Anggaran Kos Keseluruhan Projek MRT Mencecah RM124 Bilion Sedangkan Najib Mendakwa Kos Hanya RM40 Bilion

Seperti yang saya sangka, kenyataan bertubi-tubi menyerang saya mengenai isu kos keseluruhan projek MRT yang saya timbulkan menunjukkan bahawa dakwaan saya bahawa kos keseluruhan akan mencecah RM100 bilion ada kebenarannya.

Terbaru, MRT Corporation Sdn Bhd mengeluarkan kenyataan bahawa kos RM21 bilion yang dirujuk oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak semasa melancarkan MRT1 (jajaran Sungai Buloh – Semantan – Kajang) adalah kos bagi keseluruhan MRT1, bukannya kos di antara stesen Sungai Buloh ke Semantan sahaja.

Saya menghargai pengesahan oleh MRT Corporation itu kerana ia memudahkan Ahli Parlimen seperti saya menjalankan amanah saya dengan berkesan sekiranya Parlimen dimaklumkan dengan terperinci pecahan kos, proses anugerah tender, kemajuan pelaksanaan berbanding dengan peruntukan yang diluluskan dan sebagainya.

Malangnya perkara ini tidak pernah berlaku dan Ahli Parlimen seperti saya terpaksa menyemak pelbagai laporan dari sumber berita semata-mata. Laporan-laporan berita mengenai pelancaran MRT1 oleh Dato’ Seri Najib pada 15 Disember yang lalu tidak menyatakan secara terperinci sama ada kos RM21 bilion (dan penjimatan RM2 bilion yang diwar-warkan) merujuk kepada stesen-stesen yang telah dibuka atau pun keseluruhan MRT1. Oleh kerana itulah sejak tahun 2011 saya telah mempersoalkan proses pelaksanaan projek MRT yang tidak telus dan mempunyai risiko kewangan yang tinggi, seperti penulisan saya di dalam The Edge bertajuk “The MRT: Old Habit Dies Hardhttp://rafiziramli.com/2011/01/the-mrt-old-habit-dies-hard/

Sementara perbezaan kos purata setiap km berbeza bila mana kos RM21 bilion merujuk kepada jajaran penuh MRT1 sepanjang 51 km, ia sedikit pun tidak mengubah 2 perkara paling pokok yang saya timbulkan iaitu:

1. Kos keseluruhan MRT bagi 150 km akan mencecah RM100 bilion sedangkan semasa mengumumkan projek ini dalam tahun 2010 (yang dimasukkan di dalam ucapan Belanjawan 2011 beliau), Dato’ Seri Najib mengumumkan bahawa kos hanyalah RM40 bilion

2. Jika kos bagi 51 km dari keseluruhan projek MRT (iaitu satu pertiga dari keseluruhan 150 km) sudah pun mencecah RM21 bilion berbanding dengan kos asal yang diumumkan iaitu RM40 bilion, sudah tentu tiada penjimatan yang telah dicapai. Malah, saya akan tunjukkan di bawah bahawa kos keseluruhan telah meningkat dua kali ganda!

Sebab itu alat propaganda Umno sejak semalam bermati-matian cuba menunjukkan saya “memfitnah” Dato’ Seri Najib sekali lagi untuk menutup dua perkara ini yang lebih besar.

Berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, saya anggarkan bahawa kos keseluruhan projek MRT meliputi 150 km (seperti yang diumumkan Dato’ Seri Najib dalam tahun 2010) akan mencecah sekitar RM124 bilion apabila siap sepenuhnya.

Anggaran kos itu adalah berdasarkan analisa dan pecahan seperti berikut:

MRTI (JAJARAN SUNGAI BULOH – SEMANTAN – KAJANG)
Pembinaan melibatkan jajaran bawah tanah sepanjang 9.5 km dan atas tanah sepanjang 41.5 km. Kos yang telah diumumkan ialah RM21 bilion. Dari jumlah RM21 bilion ini, sebanyak RM8.2 bilion kos adalah untuk jajaran bawah tanah sepanjang 9.5 km (seperti yang diumumkan oleh kontraktor MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd di http://mymrt-underground.com.my/tunnelling-information/about-kvmrt/).

