Empat Perkara Pokok Yang Timbul Dari Jawapan 1MDB

1MDB akhirnya mengeluarkan kenyataan bagi menjawab pelbagai perkara yang saya timbulkan mengenai Bandar Malaysia, pemindahan Pengkalan Udara Kuala Lumpur dan naiktaraf 8 pengkalan udara lain serta terbitan sukuk RM2.4 bilion untuk membiayai kerja-kerja tersebut.

Jawapan 1MDB menimbulkan lebih banyak persoalan yang menguatkan lagi pandangan bahawa keseluruhan urusniaganya yang melibatkan Bandar Malaysia merugikan rakyat.

Berikut adalah jawapan saya kepada beberapa kesimpulan dan persoalan besar yang timbul dari jawapan 1MDB semalam:

1. Penjualan pegangan Bandar Malaysia kepada Konsortium IWH-CREC belum muktamad

Perjanjian jual beli pegangan 60% saham 1MDB di dalam Bandar Malaysia kepada Konsortium IWH-CREC masih belum dimuktamadkan kerana tertakluk kepada syarat-syarat (“Conditions Precedent”) termasuklah mendapat persetujuan pemegang sukuk.

1MDB bertegas bahawa ia belum melanggar Perjanjian Sukuk dengan Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) selagi 60% sahamnya di dalam Bandar Malaysia tidak dipindahkan kepada Konsortium IWH-CREC.

Ini bermakna, keputusan sama ada sebahagian Bandar Malaysia itu dijual kepada konsortium yang dianggotai syarikat berkaitan Kerajaan China ini bergantung kepada sama ada TH dan KWAP memberi kebenaran kepada penjualan tersebut.

Saya difahamkan bahawa tempoh masa untuk memuktamadkan semua syarat-syarat ini adalah Jun 2016.

Maka, ada ruang selama 6 bulan untuk rakyat campur tangan dan mendesak TH dan KWAP supaya tidak memberi kebenaran agar urusniaga ini tidak diteruskan.

2. 1MDB dibayar sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan untuk menyiapkan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara tetapi gagal kerana wang dibelanjakan bagi tujuan lain

Jawapan 1MDB mengakui perkara-perkara berikut – pertama, kos keseluruhan projek pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara adalah RM2.7 bilion. Kedua, Kerajaan Persekutuan bersetuju membayar kos RM2.7 bilion itu secara tunai sebanyak RM1.1 bilion dan pemberian hakmilik tanah Bandar Malaysia sebanyak RM1.6 bilion.

Ini bermakna, 1MDB telah dibayar sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dengan nilai RM2.7 bilion untuk menyiapkan kerja-kerja itu. Malah, nilai sebenar tanah Bandar Malaysia adalah lebih tinggi dari RM1.6 bilion kerana Presiden/CEO 1MDB, Arulkanda Abdullah menyebut bahawa nilaian bagi 60% dari tanah-tanah yang dijual kepada Konsortium IWH-CREC adalah sekitar RM7 bilion.

Walaupun 1MDB telah dibayar sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan dan 1MDB sendiri meminjam RM1.5 bilion dari TH dan KWAP bagi membiayai kos projek, ia masih belum mampu menyempurnakan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara itu. Malah, jumlah kos yang masih belum dibayar adalah RM1.9 bilion.

Jika kesemua dana rakyat ini tidak dibelanjakan bagi tujuan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara seperti yang diperuntukkan di dalam perjanjian dengan Kerajaan Malaysia, ke mana dana rakyat ini dibelanjakan?

3. Dana TH dan KWAP yang dipinjamkan kepada 1MDB dalam bahaya dan 1MDB perlu membayar segera

Sebagai seorang akauntan bertauliah, saya memahami terma-terma terbitan sukuk oleh 1MDB yang dilanggani TH dan KWAP. Saya sedia maklum bahawa 1MDB memperolehi dana sebanyak RM1.5 bilion dari terbitan tersebut dan segala keuntungan yang perlu dibayar 1MDB kepada pemegang sukuk akan dibayar semasa tempoh matang, menjadikan nilai pelupusan sukuk itu di tempoh matang bernilai RM2.4 bilion.

