Datuk Seri Azeez Abdul Rahim Perlu Letak Jawatan Dari Tabung Haji Jika Tidak Mahu Tabung Haji Jadi Tumpuan Politik

Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang memberi maklumbalas yang pertama semalam (seperti dilaporkan BERNAMA) sejak isu kedudukan kewangan Tabung Haji mula timbul. Beliau dilaporkan meminta supaya pihak-pihak tertentu tidak mempolitikkan Tabung Haji dan mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang menyebarkan fitnah terhadap Tabung Haji.

Letak Jawatan-01

Sebagai Ahli Parlimen yang selalu memberi perhatian kepada kedudukan kewangan institusi milik kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk terus menyemak kedudukan kewangan dan pelaburan besar Tabung Haji. Apatah lagi rekod Datuk Seri Azeez Abdul Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji dalam menerangkan keputusan-keputusan pelaburan Tabung Haji yang mengundang kontroversi bukanlah baik.

Saya rujuk kepada penyata Dewan Rakyat bertarikh 16 Mac 2015 iaitu kali pertama saya menimbulkan risiko yang dihadapi oleh Tabung Haji jika terbabit dengan 1MDB. Penyata Dewan Rakyat mukasurat 79 adalah seperti berikut:

Download (PDF, 888KB)

Semasa saya mula-mula menimbulkan perkara ini, reaksi Datuk Seri Azeez Abdul Rahim di dalam Dewan Rakyat ialah dengan menjerit “bohong” sedangkan sebulan kemudiannya beliau sendiri terpaksa mengakui bahawa Tabung Haji telah membeli tanah kerajaan yang dianugerahkan kepada 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda.

Sehingga kini, beliau tidak pula menampilkan angka-angka untuk menafikan perkara-perkara yang saya timbulkan selain dari mengulangi bahawa ini adalah fitnah belaka.

Sebab itu, jika beliau tidak mahu Tabung Haji menjadi tumpuan politik, maka sebaiknya Tabung Haji tidak boleh ada campur tangan politik. Maka saya mengulangi desakan saya supaya beliau meletakkan jawatan agar seorang tokoh bukan politik dilantik menjadi Pengerusi Tabung Haji.

Sementara itu, minggu ini saya akan terus mengemukakan 3 lagi pelaburan Tabung Haji yang mengalami kerugian besar pada hari Selasa, Rabu dan Khamis.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.