Polis Menahan Sukarelawan Yang Menjejaki Dan Mengesahkan Alamat Florence Goh

Saya baru dimaklumkan bahawa Gerald Tang, seorang sukarelawan INVOKE dari Johor Bahru yang membantu menjejaki dan mengesahkan alamat Florence Goh baru sahaja ditahan polis.

Apabila kes melobi Amerika Syarikat oleh Godfrey Group Limited mula diketahui umum, saya dan Akmal Nasir meminta bantuan Gerald yang berada di Johor Bahru untuk mengesahkan kewujudan Florence Goh dan mengesahkan Godfrey Group Limited memang mempunyai alamat seperti yang terkandung di dalam perjanjian (di no 42, Jalan Molek 2/3, Taman Molek).

Saudara Gerald Tang kemudiannya turun sendiri ke lapangan dan berjaya mengesahkan bahawa Florence Goh (yang mengetuai NGO Care United JB) benar-benar wujud dan surat Godfrey Group Limited memang dihantar ke alamat yang sama kepada Florence Goh di 42, Jalan Molek 2/3, Taman Molek.

Saudara Gerald Tang memang telah mendapat panggilan dari pihak polis sejak seminggu lalu. Hari ini, beliau hadir untuk memberi keterangan di Kompleks Ibupejebat Polis Seri Alam (Johor Bahru) diiringi oleh YB Jimmy Pua, ADUN Bukit Batu dan Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor sebagai peguam beliau.

Beliau kini ditahan polis dan akan dibawa ke mahkamah majistret esok untuk membolehkan pihak polis mendapat perintah tahanan reman.

Satu sidang akhbar akan diadakan esok (Ahad, 11 Jun 2017) jam 230 petang di perkarangan Majistret Johor Bahru, Jalan Ayer Molek oleh Saudara Hassan Karim (Pengerusi KEADILAN Johor), YB Jimmy Pua (Timbalan Pengerusi KEADILAN Johor) dan Akmal Nasir (Pengarah National Oversight & Whistleblowers). Saudara Hassan Karim akan mewakili Saudara Gerald Tang semasa urusan permohonan reman.

Saya difahamkan tindakan polis ini diambil setelah Florence Goh membuat laporan polis terhadap Gerald Tang. Saya mengutuk sekeras-kerasnya sikap Florence Goh itu yang tidak mempedulikan desakan demi desakan agar beliau tampil memberi penjelasan pembabitan beliau melobi Kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak Perdana Menteri. Sebaliknya, individu bernama Florence Goh ini cuba menghukum seorang sukarelawan seperti Gerald Tang yang hanya membantu mengesahkan alamat beliau sebagai sebahagian dari tanggungjawab sivik yang patut dijalankan oleh seorang rakyat Malaysia.

Saya juga mendesak supaya tokoh-tokoh politik Umno yang kenal dengan Florence Goh iaitu Tan Sri Shahrir Samad dan Dato’ Nurjazlan Mohamad supaya menasihati Florence Goh agar menghentikan tindakan beliau yang mahu menghukum Gerald Tang yang hanya mengesahkan alamat beliau.

Saya mohon rakyat Malaysia yang prihatin dengan keadilan dan amanah untuk menyebarkan berita ini dan memberikan kata-kata semangat kepada Gerald Tang di lama Facebook beliau:
https://www.facebook.com/gerald. tang.5

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

One thought on “Polis Menahan Sukarelawan Yang Menjejaki Dan Mengesahkan Alamat Florence Goh”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.