Tabung Haji Kekurangan RM3 Bilion Sekiranya Pendeposit Mengeluarkan Simpanan Pada 31 Disember 2015

Semasa saya mula-mula mengulas mengenai kedudukan kewangan Tabung Haji sekitar Februari 2016 (iaitu ekoran surat dari Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia bocor), saya dituduh memfitnah Tabung Haji. Malah, saya juga telah ditahan dan dihadapkan ke mahkamah dalam bulan April 2016 untuk menghadapi pertuduhan jenayah memfitnah Tabung Haji.

Minggu lalu, Tabung Haji telah mengedarkan keputusan kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan terkini iaitu 31 Disember 2015.

th2015-bs

th2015-pnl

th2015-fund

Berdasarkan angka-angka kewangan yang telah diaudit, saya telah melengkapkan analisa kedudukan Tabung Haji bagi tempoh 7 tahun (dari 2009 hingga 2015); terutamanya bagi mengenalpasti dua perkara berikut:

1. Berapakah perubahan simpanan bersih pendeposit (iaitu jumlah dana baru yang disimpan tolak simpanan yang dikeluarkan) bagi 2015 kerana selama ini kedudukan kewangan Tabung Haji yang dilihat kukuh adalah kerana pendeposit secara berterusan menambah simpanan di dalam Tabung Haji tanpa mengira prestasi kewangannya; dan

2. Keupayaan Tabung Haji untuk memulangkan kembali semua wang yang disimpan pendeposit pada 31 Disember 2015 sekiranya pendeposit Tabung Haji bertindak mengeluarkan kesemua wang itu sekaligus (sebagai kayu ukur keuntungan dan kebolehupayaan Tabung Haji berhadapan dengan risiko kewangan)

Download (PDF, 54KB)

Analisa penyata pendapatan Tabung Haji bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2015 menunjukkan bahawa untung sebenar Tabung Haji setelah mengambil kira susutnilai saham-saham yang menjadi pelaburannya ialah RM450 juta sahaja (keuntungan tahun semasa RM3.535 bilion perlu ditolak susutnilai saham berjumlah RM3.09 bilion).

Download (PDF, 42KB)

Saya juga sangat khuatir apabila analisa pergerakan dana pendeposit menunjukkan bahawa jumlah simpanan bersih bagi tahun 2015 merosot sebanyak 8%; sedangkan selama enam tahun dari 2009 hingga 2014 simpanan bersih bertambah pada purata 22.6%. Selama ini, Tabung Haji berjaya membayar dividen yang dikira tinggi dan menyembunyikan kerugian besar pelaburannya kerana saban tahun simpanan bersih baru yang terus bertambah menenggelamkan kerugian-kerugian tersebut.

Download (PDF, 60KB)

Dengan angka-angka yang tidak memberangsangkan sebegini, sudah tentu ia tidak mengejutkan apabila analisa kebolehupayaan Tabung Haji membayar kembali simpanan pendepositnya menunjukkan jika pendeposit mengeluarkan dana simpanan sekaligus pada 31 Disember 2015, Tabung Haji kekurangan RM3 bilion untuk memulangkan simpanan-simpanan tersebut.

Saya juga mengunjurkan bahawa Tabung Haji berhadapan dengan kadar pengeluaran wang simpanan yang lebih drastik bagi tahun 2016 ekoran pelbagai pendedahan yang berlaku. Maka, saya mengunjurkan bahawa Tabung Haji mengalami penguncupan simpanan bersih bagi tahun 2016 yang menyebabkan kedudukan kewangannya lebih lemah bagi tahun 2016.

Saya mendesak Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan interim enam bulan pertama Tabung Haji sehingga 30 Jun 2016 untuk mengesahkan perkara-perkara ini dan mencari jalan mengukuhkan kedudukan kewangan Tabung Haji.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

2 thoughts on “Tabung Haji Kekurangan RM3 Bilion Sekiranya Pendeposit Mengeluarkan Simpanan Pada 31 Disember 2015”

  1. Like yr analysis & comments..do yr best & highlight where necessary for public consumption & assessment. Gd job YB

  2. Rafizi, saya rasa tuan ada buat kesilapan analisa dalam mendakwa TH tidak mempunyai dana yg mencukupi sekiranya semua pendeposit mengeluarkan wang mereka. Ini kerana, RM3bn bayaran bonus bagi tahun 2015 tidak termasuk dalam RM59b tunai yang dimiliki TH. Total cash TH utk FY2015 termasuk bayaran bonus adalah RM62b. So basically, TH mempunyai tunai yang ngam2 dalam menangani senario yg tuan katakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.