Berapa Banyak Komitmen Malaysia Dengan Arab Saudi Akibat Skandal 1MDB?

Semalam, saya membawa isu bagaimana pelaburan Prasarana Malaysia Berhad sebagai pengendali sistem keretapi metro Arab Saudi di dua laluan telah menyebabkan kerugian sehingga RM142 juta. Angka kerugian yang diunjurkan itu selari dengan jawapan Perdana Menteri di Parlimen kepada soalan saya mengenai jumlah wang yang telah dibelanjakan oleh Prasarana Malaysia Berhad di Arab Saudi.

Tujuan saya membawa isu pelaburan Prasarana Malaysia Berhad di Arab Saudi berkait rapat dengan hubungan di antara Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pemerintah Arab Saudi sejak tuduhan sejumlah RM2.6 bilion wang yang berasal dari 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri mula diketahui umum.

Dato’ Seri Najib, media kerajaan dan Peguam Negara memberi alasan wang RM2.6 bilion itu didermakan oleh keluarga diRaja Arab Saudi kepada beliau walaupun bukti-bukti yang mula dikemukakan di mahkamah-mahkamah di negara lain (iaitu Amerika Syarikat dan Singapura setakat ini) menunjukkan wang itu diselewengkan dari dana 1MDB.

Sejak dari bocornya maklumat mengenai RM2.6 bilion ini, negara menyaksikan hubungan diplomatik dan perniagaan di antara pentadbiran Dato’ Seri Najib dan pemerintah Arab Saudi menjadi agenda luar negara terpenting Malaysia (selain hubungan rapat di antara Dato’ Seri Najib dan Kerajaan China).

Malangnya, setakat pemerhatian saya kepada beberapa perkara berhubung kerjasama diplomatik dan pelaburan di antara Malaysia dan Arab Saudi; saya mendapati kesemua kerjasama ini menguntungkan Arab Saudi dan merugikan Malaysia (yang kosnya ditanggung oleh rakyat Malaysia).

Saya kemukakan tiga contoh kerjasama diplomatik dan pelaburan yang saya kira berat sebelah dan ditanggung rakyat Malaysia:

1. Penyertaan tentera Malaysia di dalam aktiviti ketenteraan di Arab Saudi dan Timur Tengah – sehingga kini Kerajaan Persekutuan mengelak dari memberi jawapan yang jelas berapakah jumlah anggota tentera Malaysia yang kini berada di Arab Saudi. Kenyataan-kenyataan yang diberikan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein juga bertentangan dengan laporan dari Timur Tengah yang mendakwa kewujudan dan penyertaan anggota tentera Malaysia di Arab Saudi.

Saya mendapat maklumat yang diceritakan sendiri oleh anggota tentera Malaysia yang ditugaskan di Arab Saudi untuk menyediakan khidmat sokongan lojistik kepada misi tentera di sana. Menurut maklumat itu, ketumbukan tentera Malaysia di Arab Saudi melibatkan anggota tentera darat dan udara dan saya ditunjukkan gambar-gambar ketumbukan ini di pengkalan mereka.

Ini bukan kali pertama isu kewujudan tentera Malaysia di Arab Saudi ini ditimbulkan. Ia pernah ditanya di Parlimen oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu tetapi sehingga kini tiada jawapan yang jelas.

Berapa orang tentera Malaysia yang kini masih berada di Arab Saudi dan berapa kos yang ditanggung rakyat Malaysia untuk misi ini yang tidak pernah dimaklumkan secara rasmi?

2. Pelaburan Saudi Aramco di dalam RAPID dalam projek usahasama dengan PETRONAS – saya pernah membidas Dato’ Seri Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang sebelum itu mendabik dada kononnya hubungan baik Dato’ Seri Najib Tun Razak telah memainkan peranan penting meyakinkan Saudi Aramco untuk melabur di dalam projek RAPID.

Saya telah menunjukkan bukti bagaimana beberapa minggu sebelum itu, Saudi Aramco telah dilaporkan membuat keputusan tidak menyertai projek tersebut. Maklumat saya dari pihak yang terlibat menyatakan bahawa ada campur tangan dari luar yang membolehkan syarikat usahama PETRONAS-Saudi Aramco itu membeli bahan-bahan asas yang digunakan di loji petrokimia pada harga yang merugikan PETRONAS. Itu bermakna ada campur tangan yang membolehkan Saudi Aramco mendapat peratusan keuntungan yang lebih tinggi dari yang awalnya ditawarkan oleh PETRONAS, yang diunjurkan mencecah berbilion ringgit dalam tempoh 10 tahun.

3. Pelaburan Prasarana Malaysia Berhad di Arab Saudi yang menyebabkan syarikat milik kerajaan itu menanggung kerugian yang diunjurkan sehingga RM142 juta

Oleh kerana perkara-perkara di atas, saya perlu menanyakan soalan ini kepada Dato’ Seri Najib: adakah ini harga yang perlu dibayar oleh rakyat Malaysia untuk membolehkan Dato’ Seri Najib menggunakan nama keluarga diRaja Arab Saudi sebagai penderma wang RM2.6 bilion itu?

Saya bimbang jika isu 1MDB ini tidak diselesaikan dengan cepat, untuk terus membolehkan alasan “derma Arab Saudi” ini dijual kepada rakyat, lebih banyak wang rakyat atau kepentingan negara yang terpaksa dipertaruhkan untuk menjaga hubungan dengan pemerintah Arab Saudi – gara-gara kisah “derma” yang digunakan untuk tidak meneruskan siasatan ke atas Perdana Menteri.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.