga petrol dan diesel yang dibayar adalah harga bersubsidi. Bagi setiap liter yang digunakan melebihi jumlah penggunaan maksima bulanan, pengguna perlu membayar harga penuh tanpa subsidi.

ii. Sistem subsidi yang tertakluk kepada jumlah penggunaan maksima bulanan ini akan beroperasi menggunakan MyKad di stesen-stesen minyak. Kerajaan akan membangunkan satu perisian yang boleh menyimpan maklumat penggunaan minyak bersubsidi. Setiap kali pengguna membeli minyak, dia akan memasukkan MyKad untuk merekodkan jumlah pengunaan minyak bersubsidi.

iii. Harga minyak bersubsidi akan disemak setiap minggu tertakluk kepada harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan. Jika harga pasaran adalah lebih rendah dari harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan, tiada subsidi yang diberikan dan pengguna membayar harga pasaran tanpa sebarang cukai. Jika harga pasaran melebihi harga siling yang ditetapkan, pembayar membayar harga siling dan harga selepas itu diserap oleh kerajaan dalam bentuk subsidi minyak. Kerajaan hanya memberikan subsidi terhad kepada jumlah penggunaan maksima bulanan.

iv. Mengambil kira suasana pasaran harga minyak mentah yang berlegar di antara USD45 ke USD55 setong dalam tempoh enam bulan lepas, saya mencadangkan harga siling sebanyak RM1.80 seliter (iaitu harga RON95 mengikut formula pada harga minyak mentah Brent sekitar USD45 setong).

v. Saya juga mencadangkan jumlah minyak bersubsidi tahunan ditetapkan pada jumlah 20% dari keseluruhan penggunaan petrol dan diesel tahunan. Berdasarkan jawapan Parlimen yang diberikan dalam tahun 2014, jumlah penggunaan petrol dan diesel oleh rakyat Malaysia setahun (bagi tahun 2017) diunjurkan sebanyak 27 bilion liter setahun. Oleh itu, sebanyak 5.4 bilion liter petrol dan diesel bersubsidi diperuntukkan kepada rakyat Malaysia setahun dan jumlah penggunaan maksima bulanan untuk setiap rakyat Malaysia yang layak boleh ditetapkan menggunakan had tahunan 5.4 bilion liter.

Berdasarkan harga minyak mentah semasa, pada anggaran harga minyak mentah Brent purata bagi tahun 2018 adalah USD50 setong, anggaran jumlah subsidi minyak tahunan yang akan dibayar kerajaan ialah 20 sen seliter bagi 5.4 bilion liter petrol dan diesel bersubsidi; iaitu perbelanjaan subsidi sebanyak RM1 bilion bagi tahun 2018.

Itu pun perbelanjaan subsidi RM1 bilion itu tertakluk kepada harga minyak mentah mencecah USD50 setong dan kadar matawang ringgit kekal seperti sekarang. Ada kemungkinan besar pentadbiran baru di Putrajaya boleh mengukuhkan nilai matawang ringgit yang mendorong perbelanjaan subsidi lebih rendah dari RM1 bilion.

Melalui dasar minyak bersubsidi yang tertakluk kepada jumlah penggunaan maksima bulanan seperti ini, harga minyak boleh distabilkan pada harga RM1.80 seliter buat masa yang lama dan membantu usaha kerajaan mengekang inflasi.

Saya akan turun berkempen di seberapa banyak kawasan Parlimen untuk mendapat sokongan rakyat agar sistem penetapan harga minyak subsidi berkuota ini digunapakai untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang yang dihadapi rakyat sekarang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.