1MDB tidak harus mengelak dari menjawab persoalan pokok dengan berselindung di sebalik terma-terma kewangan yang tidak mudah difahami rakyat.

Perkara paling penting ialah TH dan KWAP telah meminjamkan RM1.5 bilion dana rakyat kepada 1MDB. Dana itu nampaknya tidak digunakan untuk menyiapkan kerja-kerja pemindahan dan naiktaraf pengkalan udara seperti yang sepatutnya.

Kini dana itu telah habis dan 1MDB masih berhutang dan perlu melangsaikan tanggungan kewangannya bersabit kerja-kerja pemindahan sebanyak RM1.9 bilion. 1MDB terpaksa pula menjual 60% dari pegangannya dalam Bandar Malaysia untuk mengurangkan hutang-hutang lain.

Namun, sehingga kini belum ada sebarang penyelesaian siapa sebenarnya yang akan membayar balik hutang 1MDB kepada TH dan KWAP sebanyak RM1.5 bilion ini (atau RM2.4 bilion jika dibenarkan matang).

Mengambil kira segala masalah kewangan yang dicetuskan 1MDB sehingga terpaksa menjual aset negara, saya berpandangan TH dan KWAP tidak perlu menunggu tempoh matang dengan menuntut 1MDB membayar kembali hutang RM1.5 bilion itu secara serta-merta demi menyelamatkan simpanan rakyat.

4. 1MDB tiada wang untuk menyiapkan kerja-kerja memindahkan dan menaiktaraf pengkalan udara, ada risiko tergendala atau terbengkalai

Saya percaya sudah jelas bahawa 1MDB sudah kehabisan dana untuk menyiapkan kerja-kerja memindahkan dan menaiktaraf pengkalan udara. Sebab itulah pegangannya sebanyak 60% di dalam Bandar Malaysia terpaksa dijual kepada Konsortium IWH-CREC.

Ini bermakna 1MDB terpaksa bergantung kepada suntikan dana dari Konsortium IWH-CREC untuk membayar kontraktor-kontraktornya kerana 1MDB tidak lebih dari syarikat Ali Baba yang menjadi broker tanah semata-mata.

Jika Konsortium IWH-CREC ini enggan membayar, atau lewat membayar, atau tidak bersetuju dengan syarat-syarat perjanjian, sudah tentu perkara itu akan mempunyai kesan kepada kerja-kerja memindahkan dan menaiktaraf pengkalan udara kerana tanpa suntikan dana ini, 1MDB tidak boleh membayar kontraktornya.

Malah, jika penjualan itu adalah dalam bentuk jualan pegangan saham seperti yang diumumkan sebelum ini, Konsortium IWH-CREC adalah pegangan majoriti (60%) di dalam Bandar Malaysia yang mempunyai tanggungjawab menyiapkan kerja-kerja tersebut. Sebagai pemilik majoriti Bandar Malaysia, sudah tentu Konsortium IWH-CREC mempunyai suara dalam soal tanggungan kewangan bagi kerja-kerja tersebut.

Tanpa penjualan ini, siapa yang akan menanggung kos berbaki sebanyak RM1.9 bilion untuk menyiapkan kerja-kerja ini? Adakah kerja-kerja ini akan terbengkalai?

Sebab itu saya katakana urusniaga itu ada melibatkan kepentingan keselamatan dan pertahanan negara kerana ia mempunyai kesan kepada kerja-kerja memindah dan menaiktaraf pengkalan-pengkalan udara di seluruh negara.

Memandangkan penjualan 60% pegangan 1MDB dalam Bandar Malaysia adalah tertakluk kepada persetujuan TH dan KWAP, saya akan mengambil tindakan-tindakan berikut:

1. Menulis secara rasmi kepada pengurusan TH dan KWAP (dalam kapasiti mereka sebagai pemegang sukuk ) agar tidak memberi kebenaran seterusnya menghentikan penjualan ini

2. Menjalankan kempen supaya orang ramai juga menulis kepada TH dan KWAP untuk tidak memberi kebenaran

3. Memfailkan usul-usul di sidang Parlimen Mac 2016 untuk mendesak TH dan KWAP menggunakan haknya menuntut bayaran serta merta RM1.5 bilion yang dipinjamkan kepada 1MDB


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.