Dua Orang Menteri Mengaku Secara Tidak Sengaja Kerajaan Persekutuan Langgar Formula Penetapan Harga Minyak Dan Mengesahkan Cukai Tersembunyi

Kritikan saya mengenai kaedah penetapan harga minyak RON95, RON97 dan diesel yang dimanipulasi oleh Kerajaan Persekutuan untuk kepentingan politik akhirnya mendapat sahutan dua orang menteri sekaligus.

Saya rujuk kepada laporan Awani bertarikh 3 Ogos 2016 berikut: http://english.astroawani.com/business-news/no-hidden-tax-retail-oil-prices-112903

Dari laporan berita tersebut, kita boleh simpulkan bahawa Menteri Kewangan II Dato’ Johari Abdul Ghani mengakui bahawa sebelum ini pun Kerajaan Persekutuan tidak mengikut formula dalam menetapkan harga minyak bagi bulan Jun dan Julai 2016. Beliau berkata sepatutnya harga bagi bulan Julai 2016 dinaikkan sebanyak 10 sen hingga 15 sen tetapi Kerajaan Persekutuan hanya menaikkan sebanyak 5 sen.

Ini pengakuan terbuka bahawa memang telah menjadi amalan Kerajaan Persekutuan untuk tidak mengikut formula penetapan harga yang ditetapkan sendiri sedangkan rakyat dimaklumkan bahawa harga ditetapkan mengikut harga pasaran purata. Apabila rakyat diberitahu begitu, setiap kali kenaikan harga diumumkan Dato’ Seri Najib Tun Razak akan mencuci tangan seolah-olah beliau tidak kena mengena dengan kenaikan tersebut.

Sedangkan keputusan menaikkan harga atau mengekalkan harga pada ketika harga pasaran purata mengikut formula adalah lebih rendah (seperti bagi bulan Ogos 2016; harga mengikut formula adalah RM1.65 tetapi Kerajaan Persekutuan mengekalkannya pada RM1.75) adalah satu bentuk pencukaian secara tersembunyi yang mendatangkan hasil lumayan kepada Kerajaan Persekutuan. Anggaran saya bagi bulan Ogos 2016, Kerajaan Persekutuan akan mengutip RM142 juta dari cukai tersembunyi ini.

Manipulasi harga yang melanggar formula harga yang diumumkan sebenarnya memberi keuntungan politik kepada Barisan Nasional. Walaupun Dato’ Johari memberi alasan harga minyak tidak dinaikkan seperti yang ditetapkan oleh formula bagi bulan Julai 2016 kononnya untuk meringankan beban rakyat di bulan Ramadhan dan dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri, sebab sebenarnya ialah sensitiviti rakyat akibat dua pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang berlangsung.

Harga minyak bagi Jun 2016 diumumkan pada 31 Mei 2016 iaitu pada ketika rakyat sudah tahu mengenai dua pilihanraya kecil tersebut, maka Kerajaan Persekutuan bermain politik dengan tidak mengikut formula kerana bimbang dengan kemarahan rakyat jika dinaikkan.

Harga minyak bagi Julai 2016 pula diumumkan pada 30 Jun 2016 iaitu tidak sampai dua minggu keputusan dua pilihanraya kecil itu. Menaikkan harga mengikut formula akan mengundang kemarahan rakyat kerana itu mengesahkan bahawa harga minyak sengaja tidak dinaikkan mengikut formula untuk mengelakkan kesannya kepada dua pilihanraya kecil tersebut.

Malah semakan saya dan rakan-rakan dari industri minyak yang membantu saya memantau perkara ini mengesahkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak pun teragak-agak menaikkan harga minyak di bulan Ramadhan 2015. Padahal keadaannya lebih buruk bagi rakyat ketika itu kerana kenaikan harga minyak itu datang berganda dengan pelaksanaan GST yang baru sebulan dilaksanakan.

Jadual berikut menunjukkan senarai harga minyak yang diumumkan sejak 2015 iaitu harga minyak tetap dinaikkan semasa Ramadhan dan Aidilfitri (Jun 2015 dan Julai 2015); lalu membuktikan bahawa Ramadhan dan Aldilfitri bukanlah pertimbangan sebenar seperti alasan yang diberikan oleh Dato’ Johari:

ron95for2016

Seorang lagi menteri iaitu Dato’ Seri Hamzah Zainuddin (Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) terus mengiyakan dakwaan beliau sendiri iaitu beliau tidak tahu apabila komen beliau hanyalah saya tidak merungut apabila harga turun. Maklumbalas begini dari seorang menteri tidak layak dilayan lagi.

Pengakuan terbuka Dato’ Johari Abdul Ghani bahawa harga minyak sebelum ini ditetapkan sesuka hati pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengikut keperluan politik bermakna risiko rakyat dicukai secara tersembunyi adalah besar. Jika ini berterusan, rakyat akan terus menjadi mangsa kerana pada kala rakyat beranggapan harga minyak tidak ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan, rakyat pula membayar cukai kepada kerajaan tanpa mereka ketahui.

Ini situasi “rompak-rompak” yang memberi keuntungan seratus peratus kepada Barisan Nasional.

Oleh itu, saya mendesak supaya Kementerian Kewangan menerbitkan jadual harga pasaran purata secara mingguan supaya rakyat boleh mengira sendiri harga minyak yang ditetapkan oleh formula. Hanya dengan rakyat yang ramai mengetahui berapa harga minyak sebelum ia diumumkan, barulah Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak berani menggunakan penetapan harga minyak sebagai senjata politik untuk kepentingan Barisan Nasional seperti sebelum ini.

Jika Dato’ Johari Abdul Ghani enggan berbuat demikian, saya sendiri akan menyediakan satu kira-kira harga minyak yang dikemaskini setiap minggu dengan harga pasaran terbaru untuk menjadi sumber rujukan rakyat keseluruhannya. Daripada rakyat mengambil maklumat dari saya, adalah lebih baik Kerajaan Persekutuan menyiarkan jadual harga mingguan itu untuk mengelakkan berlakunya lagi pencukaian tersembunyi seperti yang berlaku sekarang.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.