Belanjawan Tambahan Bagi Gambaran Wang Lebih, Sepatutnya Digunakan Untuk Subsidi Minyak

Saya merujuk kepada ucapan penggulungan Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Johari Ghani pada hari Isnin lalu yang secara jelas mengesahkan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berhasrat untuk mengembalikan subsidi minyak walaupun Kerajaan Persekutuan bakal mendapat pendapatan luar jangka apabila harga minyak mentah dalam bulan Januari dan Februari lebih tinggi dari harga yang digunapakai semasa menyediakan Bajet2017 iaitu USD45 setong.

Saya juga ingin menarik perhatian rakyat kepada tindakan pentadbiran Dato’ Seri Najib yang akan membentangkan satu belanjawan tambahan untuk mendapat kelulusan perbelanjaan lebih yang telah dibelanjakan di dalam tahun 2016 tanpa peruntukan (dan kelulusan Parlimen). Rang Undang-undang Belanjawan Tambahan itu akan dibentangkan untuk kelulusan dewan minggu depan dan intipati perbelanjaan adalah seperti berikut:

1. Jumlah keseluruham adalah RM3.08 bilion

2. Jumlah terbesar adalah pindahan dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM2,248,437,560 bagi membiayai perbelanjaan di bawah kategori “pembangunan” yang telah dibelanjakan dalam tahun 2016

3. Baki (sekitar RM830 juta) ialah untuk perbelanjaan mengurus yang telah dibelanjakan dalam tahun 2016 tanpa peruntukan

Saya ingin mengulangi kritikan saya sebelum ini bahawa amalan Kerajaan Persekutuan membelanjakan terlebih dahulu wang rakyat tanpa peruntukan dan hanya membentangkan permohonan belanjawan tambahan selepas dibelanjakan; adalah satu penghinaan kepada rakyat dan Dewan Rakyat.

Saya yakin Pakatan Harapan (jika berkuasa di Putrajaya) akan melaksanakan satu proses pembentangan berkala kepada Jawatankuasa Terpilih (Select Committee) untuk memastikan prestasi perbelanjaan dan kewangan Kerajaan Persekutuan akan dipantau setiap 3 bulan. Apabila ada tanda-tanda bahawa belanjawan tambahan diperlukan, Menteri Kewangan perlu membentangkan permohonan itu dengan lebih awal dan bukannya setelah dibelanjakan seperti amalan sekarang.

Lebih dari itu, keputusan Dato’ Seri Najib memindahkan sejumlah RM2.25 bilion dari Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang tidak pun ada peruntukan sebelum ini membayangkan Kerajaan Persekutuan ada hasil tambahan kebelakangan ini.

Saya telah bertanya berkali-kali berapakah hasil tambahan Kerajaan Persekutuan dari kutipan cukai, royalti dan dividen tambahan apabila harga minyak mentah dunia lebih tinggi dari USD45 setong. Soalan ini enggan dijawab oleh mana-mana menteri.

Apabila Kerajaan Persekutuan telah terlebih belanja tanpa peruntukan, ada kaedah melalui Peruntukan Luar Jangka agar perbelanjaan mendesak seperti menguruskan bencana alam dapat ditanggung tanpa perlu menunggu kelulusan peruntukan.

Namun yang berlaku kali ini, saya perhatikan pentadbiran Dato’ Seri Najib memindahkan sejumlah RM2.25 bilion ke Kumpulan Wang Pembangunan untuk membiayai projek-projek pembangunan sedangkan jika telahan saya tepat, sebahagian besar hasil luar jangka yang masuk ke Akaun Hasil Disatukan datang dari pendapatan tambahan akibat kenaikan harga minyak dunia.

Sebab itu saya ingin mempersoalkan kewajaran memindahkan sejumlah wang dari Akaun Hasil Disatukan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang tidak mempunyai peruntukan sebelum ini, sedangkan pada masa yang sama Kerajaan Persekutuan enggan memberikan subsidi minyak hatta satu sen pun.

Saya mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menghentikan hasratnya memperkenalkan semakan harga minyak mingguan tanpa subsidi kerana itu akan terus menimbulkan kemarahan rakyat dalam keadaan wang dari Akaun Hasil Disatukan digunakan untuk membiayai projek-projek pembangunan yang tiada peruntukan sebelum ini, bukannya digunakan untuk menurunkan kos sara hidup yang membebankan rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.