Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2016 Dan Penubuhan Suruhanjaya Persempadanan

Saya telah mengemukakan satu usul untuk membentangkan Rang Undang-undang Persendirian Perlembagaan (Pindaan) 2016 untuk meminda Bahagian VIII Perlembagaan Persekutuan bersabit fungsi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dalam menguruskan pilihanraya. Usul dan Rang Undang-undang (RUU) tersebut telah saya hantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Setiausaha Dewan Rakyat seperti yang saya lampirkan bersama.

Download (PDF, 193KB)

Download (PDF, 59KB)

Berikut adalah ringkasan intipati RUU ini:

1. Fasal (2) dan Fasal (2)(i) mewujudkan Suruhanjaya Persempadanan untuk menjalankan tugas-tugas mengkaji persempadanan yang pada ketika ini dilaksanakan oleh SPR

2. Perkara 114A menerangkan kaedah dan syarat-syarat perlantikan Suruhanjaya Persempadanan

3. Di bawah Perkara 114A, pengerusi Suruhanjaya Persempadanan hendaklah dari kalangan seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang masih berkhidmat. Perlantikan setiap anggota Suruhanjaya Persempadanan hendaklah dibentangkan sebagai usul yang diundi di Parlimen dengan kelulusan dua pertiga sebelum pencalonan dapat disahkan.

Sementara pelbagai pihak sedang mengambil jalan undang-undang untuk menghentikan persempadanan yang berat sebelah, saya percaya jalan yang lebih besar peluang untuk menghentikannya ialah jalan politik.

Parti-parti komponen Barisan Nasional yang bukan Melayu seperti MCA, Gerakan, MIC dan lain-lain adalah pihak yang paling rugi kerana mereka semakin hilang kerusi yang kini dituntut Umno. Jika mereka tidak menghentikan persempadanan semula ini, mereka boleh dianggap bersekongkol mengurangkan suara orang bukan Melayu di Parlimen.

Oleh yang demikian, saya akan menulis surat kepada pimpinan dan setiap ahli parlimen dari parti-parti komponen BN yang mempunyai anggota bukan Melayu yang ramai untuk mengajak mereka menyokong RUU ini.

Petisyen atas talian di bawah #Sokong114A iaitu pindaan perlembagaan untuk memansuhkan kuasa persempadanan SPR telah mendapat sokongan 1,692 sejak seminggu lalu.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

One thought on “Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2016 Dan Penubuhan Suruhanjaya Persempadanan”

  1. Bagaima kalau persempadanan semula dilakukan selepas pilihanraya berbanding sebelum? Dengan ini membolehkan parti2 berusaha untuk mendapatkan undi semula dalam 4 tahun berbanding masa yg singkat seperti sekarang. Ini juga boleh mengelakan kekeliruan para pengundi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.