Tan Sri Annuar Musa Jangan Abaikan Tanggungjawab Selesaikan Masalah Di MARA, Memenangi Kerusi FAM Aktiviti Sambilan

Saya mengikuti dengan dekat perkembangan MARA dan krisis kepimpinannya yang melibatkan Tan Sri Annuar Musa sehinggalah kepada perkembangan terkini berhubung pencalonan beliau untuk bertanding kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Sementara saya tidak mahu campur di dalam urusan bolasepak di negara ini kerana ramai lagi yang lebih layak dan itu bukan bidang saya, adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai Ahli Parlimen untuk mengingatkan Tan Sri Annuar Musa bahawa penglibatan beliau sebagai calon Presiden FAM tidak boleh mengatasi tugas bergaji beliau sebagai Ahli Parlimen dan Pengerusi MARA.

Apatah lagi dalam keadaan kebajikan siswazah dan keluarga yang bergantung nasib kepada MARA untuk menyediakan peluang pendidikan menjadi semakin buruk sejak beliau menyandang jawatan Pengerusi MARA.

Saya pernah perjuangkan sebelum ini nasib siswazah yang menuntut di institusi pendidikan MARA (IPMa) yang berdepan dengan pelbagai kesempitan kewangan akibat dasar pembiayaan MARA yang berubah-ubah. Sepanjang beliau menjadi Pengerusi MARA, kedudukan MARA sebagai institusi pembiayaan (baik melalui biasiswa atau pinjaman) semakin merosot berdasarkan masalah pembiayaan yang semakin menjadi-jadi terutamanya di institusi pendidikan MARA (IPMa) seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysia Institute (GMI) dan lain-lain.

Aduan dan rintihan yang paling kerap dibawa kepada saya ialah bersabit pembiayaan siswazah UniKL. Selain daripada beratus-ratus kes yang saya pernah suarakan tahun lepas, saya terus mendapat aduan termasuklah yang terbaru (saya bacakan satu email dari seorang ayah):

“ Anak saya belajar di UNIKL MFI Bangi.Sekarang sudah hampir masuk ke sem 2 masih lagi tidak mendapat borang agreement pinjaman pelajaran.Dokumen telah dihantar pd hujung sem satu.Persoalannya bilakah wang pinjaman akan di bayar.Saya terpaksa mengeluarkan rm700 setiap bulan untuk sarahidup anak saya.Saya sudah menyara anak selama 7 bulan.sedankan saya hanyalah seorang pesara.Harap yb dpt membantu.”

Aduan sebegini berlaku secara berterusan; sebab itu rakyat begitu marah apabila dokumen yang menunjukkan penajaan pasukan bolasepak di bawah kelolaan Tan Sri Annuar Musa menggunakan dana Universiti Kuala Lumpur mula menjadi tular. Nasib baik dokumen itu tidak datang dari saya dan datang dari YTM Tengku Mahkota Johor, jika tidak sudah tentu saya terpaksa bermalam di dalam lokap.

Maka pada hari ini saya ingin mengingatkan Tan Sri Annuar Musa bahawa walaupun beliau digantung perkhidmatan sebagai Pengerusi MARA, beliau masih lagi Pro-Canselor II UniKL. Beliau masih lagi bertanggungjawab menyelesaikan segala kemelut kewangan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar yang menghadapi kesukaran pembiayaan sedangkan pelbagai janji telah diberikan sebelum ini.

Terbaru, saya dimaklumkan bahawa UniKL telah menaikkan sewa bulan bagi beberapa kampusnya iaitu UniKL MIIT (Kuala Lumpur), UniKL MICET (Alor Gajah) dan UniKL MITEC (Masai) menjadi RM150 sebulan. Semakan kepada yuran bulanan (mengikut sistem semester yang lama iaitu 5-2-5) menunjukkan sewa bulanan sebelum ini ialah di antara RM110 ke RM120 sebulan; iaitu peningkatan sehingga 25%.

Pekeliling Yuran Baru Asrama

https://drive.google.com/open?id=0B2GRLI8QVQQgcHFWWnRyQ2NuWk0

Perkara ini berlaku dalam keadaan UniKL menaja pasukan bolasepak di bawah kelolaan Tan Sri Annuar Musa; seolah-olah pelajar terpaksa membayar lebih dan sebahagian wang yang dikutip dibelanjakan bagi tujuan politik pemimpin tertentu.

Saya menunggu maklumbalas dari Tan Sri Annuar Musa, MARA dan UniKL dengan desakan supaya kenaikan yuran ini dihentikan serta merta. Saya akan terus memberi tumpuan kepada soal pembiayaan pendidikan MARA dan prestasi MARA dalam beberapa minggu yang akan datang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di

Facebook | Rafizi Ramli
https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan

Youtube | INVOKE Malaysia https://www.youtube.com/channel/UCZR8ZLTDfgMQgLyZBkeqaQg

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.