Batalkan Perintah Kutip GST Atas Bekalan Air Ke Rumah Pangsa, Masjid Dan Penyambungan Semula Bekalan Air

press26092016-gst-water

Saya merujuk kepada satu surat bertarikh 13 September 2016 dari Jabatan Air Negeri Sabah kepada semua jurutera air bahagian mengenai pelaksanaan kutipan GST ke atas bekalan air terawat dan perkhidmatan membekalkan air, seperti yang saya sertakan bersama.

Saya meminta supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Menteri Kewangan mengesahkan bahawa bermula 1 September 2016 bekalan air ke pangsapuri, rumah ibadah, rumah kebajikan, perkhidmatan bekalan dan penyambungan air akan dikenakan GST.

Bukan sahaja tindakan ini melampaui batas kerana ia mensasarkan kutipan GST dari golongan miskin dan kurang bernasib baik, pelaksanaan kutipan GST ke atas bekalan air ini dibuat secara senyap-senyap tanpa pun dihebahkan lebih awal kepada rakyat.

Saya ingin mengingatkan bahawa kerajaan tidak mengutip cukai dari urusniaga yang bernilai berbilion ringgit yang melibatkan orang kaya iaitu keuntungan dari jual beli saham kerana negara ini tidak ada Cukai Keuntungan Modal (Capital Gains Tax). Oleh itu, tindakan mengutip cukai dari bekalan air ke rumah pangsa, masjid, rumah kebajikan dan perkhidmatan bekalan dan penyambungan air adalah satu perbuatan yang sangat tidak boleh diterima.

Saya faham Dato’ Seri Najib mungkin khuatir dengan kesuntukan wang di Perbendaharaan kerana kutipan GST bagi suku kedua tahun ini susut sebanyak 30%. Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib bahawa saya dan sahabat dari Pakatan Harapan telah memberi amaran sejak dari 2010 bahawa memperkenalkan GST akan membantutkan perbelanjaan rakyat yang seterusnya membawa kesan kepada pertumbuhan ekonomi dan keupayaan kerajaan mengutip cukai bagi menampung perbelanjaan negara.

Saya mendesak supaya satu arahan dikeluarkan segera untuk membatalkan perintah mengutip cukai GST bagi bekalan air ke kediaman dan kemudahan rakyat miskin ini.

Saya juga mendesak supaya Dato’ Seri Najib menghentikan segera sebarang perjalanan menggunakan jet peribadi, helikopter atau apa-apa kemudahan perjalanan udara khusus untuk beliau, isteri dan menteri-menteri.

Sekiranya kedua-dua ini tidak menerima apa-apa maklumbalas dalam masa terdekat, saya akan mengatur supaya tunjuk perasaan mendesak membatalkan GST ke atas bekalan air di rumah pangsa, masjid, rumah kebajikan dan lain-lain diadakan di rumah-rumah pangsa bermula dengan kawasan saya di Pandan yang mempunyai banyak rumah pangsa.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.