Kondo Mewah FGV: Tan Sri Shahrir Samad Perlu Buktikan Serius Mencegah Ketirisan, Hentikan Pembaziran Di Felda Global Ventures (FGV)

Tan Sri Shahrir Samad semalam memperlekehkan gesaan yang dibuat Saudara Akmal Nasir (Pengarah Eksekutif, National Oversight & Whistleblowers) agar beliau mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terbabit dengan ketirisan dan penyelewengan dalam kumpulan Felda.

Saya telah nyatakan pendapat sebelum ini bahawa pelantikan Tan Sri Shahrir Samad tidak lebih hanya untuk meredakan kemarahan rakyat terutamanya peneroka Felda menjelang PRU14 yang boleh dipanggil beberapa bulan dari sekarang. Oleh itu, keikhlasan beliau (dan Umno) untuk menyelamatkan Felda dinilai dari kesungguhan beliau membersihkan Felda dari penyelewengan, pembaziran dan ketirisan; termasuklah mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

Kalau pun beliau tidak berani mengheret mereka ini ke muka keadilan, sekurang-kurangnya beliau perlu menunjukkan kesungguhan untuk menghentikan amalan boros dan pembaziran di dalam kumpulan Felda.

Pada 18 Mei 2016, saya telah mendedahkan bagaimana FGV membeli dua buah kondominium mewah di The Troika yang masing-masing berharga RM5,143,902 (Unit A-20-2) dan RM3,283,770 (Unit B-10-3) yang gambarnya ditunjukkan di bawah. The Troika adalah sebuah bangunan kondominium mewah berdekatan dengan KLCC dan berada setentang dengan ibupejabat Felda yang baru.

Saya sertakan juga perjanjian-perjanjian pembelian kedua-dua kondominium yang berharga RM8.4 juta ini di capaian berikut:

https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoEVURDNWpsTEozMms

https://drive.google.com/open?id=0B-KS2an8wNoEandSb3c0VzBib0k

Saya tidak mengambil sebarang tindakan lanjut mengenai perkara itu kerana beranggapan pihak pengurusan Felda dan FGV telah melupuskan kondominium-kondominium mewah ini kerana ia jelas tidak memanfaatkan sesiapa kecuali pengurusan terkanan FGV.

Semakan saya di dalam Laporan Kewangan FGV yang diaudit yang terkini iaitu bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 menunjukkan bahawa kedua-dua kondominium ini masih lagi belum dijual.

Oleh kerana Laporan Kewangan FGV 31 Disember 2016 masih belum disiapkan dan laporan terkini diedarkan sebulan sebelum saya membongkarkan mengenai dua buah kondominium ini, saya menggesa Tan Sri Isa Samad (Pengerusi FGV) dan Tan Sri Shahril Samad (Pengerusi Felda) mengesahkan sama ada kedua-dua buah kondominium itu telah dijual.

Jika telah dijual, berapa pula kos yang ditanggung setiap tahun kerana setakat 31 Disember 2015 sahaja (rujuk Nota 20, mukasurat 251 Laporan Kewangan FGV 2015), kedua-dua buah kondominium itu tidak menjana apa-apa hasil kepada FGV dan memakan kos penyelenggaraan RM66,000 setahun.

Jika FGV masih belum menjual kedua-dua kondominium mewah ini, kesungguhan Tan Sri Shahrir Samad mengarahkan agar ia dilupuskan akan diperhatikan rakyat.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.