Berapa Wang Rakyat Yang Disalurkan Kepada Tan Sri Peter Sondakh, Pemilik PT Rajawali Untuk Membina Hotel Dan Pusat Persidangan Antarabangsa Di Langkawi?

Sejak tercetusnya kontroversi pembelian saham PT Eagle High Plantations oleh Felda pada harga yang 3 kali lebih tinggi dari harga pasaran oleh Felda, saya telah berkali-kali menanyakan sama ada Dato’ Seri Najib Tun Razak ada mengeluarkan arahan (rasmi atau tidak rasmi) agar urusniaga itu diteruskan.

Saya juga secara konsisten menyebut bahawa Dato’ Seri Najib ada hubungan persabahatan yang baik dengan Tan Sri Peter Sondakh, pemilik kumpulan PT Rajawali yang menjual saham di dalam PT Eagle High Plantations kepada Felda. Kenyataan-kenyataan saya itu tidak pun dijawab di dalam media atau melalui saman, walaupun ia memberi gambaran ada pertembungan kepentingan (“conflict of interest”) yang mempersoalkan kewajaran pembelian oleh Felda.

Saya yakin membuat kenyataan-kenyataan itu kerana hubungan baik di antara Dato’ Seri Najib dan Tan Sri Peter Sondakh telah pun dipamerkan sebelum ini.

Pada 10 November 2013, Dato’ Seri Najib sendiri yang menyempurnakan upacara pecah tanah hotel mewah St Regis dan Pusat Persidangan Antarabangsa Langkawi (LICC) yang dikendalikan syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Peter Sondakh.

Perkara ini dilaporkan oleh Bernama yang turut disiarkan oleh The Malaymail Online di capaian berikut:
http://www.themalaymailonline.com/malaysia/article/langkawi-to-have-two-new-landmarks

Laporan Bernama itu menyebut:

1. Dato’ Seri Najib mengumumkan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN yang dijangka diadakan pada April 2015 akan diadakan di LICC

2. Pembinaan Hotel St Regis dan LICC (bagi tujuan Sidang Kemuncak ASEAN 2015) dikendalikan oleh Kumpulan Rajawali milik Tan Sri Peter Sondakh dan bakal disiapkan dalam tempoh 15 bulan dari tarikh pecah tanah

3. Tan Sri Peter Sondakh menyatakan bahawa pihaknya memerlukan bantuan dari Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Kementerian Kewangan

4. Projek untuk membina Hotel St Regis dan LICC itu dianggarkan menelan belanja RM400 juta

Saya tahu bahawa kedua-dua projek itu dibina menggunakan juga wang rakyat dalam keadaan rakyat membayar cukai GST. Sebarang bantuan kewangan yang diberikan kepada Tan Sri Peter Sondakh samalah seperti mengutip cukai GST dari orang miskin untuk diberikan kepada hartawan asing yang merupakan sahabat Perdana Menteri.

Sebab itu saya mahu memulakan isu ini dengan mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak memaklumkan kepada orang ramai dari jumlah RM400 juta yang dianggarkan dibelanjakan, berapa yang dibiayai oleh wang rakyat?

Saya akan menyambung isu ini esok untuk menunjukkan bagaimana wang rakyat telah digunakan untuk projek ini semasa kerajaan mengutip cukai GST dan kenaikan kos sara hidup rakyat makin membebankan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.