Setuju Dengan Cadangan Persatuan Ekonomi Malaysia, Gesa Perdana Menteri Gantikan Semua Lantikan Politik Di Tabung Haji Dan Felda

Saya mengalu-alukan kenyataan Dato’ Latifah Merican Cheong, mantan Penolong Bank Negara Malaysia dan Timbalan Presiden Persatuan Ekonomi Malaysia (PEM) mengenai keperluan meletakkan kawal selia prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Parlimen.

Pandangan beliau itu selari dengan pendirian saya dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan selama ini, iaitu:

1. Jawatankuasa Terpilih (Select Committee) yang khusus untuk mengawal selia prestasi kewangan sektor-sektor penting yang melibatkan wang rakyat perlu diwujudkan;

2. Jawatankuasa Terpilih ini perlu dianggotai oleh ahli-ahli parlimen yang berkelayakan dan padan dengan kepakaran dari kerajaan dan pembangkang;

3. Kakitangan dan sumber yang khusus diberikan kepada Jawatankuasa-jawatankuasa Terpilih ini untuk meneliti dan mengawal selia prestasi dan perjalanan sektor-sektor penting yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Susulan dari kenyataan Dato’ Latifah Merican Cheong itu, saya mencadangkan supaya sekurang-kurangnya ada dua Jawatankuasa Terpilih yang baru iaitu Jawatankuasa Terpilih yang mengawal selia perbelanjaan dan prestasi kementerian serta agensi-agensi kerajaan; dan Jawatankuasa Terpilih yang mengawal selia perbelanjaan dan prestasi badan pelaburan kerajaan, PETRONAS dan GLC. Selain dari tanggungjawab mengawal selia perbelanjaan dan prestasi badan/syarikat, Jawatankuasa Terpilih juga diberi kuasa menjalankan proses pengesahan pencalonan (“confirmation hearing”) untuk mengesahkan calon-calon CEO/Pengarah Urusan/Pengerusi yang dicadangkan oleh Perdana Menteri.

Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa desakan untuk memisahkan kawal selia dan pertanggungjawaban badan/syarikat milik kerajaan kepada Perdana Menteri adalah semakin memuncak. Malah, sentimen rakyat telah bertukar menjadi penolakan kepada penglibatan ahli politik di dalam badan-badan ini disebabkan pelbagai skandal yang berlaku di bawah pentadbiran beliau yang melibatkan kepimpinan ahli politik di badan/syarikat milik kerajaan.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Dato’ Seri Najib mendengar suara rakyat itu dengan menukar ahli-ahli lembaga pengarah di dua badan kerajaan yang menduduki kerusi tersebut atas dasar ahli politik/lantikan politik; seperti yang disenaraikan dibawah:

 

TABUNG HAJI

1. YB Dato’ Seri Azeez Abdul Aziz (Pengerusi)
2. Tan Sri Othman Mahmood
3. Tan Sri Badruddin Amiruldin
4. Tan Sri Mohamed Apandi Ali
5. YB Tan Sri Mohamad Aziz
6. Tan Sri Shukry Salleh
7. YB Dato’ Rosni Sohar

iaitu 7 dari 10 ahli Lembaga Pengarah; mereka wajar digantikan oleh pakar-pakar perniagaan dan pelaburan

FELDA

1. YB Tan Sri Shahrir Samad (Pengerusi)
2. YB Datuk Mohd. Suhaili Bin Said
3. YB Datuk Noor Ehsanuddin Bin Mohd Harun Narrashid
4. YB Dato’ Abu Bakar Bin Haji Harun
5. YB Dato’ Mohd. Khusairi Bin Haji Abdul Talib
6. Dato’ Mohd Isa Bin Abu Kasim

iaitu 6 dari 11 ahli Lembaga Pengarah; mereka wajar digantikan oleh pakar-pakar perladangan, perniagaan dan pelaburan

Saya sedia maklum bahawa amalan melantik ahli politik ke kerusi Lembaga Pengarah dan badan-badan kerajaan masih diamalkan oleh kerajaan negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan.

Oleh kerana pendirian bahawa ahli politik sewajarnya tidak dilantik ke jawatan-jawatan tersebut dan kawal selia dijalankan melalui mekanisme badan perundangan (iaitu melalui Jawatankuasa Terpilih di dewan perundangan) adalah pendirian saya secara peribadi, saya akan menulis secara rasmi sebagai Ahli Parlimen kepada YAB Dato’ Seri Azmin Ali dan YAB Saudara Lim Guan Eng agar pandangan saya ini dapat dipertimbangkan oleh kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Rakaman penuh sidang media boleh ditonton di:

Facebook | https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/videos/vb.145165568851292/1415580235143146/?type=3&theater

Youtube |
https://www.youtube.com/watch?v=fIJMoV7DISs

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.