Dato’ Seri Najib Perlu Sahkan Laporan Financial Times Dan Ura-Ura GLC Besar Disenaraikan Di Bursa Singapura

120716_gali_lubang_1_copy_2

Saya merujuk kepada satu laporan terkini bertarikh hari ini oleh Financial Times bertajuk “China to help 1MDB settle multibillion-dollar legal dispute” yang menyentuh perkara-perkara berikut:

1. 1MDB akan mula membayar hutang berjumlah USD6.5 bilion (bersamaan RM30 bilion) yang dituntut oleh syarikat pelaburan milik Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan bantuan kewangan dari Kerajaan China;

2. Sumber yang dipetik oleh Financial Times juga menyebut bahawa bantuan kewangan dari Kerajaan China itu adalah sebagai pertukaran kepada aset (“asset swap”) yang akan diurusniagakan oleh Kerajaan Malaysia.

Dalam sesi Parlimen yang lepas, saya secara khusus telah menanyakan Menteri Kewangan II, Dato’ Johari Abdul Ghani bagaimanakah pentadbiran Dato’ Seri Najib bercadang membayar kembali hutang yang dituntut oleh IPIC itu (walaupun saya hanya menyebut jumlah yang didakwa diselewengkan ke akaun Jho Low berjumlah RM3.5 bilion atau RM15 bilion).

Sehingga ke akhir ucapan penggulungan beliau, Dato’ Johari Abdul Ghani tidak menjawab langsung.

Saya merasakan seolah-olah ia ulangan kepada amaran saya lebih setahun lalu supaya 1MDB tidak menggunakan dana Tabung Haji dan amaran saya itu (dalam bulan Mac 2015) telah dicerca dengan jeritan tidak bersopan di dalam Dewan Rakyat oleh Dato’ Seri Azeez Abdul Rahim. Sebulan kemudian, berita bahawa Tabung Haji telah membeli tanah dari 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda lebih tinggi bocor kepada orang ramai.

Dalam sidang yang lepas, perkara yang hampir sama berlaku. Saya telah bertanya soalan mengenai perancangan Dato’ Seri Najib untuk membayar hutang itu dan telah disambut dengan cerca dan jeritan dari Ahli Parlimen Baling itu yang diketahui sangat rapat dengan Dato’ Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, sehingga soalan saya itu tidak dijawab langsung.

(Rakaman perbahasan itu boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=7P3VYrJjtcg )

Berita yang disiarkan oleh Financial Times hari ini benar-benar merunsingkan saya kerana ia seolah-olah mengesahkan satu maklumat yang telah saya perolehi beberapa bulan lepas mengenai kemungkinan salah satu konglomerat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di Singapura dalam tahun 2017 bagi memberi ruang kepada syarikat yang dikawal Kerajaan China (secara langsung atau tidak langsung) menguasai sebahagian besar dari sahamnya.

Sebelum ini, saya tidak menimbulkan perkara ini kerana menunggu lebih banyak bukti dan perkembangan yang boleh mengesahkan ada kebarangkalian dakwaan itu ada kebenaran. Berita pada hari ini yang turut menyebut mengenai urusniaga melibatkan aset milik Kerajaan Malaysia.

Soalan saya ialah GLC manakah yang mempunyai pengaruh yang sebegitu besar untuk dijadikan pertukaran bagi bantuan kewangan mengejut sebanyak RM30 bilion seperti yang dilaporkan Financial Times hari ini?

Pada pemahaman saya, hanya ada beberapa GLC yang mempunyai saiz aset sebesar itu iaitu PETRONAS (atau anak syarikat kumpulannya), Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia atau Sime Darby Berhad?

Saya mendesak Dato’ Seri Najib memberi penjelasan sama ada bantuan kewangan dari Kerajaan China akan menyebabkan salah satu aset utama seperti GLC di atas dilibatkan di dalam urusniaga baru melibatkan Kerajaan China?

Jika beliau berdiam diri, desas desus ini tidak akan berhenti dan saya akan terus menyiasat sehingga butiran aset yang ingin diurusniagakan diketahui umum.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.