Keputusan Kes Saman Naib Ketua Pemuda Umno Terhadap Rafizi Ramli: Skandal MARA

img_9857
Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi S Nanthabalan pagi ini menolak saman Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun yang mendakwa saya memfitnah beliau semasa mendedahkan #skandalMARA (pembelian hartanah mahal di Australia). YA Hakim memutuskan pihak beliau gagal membuktikan bahawa kenyataan media saya adalah satu fitnah dan berniat jahat terhadap beliau.

Ada dua asas penghakiman yang dibacakan YA Hakim yang ada kesan besar kepada masyarakat:

1) bahawa sesuatu komen yang tidak berniat jahat dan bersifat kepentingan awam yang memenuhi syarat “Komen Tahap 3” (Level 3 comments) mengikut prinsip di dalam kes rujukan Chase (di United Kingdom) memenuhi pembuktian “justification” yang digunapakai di dalam kes-kes saman sivil.

2) sesuatu kes yang berkepentingan awam masih boleh dibincangkan di luar mahkamah dan pihak yang terbabit bebas memberi komen mengenai kes itu selagi ia tidak campur tangan dengan prosiding perbicaraan.

Kes rujukan Chase adalah sangat penting kerana seseorang boleh membuat pembelaan “justification” yang dikira tidak memfitnah apabila membuat kenyataan mengikut prinsip berikut:

1) Komen Tahap 1 – menuduh bahawa seseorang itu telah melakukan perlakuan yang menjadi isu dalam saman. Maka orang kena saman perlu membuktikan secara tepat ia telah berlaku (“smoking guns”)

2) Komen Tahap 2 – menuduh bahawa seseorang itu terlibat di dalam perlakuan yang menjadi isu dalam saman, walaupun tidak semestinya dia menjadi orang utama. Maka orang kena saman perlu membuktikan bahawa orang kena tuduh wajar disiasat walaupun tidak semestinya orang kena tuduh benar-benar bersalah

3) Komen Tahap 3 – menuduh bahawa ada berlaku perlakuan yang menjadi isu dalam saman, walaupun tidak semestinya orang kena tuduh terlibat. Maka orang kena saman perlu membuktikan bahawa ada kewajaran isu dalam saman disiasat

Keputusan YA Hakim S Nanthabalan hari ini menyokong bahawa aktivis anti-rasuah sepertj saya dan National Oversight & Whistleblowers (NOW) ada hak untuk membongkar penyelewengan tanpa perlu bimbang mengenai saman di mahkamah selagi pendedahan itu berniat baik dan mematuhi prinsip-prinsip di atas.

Saya gembira kerana hari ini mahkamah menghargai khidmat awam yang pemberi maklumat lakukan selama ini berhadapan dengan banyak risiko.

Mohon disebarkan seluasnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.