Tun Mahathir Akan Hadir Di Muafakat Selamatkan Malaysia, Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (Pandan Indah) Pada 28 Mac 2016 (Isnin)

YABhg Tun Mahathir Mohamad telah mengesahkan akan hadir ke himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia yang pertama di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Pandan Indah. Pengesahan ini diberikan oleh Dato’ Seri Khairuddin Abu Hassan yang menyelaraskan program bagi pihak YABhg Tun Mahathir Mohamad.

Untuk menyesuaikan jadual Muafakat Selamatkan Malaysia dengan semua pimpinan Pakatan Harapan, Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tokoh-tokoh lain, tarikh yang dimuktamadkan adalah pada hari Isnin, 28 Mac 2016 bermula jam 8 malam.

Himpunan ini adalah berbentuk rapat umum yang menyediakan pentas kepada pemidato, deklamasi sajak, persembahan dan pelbagai program lain. Ia terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan saya menyeru seberapa ramai rakyat yang prihatin dengan masa depan negara untuk turun menyemarakkan gelombang reformasi.

Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia yang diadakan sehari selepas majlis tertutup pada 27 Mac 2016 yang diselaraskan oleh Dato’ Zaid Ibrahim akan memberi ruang kepada seberapa ramai rakyat Malaysia menyertainya memandangkan jemputan ke majlis pada 27 Mac 2016 adalah terhad.

15 Mac 2016

Rafizi Ramli
Penyelaras
Sekretariat Muafakat Selamatkan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.