Pentadbiran Dato’ Seri Najib Bayar RM1 Juta Kepada Bekas Pembantu Kempen Presiden Trump Untuk Melobi Kerajaan Amerika Syarikat

Saya merujuk kepada satu berita yang disiarkan oleh laman Daily Beast, sebuah portal berita dari Amerika Syarikat yang bersabit dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Semalam, laman itu menyiarkan sebuah berita mengenai bagaimana Kerajaan Malaysia (melalui sebuah syarikat) telah membayar bekas pembantu kempen Presiden Donald Trump yang bernama Healy Baumgardner-Nardone untuk menjalankan kerja-kerja melobi.

Berita penuh boleh dibaca di http://www.thedailybeast.com/articles/2017/05/24/ex-trump-aide-becomes-lobbyist-brags-about-white-house-ties?via=newsletter&source=DDAfternoon

 

Undang-undang Amerika Syarikat menetapkan bahawa sesiapa yang mahu melobi penjawat awam di negara itu bagi pihak negara asing perlu mengisytiharkan kerja-kerja melobi termasuk butiran-butiran berikut:

1. Bagi pihak siapa kerja-kerja melobi itu dibuat
2. Untuk tujuan apa kerja-kerja melobi itu dibuat
3. Berapa bayaran yang dibuat oleh kerajaan asing bagi kerja-kerja melobi itu

Pengisytiharan itu dibuat melalui satu borang rasmi yang mesti difailkan dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (Department of Justice) di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Ejen Asing (Foreign Agents Registration Act). Saya sertakan borang pengisytiharan rasmi yang difailkan oleh Healy Baumgardner-Nardone bagi kerja-kerja melobi yang dibayar oleh Kerajaan Malaysia.

Download (PDF, 191KB)

Semakan butir-butir pengisytiharan menunjukkan perkara-perkara berikut:

1. Pengisytiharan itu difailkan pada 19 Mei 2017 iaitu seminggu yang lalu

2. Pada muka surat 3, dinyatakan bahawa firma lobi itu mewakili Kerajaan Malaysia (yang berurusan) melalui sebuah syarikat bernama The Godfrey Group Limited

3. Alamat perhubungan dengan Kerajaan Malaysia disenaraikan di Godfrey Group Limited, 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek, Johor Bahru dan Pejabat Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya

4. Aktiviti melobi yang dibuat merujuk kepada usaha memperkukuhkan hubungan di antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Amerika Syarikat

5. Pada 9 Mei 2017, Godfrey Group Limited membayar wang berjumlah USD250,000 (bersamaan RM1.125 juta) kepada firma lobi milik Healy Baumgardner-Nardone untuk kerja-kerja melobi

Saya telah dengan segera membuat satu carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengenalpasti siapa di belakang syarikat The Godfrey Group Limited yang bertindak bagi pihak Kerajaan Malaysia ini.

Malangnya, tidak ada sebuah syarikat pun yang disenaraikan sebagai The Godfrey Group Limited di dalam rekod SSM. Rekod yang paling hampir dengan nama Godfrey adalah sebuah perniagaan milik peribadi bernama Godfrey Enterprise yang mempunyai alamat yang hampir sama dengan alamat yang disenaraikan di dalam borang pengisytiharan yang difailkan di Amerika Syarikat. Alamat Godfrey Enterprise ialah 32, Jalan Molek 1/6, Taman Molek iaitu berhampiran dengan alamat yang di dalam borang iaitu 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek.

Saya sertakan carian SSM bagi Godfrey Enterprise untuk rujukan umum.

Download (PDF, 92KB)

 

Mengikut rekod, Godfrey Enterprise dimiliki oleh seorang yang bernama Lim Boon Hoo yang berusia 70 tahun. Tidak ada bukti setakat ini yang menunjukkan Lim Boon Hoo adalah seorang ahli politik atau ada hubungan dengan Kerajaan Malaysia.

Carian di Google Earth dan Google Map juga menunjukkan alamat 43, Jalan Molek 2/3, Taman Molek seperti yang difailkan di dalam pengisytiharan bagi pihak Kerajaan Malaysia itu adalah alamat biasa yang tidak ada sebarang kaitan dengan jabatan kerajaan:

 

Adalah jelas bahawa Kerajaan Malaysia telah melantik satu firma lobi yang dimiliki oleh bekas pembantu kempen Presiden Donald Trump, melalui sebuah syarikat yang nampaknya tidak wujud (berdasarkan bukti setakat ini).

Persoalan paling utama ialah: apakah keperluan Kerajaan Malaysia melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi Kerajaan Amerika Syarikat? Kes yang mana yang perlu menggunakan seorang pelobi berbayar?

Saya mendesak Dato’ Seri Najib Razak menjelaskan kepada rakyat sama ada kerja-kerja lobi yang membabitkan pembayaran berjuta ringgit itu turut melibatkan kes-kes yang beliau mempunyai kepentingan peribadi; iaitu dakwaan penyelewengan melibatkan dana 1MDB terhadap anak tiri beliau dan Jho Low.

Saya juga mahu Dato’ Seri Najib menjawab siapakah sebenarnya di belakang Godfrey Group Limited yang menjalankan kerja-kerja bagi pihak Kerajaan Malaysia dan siapa yang membayar RM1.125 juta kepada firma pelobi Amerika Syarikat itu?

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

2 thoughts on “Pentadbiran Dato’ Seri Najib Bayar RM1 Juta Kepada Bekas Pembantu Kempen Presiden Trump Untuk Melobi Kerajaan Amerika Syarikat”

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.