Buka Kembali Siasatan Terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak, Kempen Petisyen Membuka Siasatan Dilancar

Beberapa perkembangan terkini sejak minggu lalu memberi gambaran bahawa keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamad Apandi Ali menutup siasatan kes melibatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan wang yang dipindahkan ke akaun beliau adalah tergopoh-gapah.

Saya merujuk kepada satu laporan di dalam New York Times semalam yang memetik Menteri Luar Arab Saudi, Adel Al-Jubeir bahawa dana yang disebut-sebut itu bukan satu derma malah satu pelaburan oleh individu warganegara Arab Saudi.

Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu memberi dimensi baru kerana perkara-perkara berikut:

1. Dato’ Seri Najib Tun Razak bukan seorang ahli perniagaan atau pakar pelaburan. Beliau tidak mempunyai apa-apa perniagaan. Seorang warganegara Arab Saudi tidak akan memberikan wang sebanyak RM2.6 bilion kepada beliau untuk dilaburkan kerana pelaburan bukanlah kepakaran beliau. Pelaburan sejumlah itu tidak mungkin diserahkan kepada seorang individu, apatah lagi yang bukan pakar pelaburan seperti Dato’ Seri Najib Tun Razak.

2. Jika dana RM2.6 bilion itu adalah bagi tujuan pelaburan, ia mesti melibatkan syarikat dan aset-aset tertentu. Warganegara Arab Saudi yang memberikan dana sebesar itu bagi tujuan pelaburan sudah tentu mahukan balasan tertentu sebagai pulangan kepada pelaburannya. Ini memungkinkan wujudnya pertelingkahan kepentingan (“conflict of interest”) memandangkan kuasa Dato’ Seri Najib Tun Razak yang besar sebagai seorang Perdana Menteri.

3. Keterlibatan seorang warga Arab Saudi di dalam pelaburan di Malaysia yang bersabit dengan Perdana Menteri membawa kembali dakwaan bahawa dana RM2.6 bilion itu ada kena mengena dengan 1MDB kerana 1MDB sendiri sebelum ini mewar-warkan bahawa pelaburannya melibatkan individu tertentu dari Arab Saudi, sementara Dato’ Seri Najib Tun Razak pula adalah Penasihat 1MDB.

Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi itu juga menyangkal kenyataan Peguam Negara kononnya dana itu adalah satu derma.

Oleh yang demikian, saya mendesak supaya Peguam Negara membuka semula dengan serta merta kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak mengambil kira perkembangan terbaru ini. Saya juga mengingatkan Peguam Negara supaya menggunakan sepenuh kuasa di bawah Perjanjian Bantuan Guaman Bersama (Mutual Legal Assistance) dengan negara-negara yang sedang menyiasat 1MDB dan/atau Dato’ Seri Najib Tun Razak termasuklah Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Untuk mengembalikan momentum rakyat dalam kes ini, saya juga telah mengambil inisiatif melancarkan kempen maya untuk mengumpul sokongan rakyat mendesak supaya kertas-kertas siasatan dan pendakwaan terhadap Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya bercadang mengumpul sejuta tandatangan rakyat melalui laman Facebook dan sejuta rakyat Malaysia menandatangani petisyen yang akan diangkat kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memohon campur tangan mereka supaya kertas siasatan dan pendakwaan dapat dibuka semula.

Saya menyeru supaya seberapa ramai rakyat Malaysia mengambil tindakan berikut:

1. “Like” laman “1 Juta Desak Buka Kembali Siasatan Terhadap Najib Razak” di capaian https://www.facebook.com/1Juta-Desak-Buka-Kembali-Siasatan-Terhadap-Najib-Razak-1086535944702074/

2. Tandatangan petisyen maya kepada DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu memohon campur tangan mereka supaya kertas siasatan dan pendakwaan dapat dibuka semula di capaian http://goo.gl/forms/pnd3XvubsQ

Setelah mendapat jumlah tandatangan yang memadai, saya dan rakan-rakan di dalam Pakatan Harapan akan menulis untuk merafak sembah mengadap DYMM Yang DiPertuan Agong dan Raja-Raja Melayu mengenai perkara ini.

Saya yakin rakyat tidak boleh berdiam diri dan membiarkan sahaja perkara ini ditutup apabila Peguam Negara menutup kes. Dengan desakan rakyat, saya yakin Dato’ Ser Najib Tun Razak boleh dihadapkan ke mahkamah.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.