Nazim Rahman Perlu Buat Akuan Bersumpah Nafikan Penglibatan Beliau Di Dalam Syarikat-Syarikat Midwest Equity Sdn Bhd, Union Properties Sdn Bhd Dan Union Services & Management Sdn Bhd

Saya telah menggesa MARA untuk membuat siasatan dan jika didapati bersalah mengambil tindakan terhadap Ahmad Nazim Abdul Rahman, CEO Pelaburan MARA Berhad sejak 20 Oktober 2015 kerana dokumen-dokumen yang saya ada dengan jelas menamakan beliau sebagai salah seorang pegawai tinggi MARA yang terbabit di dalam pembelian Dudley House pada harga yang tinggi dan melibatkan pembayaran komisen/rasuah kepada individu-individu tertentu.

Selepas saya menamakan beliau secara terang-terangan pada 20 Oktober 2015 yang lalu, beberapa kemudian beliau menulis email yang panjang merayu supaya perkara ini tidak dipanjangkan. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau tidak bersalah. Saya tidak berhajat untuk menjawab atau memaparkan email beliau kepada umum kerana ia bersifat peribadi.

Walau bagaimana pun tindakan beliau membuat laporan polis terhadap saya dan NOW (National Oversight & Whistleblowers) boleh dikira sebagai keengganan beliau berterus terang kerana fakta-fakta yang saya kemukakan boleh sahaja beliau bidas dengan mudah sekiranya ia tidak betul.

Malah, sewajarnya beliau mengambil tindakan saman terhadap saya di bawah undang-undang sivil sekiranya beliau merasakan pendedahan saya adalah tidak benar dan memfitnah.

Malangnya kebelakangan ini, penjawat awam di agensi kerajaan seperti MARA dan Tabung Haji tidak mengambil tindakan sama kerana mereka terpaksa mengemukakan bukti di mahkamah menolak pendedahan saya. Sebaliknya mereka membuat laporan polis di bawah undang-undang jenayah dengan menggunakan polis tanpa perlu mereka membela diri di mahkamah seperti di bawah undang-undang sivil.

Saya telah dedahkan selama ini kaitan di antara Ahmad Nazim Abdul Rahman dan skandal pembelian Dudley House oleh MARA seperti berikut:

1. “Tuntutan Saman” terhadap Wanissa Properties Pty Ltd (pemaju Dudley House) di mukasurat 9 dan 10 dengan terang menamakan Ahmad Nazim Abdul Rahman sebagai pegawai MARA/individu yang menghantar invois-invois berbentuk bayaran komisen sebanyak AUD$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta) kepada Wanissa Properties Pty Ltd (pemaju dan penjual Dudley House kepada MARA); dan

Download (PDF, 360KB)

2. “Carta Pemilikan Saham” (disertakan bersama) yang difailkan di Mahkamah Australia secara jelas menunjukkan perkaitan Ahmad Nazim Abdul Rahman dengan syarikat-syarikat dan individu-individu yang terbabit dan dinamakan di Mahkamah Australia.

Download (PDF, 38KB)

Dokumen-dokumen ini adalah hasil siasatan firma guaman yang mewakili pentadbir kepada subkontraktor yang muflis kerana Wanissa Properties Pty Ltd dan telah difailkan di Mahkamah Australia.

Saya nyatakan sekali lagi perkaitan Ahmad Nazim Abdul Rahman dengan syarikat-syarikat dan individu-individu yang terbabit di dalam skandal ini seperti berikut:

i. Pemaju kepada Dudley House ialah sebuah syarikat yang bernama Wanissa Properties Pty Ltd. Syarikat ini menjual Dudley House kepada MARA pada harga yang lebih mahal kerana melibatkan bayaran komisen/rasuah sebanyak AUD$4.75 juta (bersamaan RM14.25 juta)

ii. Wanissa Properties Pty Ltd dimiliki oleh 2 orang ahli perniagaan Malaysia iaitu Dato’ Azizi Yom Ahmad dan Dato’ Abdul Ghani Yusof

iii. Kedua-dua ahli perniagaan ini juga mempunya pegangan di dalam sebuah lagi syarikat iaitu Midwest Equity Sdn Bhd. Selain mereka, saham Midwest Equity Sdn Bhd turut dipegang oleh sebuah syarikat bernama Optimal Capital Group of Companies

iv. Optimal Capital Group of Companies dimiliki dan dikawal oleh Mazrul Haizad Maarof. Beliau adalah abang ipar kepada Dazma Daud, EXCO Pemuda UMNO

v. Optimal Capital Group of Companies dan syarikat-syarikat lain yang dikawal oleh Mazrul Haizad Maarof iaitu Leuven Capital Sdn Bhd dan TRR Heritage Sdn Bhd telah menghantar invois sebanyak AUD$4.75 juta kepada Wanissa Properties Pty Ltd sebagai bayaran komisen atas khidmat mereka merundingkan penjualan Dudley House kepada MARA

vi. Invois-invois itu diemail oleh Ahmad Nazim Abdul Rahman kepada Wanissa Properties Pty Ltd seperti yang disebut di dalam “Tuntutan Saman”

Download (PDF, 301KB)

vii. Ahmad Nazim Abdul Rahman adalah salah seorang ahli lembaga pengarah Midwest Equity Sdn Bhd bagi tempoh 28 Jun 2013 hingga 11 November 2013

viii. Beliau juga adalah bekas ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat lain yang dimiliki/dikawal oleh Mazrul Haizad Maarof dan/atau Dazma Daud iaitu Union Properties Sdn Bhd dan Union Services & Management Sdn Bhd

Fakta-fakta ini adalah terlalu jelas untuk dinafikan. Beliau mempunyai penglibatan di dalam syarikat-syarikat yang dimiliki dan dikawal oleh individu-individu yang dinamakan di dalam dokumen-dokumen Mahkamah Australia.

Oleh itu, saya mencabar supaya Ahmad Nazim Abdul Rahman membuat akuan bersumpah bahawa beliau tidak pernah menjadi ahli lembaga pengarah syarikat-syarikat yang dinamakan iaitu Midwest Equity Sdn Bhd, Union Properties Sdn Bhd dan Union Services & Management Sdn Bhd. Jika beliau tidak berani membuat akuan bersumpah, maka jelaslah beliau terlibat di dalam skandal ini dan beliaulah yang patut disiasat, bukannya saya atau NOW.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.