Siasat Semua Keputusan Pelaburan Oleh Pengurusan Kanan Yang Terlibat Dengan Pelaburan Tabung Haji Yang Gagal

Seawal tahun 2015, saya telah memberi amaran semasa berucap di Parlimen supaya tata kelola badan amanah yang menjaga wang rakyat seperti Tabung Haji diperketatkan agar tidak mudah dananya digunakan untuk menyelematkan pimpinan politik yang tersepit. Ketika itu, saya merujuk kepada ura-ura dana Tabung Haji digunakan untuk menyelamatkan 1MDB dan ucapan saya itu diherdik keras oleh Pengerusi Tabung Haji, Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Baling.

Sejak tahun 2016, saya telah menumpukan sebahagian masa dan tenaga saya menyemak pelaburan-pelaburan Tabung Haji serta prestasi kewangannya. Tabung Haji adalah badan yang diberi amanah untuk “mentadbirkan Kumpulan Wang” (seperti ketetapan Akta Tabung Haji 1995) iaitu melaburkan wang bakal jemaah haji dan pendeposit beragama Islam.

Sebahagia besar dari prestasi kewangannya ditentukan oleh keputusan perniagaan dan tata kelola pengurusan di dalam dua bentuk pelaburan utama seperti berikut:

1. Pelaburan berbentuk jual beli instrumen seperti jual beli saham, jual beli kertas hutang, menyimpan dana di dalam akaun jangka pangjang dan seumpamanya. Di dalam pengurusan pelaburan, aktiviti pelaburan ini sering dirujuk sebagai “ekuiti dan pendapatan tetap” (equity and fixed income).

2. Pelaburan berbentuk penubuhan syarikat untuk kegiatan perniagaan khusus; atau mengambilalih perniagaan lain dengan membeli saham pada jumlah yang meletakkan Tabung Haji sebagai pemegang saham besar yang boleh mengawal atau mempengaruhi pengurusan perniagaan. Pelaburan sebegini berbentuk jangka panjang dan dinilai dari segi sumbangan keuntungan kepada kumpulan Tabung Haji dalam bentuk dividen dan nilaian saham yang meningkat dan boleh dilupuskan di masa akan datang.

Sekiranya keuntungan dari kedua-dua bentuk pelaburan sebegini baik, maka keuntungan Tabung Haji juga baik dan membolehkan ia mengagihkan lebih banyak keuntungan kepada pendeposit. Lebih banyak keuntungan yang diagihkan setiap tahun, lebih cepat simpanan bakal Jemaah haji meningkat dan lebih cepat mereka dapat menunaikan haji kerana telah mencukupi syarat kewangan yang ditetapkan iaitu simpanan mestilah melebihi sekitar RM10,000 (iaitu kos menunaikan haji yang ditetapkan kini).

Sebab itu saya berkeras bahawa prestasi kewangan Tabung Haji dari keputusan-keputusan pelaburannya mestilah diteliti oleh rakyat kerana prestasi yang tidak sebaik yang sepatutnya ada kesan langsung kepada jutaan rakyat Malaysia beragama Islam yang rata-ratanya berpendapatan rendah. Saya telah tunjukkan sebelum ini bagaimana kadar keuntungan haji yang dikurangkan dari 3% sebelum ini ke 1.5% bagi tahun 2016 adalah bersamaan dengan kelewatan menunaikan haji selama setahun bagi jemaah yang berbaki simpanan RM2,500 (iaitu anggaran purata baki simpanan jemaah yang belum menunaikan haji) dan menambah simpanan RM50 sebulan.

Saya menerangkan perkara ini kerana saya mahu menjawab alasan bahawa pendeposit Tabung Haji tidak wajar mengharapkan keuntungan dari simpanan mereka di Tabung Haji; cukuplah sekadar dapat menunaikan ibadah haji.

