Ugutan Kepada Sektor Swasta Untuk Melaksanakan SL1M: Pengangguran Siswazah Paling Tinggi Di Bawah Pentadbiran Dato’ Seri Najib Razak

Saya merujuk kepada laporan mengenai amaran Dato’ Seri Najib Tun Razak agar syarikat senaraian awam mengambil bahagian di dalam Skim Latihan 1Malaysia (SLIM) jika tidak mahu berdepan kesukaran mendapatkan kontrak besar dari kerajaan di masa akan datang.

Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) adalah hasil projek 1Malaysia yang dilancarkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk membantu graduan berijazah yang menganggur dengan menempatkan mereka di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melalui skim perantis dengan bayaran elaun sekitar RM1,500 sebulan.

Sementara saya menyokong sebarang usaha untuk mengurangkan jumlah pengangguran di negara ini, adalah sangat penting untuk kita memberi tumpuan kepada sebab utama kenapa pengangguran berlaku. Program-program seperti SL1M yang dipasarkan oleh pasukan propaganda Dato’ Seri Najib sebagai bukti keprihatian Dato’ Seri Najib dengan kesusahan golongan muda sebenarnya menyembunyikan hakikat sebenar pasaran pekerjaan di negara ini di bawah pentadbiran Dato’ Seri Najib.

Saya sertakan statistik dari Jabatan Buruh yang menunjukkan jumlah penganggur keseluruhan di negara ini di antara Mac 2013 hingga November 2016:

 

 

Jumlah rakyat Malaysia yang menganggur dalam tempoh tiga tahun setengah telah meningkat sebanyak 16% dari seramai 439,600 orang (Mac 2013) kepada 510,700 orang (November 2016). Statistik ini disiarkan setiap bulan dan adalah fakta yang paling kukuh bahawa rakyat biasa sedang mengalami kesusahan kerana semakin hari semakin ramai yang hilang pekerjaan.

Namun, satu lagi statistik yang tidak diketahui oleh rakyat Malaysia ialah peratusan graduan yang menganggur.

Saya sertakan statistik yang dikumpul dan diterbitkan oleh The Quality of Government Institute iaitu sebuah institut pemikir dari Sweden yang mengkaji pola pengangguran dan ekonomi di seluruh dunia yang mengikuti kadar pengangguran di kalangan graduan berijazah di Malaysia (lawati http://qog.pol.gu.se/ untuk memuat turun data pasaran pekerjaan Malaysia dan laporan berkaitan):

 

 

Sejak institut tersebut mengumpulkan data pasaran dan pengangguran graduan Malaysia bermula tahun 1995, kadar pengangguran graduan semasa pentadbiran Dato’ Seri Najib adalah yang tertinggi berbanding di bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad atau Tun Abdullah Badawi, seperti berikut:

Tahun Jumlah pengganggur berijazah (sebagai % dari jumlah penganggur keseluruhan)
2011 29.8
2012 27.3
2013 23.7
2014 28.8

 

Ini bermakna, bagi tahun 2014 (iaitu kali terakhir angka diterbitkan), dari setiap 10 orang penganggur, 3 orang mempunyai ijazah. Sudah tentu graduan di negara ini dibebankan lagi dengan kos pembiayaan pendidikan yang tinggi dan cara PTPTN menyenarai hitam peminjam yang menyebabkan mereka terkeluar dari sistem kewangan negara dan sukar mendapat pembiayaan lain.

Sebab itu, saya berpendapat cubaan Dato’ Seri Najib mengugut syarikat-syarikat swasta untuk mengambil graduan yang menganggur melalui SL1M adalah melepaskan tanggungjawab sendiri kerana statistik pasaran kerja menunjukkan lebih ramai graduan dan rakyat Malaysia keseluruhannya menganggur di bawah pentadbiran beliau.

Perkara yang lebih penting ialah bagi beliau membetulkan pentadbiran ekonomi terlebih dahulu agar lebih banyak peluang pekerjaan yang menawarkan gaji yang setimpal dengan kelulusan dapat diwujudkan oleh ekonomi Malaysia.

Saya akan mula memperjuangkan isu-isu bersabit peluang pekerjaan rakyat bermula hari ini untuk memastikan masalah pengangguran yang semakin meruncing ini dapat ditangani segera.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia
https://www.youtube.com/watch?v=V04XJSXtW0s

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.