Oleh itu, anggaran kos per km bagi pembinaan bawah tanah dan atas tanah adalah seperti berikut:

Kos per km (atas tanah) = RM308 juta per km
Kos per km (bawah tanah) = RM863 juta per km

MRT2 (JAJARAN SUNGAI BULOH – SERDANG – PUTRAJAYA)
Pembinaan melibatkan jajaran bawah tanah sepanjang 13.5 km dan atas tanah sepanjang 38.7 km. Kos yang telah diumumkan ialah RM32 bilion (rujuk pengumuman oleh MRT Corp Sdn Bhd pada 14 September 2016 http://www.thesundaily.my/node/394710)

Menggunakan kos MRT1 sebagai asas kos, untuk mengenal pasti pecahan kos per km dan peratusan kenaikan kos (kerana projek ini bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam tahun 2022, oleh itu kos barang dan perkhidmatan adalah lebih mahal berbanding MRT1), formula berikut boleh digunakan:

MRT1 per km (atas tanah) = MAT
MRT1 per km (bawah tanah) = MBT

Kos MRT2 per km (atas tanah) = MAT + x%
Kos MRT2 per km (bawah tanah) = MBT + y%

Selesaikan x% dan y%.

Berdasarkan kos MRT2 sebanyak RM32 bilion, anggaran peratusan kenaikan yang digunapakai ialah 35%. Maka:

Kos per km (atas tanah) = RM308 juta per km + 35% kenaikan = RM416 juta per km
Kos per km (bawah tanah) = RM863 juta per km + 35% kenaikan = RM1,165 juta per km

MRT3 (“CIRCLE LINE”)
Pembinaan melibatkan jajaran bawah tanah sepenuhnya di antara 45 km hingga 48 km (rujuk pengumuman MRT Corp Sdn Bhd pada 14 September 2016 http://www.nst.com.my/news/2016/09/172973/mrt-corp-planning-3rd-line-klang-valley)

Berdasarkan kos MRT2 iaitu RM1,165 juta per km bagi setiap kilometer bawah tanah dan menggunakan faktor kenaikan harga pada kadar yang sama iaitu 35% (memandangkan MRT3 hanya akan mula dibina selepas 20220), maka anggaran kos MRT3 adalah:

[Kos MRT2 (bawah tanah) + 35%] X 45 km = RM1,573 juta per km X 45 km = RM70.8 bilion

 

Maka, anggaran kos keseluruhan projek MRT sepanjang 150 km adalah (RM21 bilion + RM32 bilion + RM71 bilion) adalah RM124 bilion, iatu peningkatan dua kali ganda dari kos asal yang diumumkan oleh Dato’ Seri Najib dalam tahun 2010 iaitu hanya RM40 bilion sahaja.

Oleh yang demikian, saya mendesak Dato’ Seri Najib menarik balik kenyataan beliau bahawa kononnya projek MRT telah berjaya menjitmatkan RM2 bilion seperti yang dimainkan oleh alat propaganda Umno kerana itu tidak memberi gambaran yang tepat mengenai tanggungan hutang keseluruhan oleh rakyat Malaysia.

Saya masih ada 3-4 kenyataan media mengenai isu ini yang akan dibuat dalam minggu depan.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

3 thoughts on “Anggaran Kos Keseluruhan Projek MRT Mencecah RM124 Bilion Sedangkan Najib Mendakwa Kos Hanya RM40 Bilion”

  1. NR had lied to the rakyat, again & again..its in his blood & will not feel embarrassed by his actions..a person wth thick skin will hv no shame forever & he’s not fit to be a PM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.