Siasatan Ke Atas Perjanjian Pendanaan Swasta Membina Perumahan Felda Di Antara Perumahan Felda Sdn Bhd, Terranova Builders Sdn Bhd Dan Putra Star Investment Holdings Pte Ltd

13 Januari 2017

Dato’ Muhammad Ibrahim
Gabenor
Bank Negara Malaysia
Jalan Dato’ Onn,
50480 Kuala Lumpur.

Melalui Faks 60 3 2691 2990 dan pos

Yang Dihormati Saudara Dato’ Muhammad, Gabenor BNM

SIASATAN KE ATAS PERJANJIAN PENDANAAN SWASTA MEMBINA PERUMAHAN FELDA DI ANTARA PERUMAHAN FELDA SDN BHD, TERRANOVA BUILDERS SDN BHD DAN PUTRA STAR INVESTMENT HOLDINGS PTE LTD

Sejak awal minggu ini, saya telah menimbulkan beberapa soalan mengenai perjanjian pendanaan swasta melibatkan lebih RM1 bilion untuk membiayai pembinaan perumahan Felda yang ditandatangani di antara Perumahan Felda Sdn Bhd (bagi pihak kepentingan awam dan Kerajaan Malaysia) di satu pihak, dengan Terranova Builders Sdn Bhd dan Putra Star Investment Holdings Pte Ltd (di pihak swasta).

Ekoran beberapa soalan yang saya timbulkan itu, Pengerusi Felda YB Tan Sri Shahrir Abdul Samad telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi bertarikh 12 Januari 2017. Beliau mengesahkan bahawa perjanjian pendanaan swasta (PFI) yang saya rujuk itu telah ditandatangani pada 6 September 2016.

Tan Sri Shahrir Abdul Samad juga mengesahkan bahawa fasa kedua projek perumahan generasi baru Felda (PGBF) yang melibatkan pendanaan swasta itu masih tidak dapat dilaksanakan kerana terdapat isu-isu teknikal dan pematuhan kepada perjanjian inisiatif pendanaan swasta tersebut.

Serentak dengan pengesahan itu juga, saya telah mendedahkan hasil semakan ringkas saya mengenai latar belakang syarikat Putra Star Investment Holdings Pte Ltd ini dalam satu sidang media semalam (12 Januari 2017), seperti berikut:

i. Putra Star Investment Holdings Pte Ltd yang dimiliki oleh seorang ahli perniagaan warganegara Singapura bernama Ng Peter Titan dan keluarganya ini nampaknya bukanlah sebuah syarikat kewangan yang mempunyai sumber kewangan dalaman untuk memberikan pinjaman pendanaan RM1 bilion kepada Perumahan Felda Sdn Bhd;

ii. Aktiviti perniagaan kebanyakan syarikat-syarikat yang pernah ditubuhkan oleh Ng Peter Titan adalah penglibatan di dalam urusan jual beli bahan mineral atau peralatan sebagai “orang tengah”, iaitu juru jual yang mendapat komisen sebagai ejen jual beli;

iii. Ng Peter Titan mempunyai jaringan perniagaan yang baik dengan syarikat dan bank dari China;

iv. Ada kemungkinan besar bahawa Ng Peter Titan hanyalah orang tengah yang mengusahakan dana dari pihak ketiga (berkemungkinan dari China) untuk disalurkan kepada projek perumahan generasi baru Felda dan mengambil komisen; dan

v. Nama sebuah syarikat yang pernah diusahakan oleh Ng Peter Titan iaitu Titan Petrotrade (2007) Pte Ltd yang didaftarkan di Singapura adalah terlalu sama dengan Titan Petrotrade International Pte Ltd, sebuah syarikat yang didaftarkan di pusat kewangan pesisir luar pantai di British Virgin Island.

Sebagai seorang akauntan bertauliah yang berkelulusan Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan berdasarkan pengalaman saya mengetuai fungsi kewangan anak-anak syarikat PETRONAS Carigali di luar negara satu ketika dahulu, saya tahu maklumat-maklumat sebegini mempengaruhi penilaian risiko pengubahan wang haram merentas sempadan (“cross border money laundering risk assessment”).

Saya khuatir sama ada segala semakan dan permohonan mengikut undang-undang (terutamanya di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram atau Anti Money Laundering Act, AMLA) di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia telah dipatuhi dan dipenuhi sepenuhnya oleh pihak-pihak yang terbabit di dalam perjanjian ini.

Lebih-lebih lagi, Tan Sri Shahrir Samad secara jelas mengakui bahawa ada masalah teknikal dan ketidakpatuhan kepada perjanjian pendanaan swasta sehingga menyebabkan projek perumahan generasi baru Felda terbantut.

Saya juga tidak mahu pisang berbuah dua kali dan reputasi Bank Negara Malaysia dipersoalkan sekali lagi apabila dilihat tidak tegas dalam kes-kes yang melibatkan projek atau syarikat yang rapat dengan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak; seperti mana pernah berlaku pada ketika skandal 1MDB memuncak dahulu.

Oleh itu, saya memohon supaya satu kertas siasatan di bawah AMLA (dan segala peruntukan undang-undang yang lain) dibuka dengan segera untuk menyiasat sama ada perjanjian pendanaan swasta yang melibatkan Perumahan Felda Sdn Bhd, Terranova Builders Sdn Bhd dan Putra Star Investment Holdings Pte Ltd melanggar apa-apa peruntukan undang-undang.

Sebagai wakil rakyat, bagi pihak jutaan rakyat Malaysia yang mengikuti pendedahan saya bersabit skandal kewangan, saya juga memohon supaya Bank Negara Malaysia dapat mengesahkan sama ada Putra Star Investment Holdings Pte Ltd akan menggunakan dana dalaman sendiri; atau adakah ia hanya menjadi orang tengah bagi menyalurkan dana dari pihak lain kepada projek perumahan generasi baru Felda.

Saya sertakan segala maklumat yang saya ada, termasuk carian rasmi latar belakang Ng Peter Titan dan semua syarikat yang berkenaan serta hasil semakan lain untuk membantu pasukan Bank Negara Malaysia menyiasat perkara ini.

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang menjalankan amanah
MOHD RAFIZI RAMLI
Ahli Parlimen Pandan

Lampiran
1. Carian dari ACRA Singapura
2. Keratan akhbar

One thought on “Siasatan Ke Atas Perjanjian Pendanaan Swasta Membina Perumahan Felda Di Antara Perumahan Felda Sdn Bhd, Terranova Builders Sdn Bhd Dan Putra Star Investment Holdings Pte Ltd”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.