Isu Tabung Haji: Jangan Guna Alasan Kes Mahkamah Untuk Elak Debat Atau Menjawab


Saya dipanjangkan satu pesanan whatsapp yang didakwa dari Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri berhubung keengganan beliau menyaman saya atau berdebat mengenai prestasi Tabung Haji, seperti berikut:


Sementara saya tidak akan memanjangkan perkara ini kerana fokus saya ialah untuk membina keamanahan (“accountability”) Tabung Haji yang lebih baik melalui satu sistem dan proses timbang tara (“check and balance”), saya juga ingin menegur sahabat saya Dato’ Dr Asyraf Wajid Dato’ Dusuki supaya tidak memesongkan pemahaman rakyat mengenai kes-kes berkepentingan awam semata-mata untuk menutup kelemahan beliau yang tidak berani berdebat atau menyaman saya.

Alasan bahawa Tabung Haji telah mengemukakan “saman” terhadap saya mengenai isu-isu prestasi yang saya timbulkan adalah tidak benar. Beliau menggunakan perkataan “saman” untuk menutup perkara sebenar iaitu kerajaan Barisan Nasional melalui Tabung Haji memilih untuk menangkap saya dan mendakwa saya di bawah Kanun Keseksaan atas tuduhan menyebarkan berita yang tidak benar mengenai Tabung Haji. Sedangkan konteks “saman” seperti yang difahami rakyat ialah satu pihak ke mahkamah untuk bersemuka dengan mengemukakan hujah masing-masing agar diadili oleh seorang hakim. Tindakan beliau yang secara jelas menggunakan perkataan “saman jenayah fitnah” menunjukkan beliau sendiri tahu bahawa tindakan menangkap saya sebagai penjenayah di bawah Kanun Keseksaan mengundang kemarahan rakyat.

Pun begitu, kalau pun kes ini sudah menjadi satu kes jenayah di bawah Kanun Keseksaan di mahkamah, itu bukanlah alasan untuk tidak berdebat atas alasan perdebatan boleh mengganggu perbicaraan di mahkamah (seperti yang didakwa oleh Dato’ Dr Asyraf Wajdi di dalam pesanan whatsapp beliau).

Pada 20 Mei 2016, Hakim S Nantha Balan telah membuat keputusan yang jelas bahawa:


Debat terbuka mengenai isu berkepentingan rakyat tidak boleh disalah erti sebagai melanggar peraturan “sub judice” kerana debat terbuka adalah satu aspek yang sihat dan telah menjadi keperluan di dalam sebuah masyarakat yang sedang melalui kematangan demokratik dan progresif.

Beliau juga menambah bahawa dalam kes skandal MARA, unsur kepentingan awam mengatasi sebarang hujah mengenai peraturan “sub judice” mahkamah kerana perdebatan dalam isu berkepentingan awam tidak sepatutnya dikekang atau (keperluan berdebat) dengan mudah dikorbankan atas alasan “sub judice”.

Keputusan penuh Yang Arif Hakim S Nantha Balan boleh dibaca di https://drive.google.com/file/d/0B-KS2an8wNoEWDduVmtud0VzN3c/view?usp=sharing
Laporan mengenai keputusan hakim itu dengan tajuk “Public interest outweighs sub judice, court rules” boleh dibaca di http://www.thestar.com.my/news/nation/2016/05/20/public-interest-outweighs-sub-judice-court-rules/

Oleh itu, saya menasihatkan Dato’ Dr Asyraf Wajdi berdiam diri sahaja di dalam isu prestasi Tabung Haji ini dan menumpukan kepada menjawab isu-isu yang saya timbulkan secara profesional seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Dato’ Johan Abdullah, Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji.

Saya akan terus mengemukakan analisa-analisa yang berkaitan prestasi Tabung Haji. Esok saya akan mengemukakan analisa saya membandingkan prestasi kewangan Tabung Haji dengan agensi lain yang menguruskan dana rakyat yang lain.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.