Dato’ Seri Najib Wajar Dermakan Wang Peribadi Untuk Bantu Kontraktor Bumiputra Dalam Projek NSE

Saya merujuk kepada laporan-laporan media mengenai nasib malang yang menimpa sekumpulan kontraktor Bumiputra yang dimangsakan apabila Kerajaan Persekutuan enggan bertanggungjawab ke atas kegagalan sebuah projek komersil di Kerteh, Terengganu.

(Rujuk laporan Malaysiakini http://www.malaysiakini.com/news/353943 “Johari: Not fair to ask gov’t to use taxpayers’ money for bailouts” )

Menteri Kewangan Kedua, Dato’ Johari Abdul Ghani memberi alasan kononnya Kerajaan Persekutuan tidak boleh campur tangan kerana ia tidak adil kepada rakyat; kononnya isu komersil perlu diselesaikan oleh syarikat-syarikat terbabit sahaja tanpa melibatkan wang rakyat.

Saya tidak pasti sama ada Dato’ Johari Abdul Ghani tidak ingat bahawa saya pernah membawa isu ini selama berbulan-bulan dalam tahun 2014 kerana ia melibatkan campur tangan Perdana Menteri sendiri; atau Dato’ Johari Abdul Ghani memang sengaja mahu memalukan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Untuk mendapat latar belakang penuh mengenai isu ini, saya rujuk kepada 8 kenyataan media yang saya buat dari 15 April 2014 hingga 18 Jun 2014 untuk mendedahkan bagaimana Dato’ Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam pertimbangan pemberian geran “research & development” (R&D)untuk membiayai projek komersil (lawati http://rafiziramli.com/category/skandal-geran-mosti/)

Saya ingin mengingatkan Dato’ Johari Abdul Ghani bahawa Pejabat Perdana Menteri telah mengeluarkan satu surat bertarikh 21 November 2013 kepada Datuk Dr Ewon Ebin, Menteri MOSTI ketika itu dengan satu minit tulisan tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri meminta supaya MOSTI mempertimbangkan permohonan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek yang diusahakan oleh NSE Resources Sdn Bhd (NSE).

Pada 21 Januari 2014, Datuk Dr Ewon Ebin mengeluarkan surat kepada NSE menyatakan kelulusan pada prinsipnya untuk memberikan geran R&D berjumlah RM100 juta bagi projek komersil tersebut (dengan merujuk kepada surat asal dari NSE).

Saya sertakan kembali surat-surat dari Pejabat Perdana Menteri dan MOSTI termasuklah minit tulisan tangan Dato’ Seri Najib Tun Razak.

img_8940-2

image

image

Oleh sebab itulah, kenyataan Dato’ Johari Abdul Ghani semalam memerangkap Dato’ Seri Najib Tun Razak kerana ia menimbulkan kembali isu yang saya dedahkan dahulu mengenai pengurusan geran R&D yang terdedah kepada penyelewengan akibat campur tangan pihak lain.

Tindakan Dato’ Seri Najib membiarkan kontraktor-kontraktor Bumiputra ini terkontang-kanting hingga ada yang dikejar Along adalah sangat tidak berperikemanusiaan kerana kontraktor-kontraktor ini memulakan kerja berdasarkan tindakan Dato’ Seri Najib yang memberi isyarat bersetuju memberikan geran R&D RM100 juta itu. Malahan pentadbiran beliau secara rasmi mengesahkan perkara itu dan logiklah kontraktor-kontraktor ini menyempurnakan kerja-kerja yang diberikan kepada mereka.

Dalam keadaan sekarang, saya mendesak Dato’ Seri Najib bertanggungjawab kepada nasib kontraktor-kontraktor ini. Dato’ Seri Najib boleh membantu dengan dua cara, iaitu sama ada:

i. Menggunakan gaji beliau dan simpanan beliau yang sering mendapat derma untuk melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor ini; atau

ii. Menghubungi penderma-penderma beliau untuk mengumpul jumlah yang diperlukan bagi melangsaikan hutang NSE kepada kontraktor-kontraktor kerana Dato’ Seri Najib mempunyai ramai kenalan yang pemurah sehingga pernah menderma RM2.6 bilion kepada beliau.

Saya akan membawa kembali isu ini sehinggalah pihak yang bertanggungjawab tampil untuk menerima tanggungjawab tersebut.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.