Pendirian Calon Umno/Barisan Nasional Kuala Kangsar Mengenai Perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor Yang Ditanggung Rakyat

Saya merujuk kepada lapporan muka depan Sinar Harian bertarikh 14 Jun 2016 (Selasa) yang bertajuk “Tak Merajuk Cuma Terkilan”. Paparan muka depan dan berita selanjutnya di mukasurat 35 menyentuh komentar Datuk Ramly Zahari (mantan Ketua Umno Bahagian Kuala Kangsar) mengenai desas-desus beliau tidak begitu gembira dengan pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Umno/Barisan Nasional di Kuala Kangsar.

Berita yang panjang lebar di mukasurat 35 itu mengesahkan desas-desus bahawa pemilihan Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Umno bukanlah satu keputusan yang disokong mutlak oleh pelbagai peringkat dan sayap di dalam Umno sendiri. Sepanjang tempoh berkempen, banyak spekulasi dan desas-desus mengenai jentera Umno yang tidak bekerja sepenuh hati menyokong beliau sehinggakan ada beberapa penafian khusus yang terpaksa dibuat oleh pimpinan Umno.

Selain dari Datuk Ramly Zahari yang mewakili kumpulan penting akar umbi Umno Kuala Kangsar, sebelum ini Tan Sri Shahrizat Jalil terpaksa membuat penafian terbuka bahawa Wanita Umno kecewa dengan pemilihan Datin Mastura sebagai calon.

Oleh yang demikian, bukanlah mudah untuk Umno menafikan desas-desus bahawa pemilihan Datin Mastura sebagai calon bukanlah satu keputusan yang mendapat sokongan mutlak; lebih-lebih lagi beliau bukanlah anak tempatan.

Persoalan seterusnya ialah: jika ada tanda-tanda bahawa pemilihan beliau sebagai calon tidak didokong oleh sesetengah peringkat dan sayap di dalam Umno; siapa atau kumpulan mana sebenarnya yang menjadi tenaga utama yang mempengaruhi keputusan pimpinan tertinggi Umno sehinggakan beliau yang tidak mempunyai apa-apa jawatan tinggi di dalam Umno diberi laluan untuk bertanding?

Salah satu dari pelbagai desas desus dan spekulasi yang berlegar sekarang di kalangan pengundi dan jentera Umno dan pembangkang adalah Datin Mastura merupakan calon yang mendapat sokongan padu dari Datin Seri Rosmah Mansor kerana mereka dikatakan sama-sama berasal dari Negeri Sembilan.

Saya tidak ada maklumat lanjut mengenai perkara ini dan ingin mengambil kesempatan untuk menanyakan soalan tersebut kepada kepimpinan Umno/Barisan Nasional sendiri:

Apakah benar pencalonan Datin Mastura untuk menjadi calon Umno/Barisan Nasional di Kuala Kangsar mendapat dokongan kuat dari Datin Seri Rosmah Mansor berbanding calon-calon lain sehinggakan akhirkan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak di dalam Umno sendiri terutamanya di peringkat akar umbi Umno Kuala Kangsar?

Mengambil kira isu penggunaan dana rakyat untuk menanggung perbelanjaan yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor yang kini menjadi isu nasional dan bakal mempengaruhi pilihan pengundi Kuala Kangsar, maka saya juga wajar bertanya:

Apakah pendirian Datin Mastura mengenai amalan memberi peruntukan yang besar untuk menanggung perbelanjaan yang melibatkan Datin Seri Rosmah Mansor sebagai isteri Perdana Menteri? Jika ada usul dari Pakatan Harapan di Parlimen untuk memotong dan menghadkan perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor yang menggunakan wang rakyat, adakah Datin Mastura (sekiranya terpilih sebagai Ahli Parlimen) akan menyokong usul itu atau tidak?

Saya menggesa supaya Datin Mastura berlaku adil kepada pengundi dengan memberi pendirian yang jelas mengenai perkara ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

One thought on “Pendirian Calon Umno/Barisan Nasional Kuala Kangsar Mengenai Perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor Yang Ditanggung Rakyat”

  1. Ini wa ada komen dlm malaysiakini pd waktu Zahid Hamidi merayu kpd orang2 Umno KK supaya berhenti merajuk dengan pemilihan Mastura sbg calon. Wa tanya apa sebab pilih Mastura yang kelihatan tiada ketokohan tuk menjadi ahli parlimen dan di dalam iddah. Wa tanya lagi adakah dia mempunyai kelulusan, pengetahuan dan pengalaman yang setanding dengan calon-calon parti lawan tuk memberi sumbangan yang berkesan kpd perbincangan di Parlimen mengenai perancangan ekonomi, belanjawan dan pembikinan undang2 negara. Klu mahu mengenang jasa MP yg dah menjadi arwah, wa kata banyak cara lain. Jika mahu meraih simpati pengundi supaya menang, wa bilang jarang pengundi beri simpati di atas kematian dalam kemalangan, tambahan pula ada khabar angin yg mengatakan arwah pada masa kemalangan berlaku sedang mengedar ole-ole dari BN kepada pengundi-pengundi di pendalaman Sarawak. Akhirnya, wa tanya lagi adakah pemilihan Mastura sebagai calon atas desakan seseorang sehingga rmi yg merajuk.

    Sekarang nampaknya, pertanyaan wa sudah terjawab. Terpulang kepada pengundi2 Kuala Kangsar untuk menentukan sama ada mereka mahu Mastura menjadi wakil rakyat mereka.

    Apa pula reaksi PAS? Msh mau berkerjasama?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.