Komitmen Mengurangkan Pekerja Asing Mengikut Fasa Menjelang 2030

Saya dan pasukan penyelidik yang membantu telah mengkaji masalah kebanjiran dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing sejak beberapa bulan yang lalu. Saya percaya isu reformasi tenaga kerja (“labour reform”) adalah salah satu isu yang paling penting kerana melibatkan jumlah rakyat yang terbanyak.

Pengakuan Encik Chua Choon Hwa, Timbalan Setiausaha Bahagian Dasar, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bahawa jumlah pekerja asing telah pun melebihi jumlah rakyat Malaysia berbangsa India tahun lepas bukan lagi satu perkara yang mengejutkan.

Unjuran beliau bahawa menjelang tahun 2034, jumlah pekerja asing akan mencecah 7.5 juta orang dan menjadi kumpulan kedua terbesar selepas Melayu/Bumiputra menjelang 2040 mengatasi rakyat Malaysia berbangsa Cina, India, Iban, Kadazan dan kumpulan Bumiputra yang lain; memberi gambaran hala tuju negara ini di bawah Umno/Barisan Nasional.

Lebih merumitkan, sebarang perbincangan jujur mengenai reformasi tenaga kerja di negara ini akan menjadi caca merba kerana pertembungan pihak-pihak berkepentingan seperti berikut:

1. Proses membawa masuk, mengawalselia dan menguruskan pekerja asing telah menjadi industri besar di negara ini. Konsesi bernilai berbilion ringgit diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu yang mendapat untung besar untuk melakukan saringan kesihatan, membayar kos permit yang tinggi, ejen-ejen dan pelbagai karenah birokrasi lain. Akibatnya, sebarang keputusan untuk mengurangkan kemasukan pekerja asing sudah tentu akan mengganggu periuk nasi golongan berkepentingan ini yang selalunya rapat dengan pimpinan Umno/Barisan Nasional;

2. Ada beberapa industri yang tidak sepatutnya menggunakan pekerja asing tetapi telah selesa dengan lambakan pekerja asing yang dianggap lebih rendah kos buruhnya dan lebih sedang diurus kerana mereka tidak bertukar-tukar kerja. Sebarang usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing akan mendapat bantahan kuat dari pelobi industri-industri ini.

Masalahnya bebanan dan kesan buruk dari lambakan dan kebergantungan kepada pekerja asing ini benar-benar telah mengatasi kebaikan kos buruh yang lebih rendah yang sering diwar-war sebagai sebab kenapa Malaysia tidak boleh mengurangkan pekerja asing.

Lambakan dan kebergantungan tersebut adalah salah satu punca utama pengangguran di kalangan rakyat Malaysia apabila tenaga kerja Malaysia yang tidak berpendidikan tinggi dikira tidak sesuai (atau tidak mampu bersaing) untuk kerja-kerja yang tidak memerlukan kemahiran teknikal.

Apa perlunya restoran-restoran dan kedai-kedai menggaji pekerja asing sebagai pelayan sedangkan kerja-kerja tersebut boleh dibuat dengan baik (dengan latihan) oleh pekerja tempatan? Apa perlunya kilang-kilang yang tidak memerlukan kemahiran teknikal dan khusus menggaji pekerja asing sedangkan kerja-kerja tersebut sepatutnya diisi oleh rakyat tempatan.

Jika pun ada isu mengenai kesesuaian dan sikap pekerja tempatan yang suka bertukar kerja (seperti yang selalu juga disebut sebagai punca majikan lebih gemarkan pekerja asing), ini adalah isu-isu yang perlu ditangani bersama dengan cara membudayakan perspektif kerja yang lebih baik di kalangan pekerja tempatan.

Sebab itu saya menyeru supaya Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia membentangkan senarai industri-industri yang dibenarkan membawa masuk pekerja asing dan industri-industri yang menggunakan pekerja asing walaupun sebenarnya tidak termasuk di dalam senarai yang diluluskan. Saya yakin ada banyak industri yang tidak dibenarkan membawa masuk pekerja asing tetapi oleh kerana kelompongan dasar dan prosedur di pihak kerajaan, industri-industri ini secara berterusan menggunakan pekerja asing dan menafikan hak pekerja rakyat Malaysia.

Saya menyeru supaya semua pihak memberi fokus kepada usaha-usaha untuk mencapai konsensus nasional agar ada komitmen dan rancangan di peringkat tertinggi kerajaan untuk mengurangkan lambakan dan kebergantungan kepada pekerja asing menjelang tahun 2030.

Saya kini sedang menyiapkan satu kertas dasar mengenai reformasi tenaga kerja yang akan memperincikan sasaran peratusan pekerja asing berbanding pekerja rakyat Malaysia menjelang 2030 serta langkah-langkah ke arah mencapai sasaran itu.

Kertas dasar itu akan dibentangkan di dalam satu wacana dasar yang dianjurkan oleh I-CPI (INVOKE Centre for Policy Initiatives) pada 14 Mei 2017 bermula jam 1 petang di Hotel Empire, Subang.


RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.