Oleh sebab itulah, sebagai Ahli Parlimen dan pemimpin kanan parti pembangkang, saya meletakkan satu piawai bahawa prestasi pelaburan Tabung Haji mestilah sama baik atau lebih baik dari syarikat-syarikat pelaburan komersil yang lain. Ini kerana Tabung Haji bukan sahaja mendapat monopoli dari segi simpanan deposit bakal jemaah haji yang wajib disimpan di Tabung Haji sahaja; malah ia juga mendapat banyak kemudahan dan keistimewaan lain dari kerajaan.

Maka, bila pelaburan di dalam syarikat-syarikat tertentu yang melibatkan ratusan juta wang pendeposit Tabung Haji hangus begitu sahaja, saya juga telah menyiasat siapakah individu-individu yang menjadi wakil kepada Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat ini.

Sebelum ini, saya telah mendedahkan penglibatan Tabung Haji di dalam syarikat-syarikat yang bermasalah seperti Silverbird (pembuat roti), Perisai Petroleum (minyak dan gas) serta TH Heavy Engineering (khidmat kepada industri minyak dan gas).

Bulan lalu, bekas CEO TH Heavy Engineering iaitu Dato’ Nor Badli Munawir Mohamad Alias Lafti telah dihadapkan ke mahkamah atas beberapa tuduhan. Sementara beliau tidak lagi mempunyai pengaruh ke atas pengurusan dana rakyat di dalam Tabung Haji dan perlu membela diri mengikut proses undang-undang, Lembaga Pengarah Tabung Haji sepatutnya mengambil langkah segera menilai semula semua keputusan-keputusan pelaburan yang pernah dibuat oleh beliau dan pengurusan kanan yang terlibat dengan beliau.

Maka, saya telah menyemak kembali pengurusan kanan yang terlibat di dalam pelaburan-pelaburan Tabung Haji yang mendatangkan kerugian beratus juta ringgit ini.

Selain menjadi CEO di TH Heavy Engineering, Dato’ Nor Badli juga pernah menjadi CEO di Theta Edge Berhad (sebelum ini dikenali sebagai Lityan Holdings Berhad).

Seorang lagi pengurusan kanan Tabung Haji yang pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah di Theta Edge Berhad ialah Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani, yang kini adalah Ketua Pegawai Operasi (COO) Tabung Haji. Selain penglibatan beliau di dalam Theta Edge Berhad, Dato’ Adi Azuan Abdul Ghani juga pernah menjadi ahli Lembaga Pengarah di Silverbird.

Seperti juga pelaburan Tabung Haji di dalam Silverbird yang mengalami kerugian besar, pelaburan Tabung Haji di dalam Theta Edge Berhad juga terus mengalami kerugian. Berdasarkan laporan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015, jumlah kerugian terkumpul bagi Theta Edge Berhad dan anak-anak syarikat di dalam kumpulannya telah mencecah RM90 juta. Tabung Haji merupakan pemegang saham terbesar di dalam Theta Edge pada pegangan 69%.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Pengarah Urusan Tabung Haji, Dato’ Johan Abdullah dan pengerusi Lembaga Pengarah, Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim supaya menyiasat semua keputusan pelaburan yang pernah dicadangkan dan dibawa oleh Dato’ Adi Azuan kepada Panel Pelaburan dan Lembaga Pengarah Tabung Haji untuk memastikan semua pelaburan Tabung Haji adalah berisiko rendah dan menguntungkan.

Pada masa yang sama, saya mengesyorkan supaya kesemua keputusan pelaburan Tabung Haji sejak tahun 2000 diaudit oleh sebuah pasukan bebas yang ditubuhkan oleh kerajaan untuk memastikan bahawa tidak ada unsur kecuaian, salah guna kuasa atau tindakan yang membolehkan pengurusan kanannya mendapat laba dari keputusan mereka.

Saya akan mendedahkan prestasi pelaburan Tabung Haji di dalam Theta Edge dalam sidang media yang seterusnya.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:

Facebook | https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/vb.145165568851292/1418350621532774/?type=3&theater

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.