SPR Perlu Perkenalkan Sistem Pendaftaran Atas Talian (Online) Secepat Mungkin, INVOKE Kumpul Masalah Mendaftar

Inisiatif Pendaftaran Pengundi (atau VRI) yang kini dijalankan oleh INVOKE melalui program #UntungDaftar menunjukkan ada beberapa masalah dengan kaedah dan proses yang digunakan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mendaftarkan pengundi.

Bagi tempoh satu minggu program #UntungDaftar berjalan iaitu dari hari Selasa 27 November 2016 ke hari Isnin 3 Oktober 2016, seramai 1,031 pengundi baru yang mendaftar telah menghantar penyertaan ke laman INVOKE. Walaupun jumlah ini adalah baik bagi minggu pertama, kami yakin mengikut perancangan dan promosi yang akan diadakan setiap minggu selepas ini, jumlah yang akan dapat didaftarkan setiap bulan boleh mencecah 10,000 melalui #UntungDaftar sahaja.

Namun, ini adalah tidak mencukupi untuk mendaftarkan 4 juta pengundi muda yang masih belum berdaftar. Jika 50,000 orang pengundi didaftarkan sebulan melalui pelbagai kempen yang dibuat oleh pelbagai pihak, ia akan memakan masa 80 bulan atau 7 tahun untuk mendaftarkan kesemuanya.

Sejak #UntungDaftar dilancarkan minggu lepas, INVOKE telah mendapat pelbagai aduan bahawa bakal pengundi mengalami pelbagai masalah untuk mendaftar di pejabat pos. Ada yang diberitahu borang telah habis, ada yang diberitahu sistem atas talian SPR tidak berfungsi ketika itu dan lain-lain. Ada yang terpaksa ke pejabat pos sehingga tiga kali untuk mendaftar.

Sementara pelbagai pihak boleh mengusahakan kempen masing-masing untuk mendaftarkan pengundi muda, usaha-usaha ini tidak akan berhasil jika salah satu punca utamanya iaitu kaedah dan proses yang digunakan oleh SPR tidak dibaiki.

Adalah jelas kaedah dan proses yang digunakan oleh SPR tidak cekap dan tidak mampu mendaftarkan seorang warganegara menjadi pengundi dalam masa yang singkat, antaranya disebabkan oleh perkara-perkara berikut:

1. Sistem yang digunakan adalah ‘manual’ iaitu pengundi perlu pergi ke pejabat SPR atau pejabat pos untuk mendaftar. Ini menyusahkan orang ramai terutamanya mereka yang tinggal jauh dari bandar atau pejabat SPR
2. Sistem atas talian yang menghubungkan pejabat pos dengan sistem SPR didakwa selalu tidak berfungsi atau tidak stabil
3. Setelah mendaftar, masa yang diambil oleh SPR untuk mengesahkan pendaftaran iaitu 3 bulan atau lebih adalah terlalu lama

Kami tidak faham kenapa proses pengesahan pendaftaran oleh SPR mengambil masa 3 bulan sedangkan SPR boleh sahaja menghubungkan pengkalan datanya dengan pengkalan data Jabatan Pendaftaran Negara. Malah, kami tidak faham kenapa proses pendaftaran dan pengesahan pendaftaran tidak dibuat secara atas talian dan terbuka kepada rakyat Malaysia yang boleh dibuat dari mana-mana alat komunikasi yang menggunakan internet.

Oleh itu, INVOKE menyeru supaya SPR memberi maklumbalas kepada perkara-perkara ini dan menjelaskan kenapa SPR tidak boleh mengadakan sistem pendaftaran dan pengesahan secara atas talian di laman web. INVOKE akan melancarkan satu portal untuk orang ramai merakamkan semua masalah yang dihadapi dalam proses pendaftaran sedia ada dan akan menghantar satu memorandum menyenaraikan masalah-masalah ini kepada SPR dalam tempoh 2 minggu dari sekarang.

Dikeluarkan oleh:
Rafizi Ramli | Syukri Razab | Fahmi Zainol
4 Oktober 2016

Bagi pihak INVOKE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.