Kajiselidik Populariti Perdana Menteri Dan Calon Perdana Menteri Pembangkang oleh I-CPI

LATAR BELAKANG
Penganalisa politik berpendapat untuk menang PRU14, Pakatan Harapan (terutamanya) perlu menamakan calon Perdana Menteri. Kegagalan mempersetujui seorang calon Perdana Menteri sering dirujuk oleh penganalisa politik sebagai kelemahan Pakatan Harapan.

Perkembangan politik mutakhir dengan kemasukan PPBM menyertai Pakatan Harapan dilihat menyulitkan lagi sebarang usaha untuk mempersetujui seorang calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan.

Kajiselidik ini dibuat untuk mendapatkan data yang mewakili semua lapisan pengundi (mengikut kaum, jantina, umur dan negeri) untuk menjawab soalan-soalan berikut:

i. Berapa ramai rakyat Malaysia yang masih mahu Dato’ Seri Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri?
ii. Bagaimana populariti pimpinan terkanan pembangkang dari PKR, PAS dan PPBM sebagai calon Perdana Menteri?
iii. Adakah isu siapa Perdana Menteri dari Pakatan Harapan adalah faktor penting yang mempengaruhi undi kepada Pakatan Harapan?

KAEDAH DAN SAMPEL
17,962 orang pengundi berdaftar di seluruh negara ditemuramah di dalam bahasa ibunda masing-masing atau bahasa Melayu.

Kajiselidik melibatkan temuramah melalui telefon di antara analis kajiselidik (penemuramah) dan pengundi (ditemuramah) menggunakan bahasa ibunda masing-masing. Kajiselidik dijalankan selama lebih tiga bulan dari 6 Februari 2017 ke 23 Mei 2017.

Pengundi dipilih dan didail secara rawak oleh sistem kajiselidik berkomputer INVOKE. Seramai 2.8 juta orang pengundi berdaftar didail secara rawak. Dari jumlah itu, 168,796 orang pengundi mengangkat telefon dan 17,962 orang pengundi menjawab kesemua soalan yang ditanya.

Keputusan hasil dari kajiselidik melibatkan 17,962 orang pengundi berdaftar ini kemudiannya diterjemahkan kepada keputusan nasional mengikut agregat seperti berikut:

i. Keputusan 17,962 orang pengundi diagregatkan mengikut umur, jantina dan kaum supaya melambangkan taburan demografi pengundi di seluruh negara
ii. Keputusan 17,962 orang pengundi diagregatkan mengikut taburan pengundi di setiap negeri supaya melambangkan kedudukan kerusi parlimen di seluruh negara

Pengundi ditanya soalan-soalan berikut:

Soalan 1
Adakah anda setuju atau tidak setuju dengan apa yang Najib Razak lakukan sekarang sebagai Perdana Menteri?
a) Setuju
b) Tidak Setuju
c) Tidak tahu (Jangan Baca)

Soalan 2
Antara yang berikut yang manakah menjadi pilihan anda sebagai Perdana Menteri Malaysia yang seterusnya?
a) Najib Razak
b) Mahathir Mohamad
c) Anwar Ibrahim
d) Muhyiddin Yassin
e) Mukhriz Mahathir
f) Hadi Awang
g) Azmin Ali
h) Rafizi Ramli
i) Nurul Izzah
j) Wan Azizah
k) Lain-lain (Jangan Baca)
l) Tidak tahu, tidak pasti (Jangan Baca)
m) Enggan memberi jawapan (Jangan Baca)

KEPUTUSAN
Keputusan terperinci dan angka-angka adalah seperti di dalam slaid yang dilampirkan.

Download (PDF, 605KB)

PEMERHATIAN UTAMA
1. Hanya 3 dari 10 rakyat Malaysia menamakan Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri pilihan mereka selepas PRU14

2. Lebih ramai rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan tindakan Dato’ Seri Najib berbanding yang berpuas hati

3. Lebih satu pertiga dari responden yang bersetuju dengan tindakan Dato’ Seri Najib tidak menamakan beliau sebagai Perdana Menteri

4. Pola populariti Dato’ Seri Najib hampir sama dengan pengundi dari ketiga-tiga kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India

5. Dato’ Seri Anwar adalah calon yang paling popular di kalangan pemimpin pembangkag yang mendapat sokongan dari semua kaum

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli
24 Mei 2017

Bagi pihak INVOKE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.