Khairy Jamaluddin Wajar Letak Jawatan: Bersuara Tetapi Gagal Bela Rakyat Dalam Jemaah Menteri

Saya tertarik dengan intipati ucapan dasar Ketua Pemuda Umno, Saudara Khairy Jamaluddin yang dilaporkan cuba mempertahankan rekodnya dalam isu-isu kebajikan rakyat. Media melaporkan ucapan beliau yang menyebut bahawa beliau sering bersuara di dalam Jemaah Menteri membantah kenaikan harga termasuklah kenaikan tol baru-baru ini.

Walau bagaimana pun, percubaan beliau yang kononnya membela rakyat di dalam Jemaah Menteri tidak membawa apa-apa makna kepada rakyat kerana kenaikan-kenaikan ini terus berlaku. Secara tidak langsung, ucapan beliau pada hari ini merupakan pengakuan terbuka bahawa beliau gagal membawa suara orang muda yang begitu tertekan dengan kenaikan kos sara hidup dan pandangan beliau tidak dipedulikan di dalam Jemaah Menteri yang dipimpin Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Malah, pendirian Saudara Khairy Jamaluddin dalam isu-isu penting negara seperti pelaksanaan GST, perjanjian TPP dan skandal 1MDB juga jelas menunjukkan bahawa beliau adalah seorang apologis (peminta maaf) bagi pihak kerajaan dan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Di dalam Parlimen, tidak pernah sekali pun beliau bersuara menentang GST walaupun umum mengetahui GST adalah punca kenaikan harga barang yang mendadak akhir-akhir ini.

Sebab itu, saya berharap Saudara Khairy Jamaluddin berhenti dari cuba meraih simpati rakyat di gelanggang sendiri seperti di Perhimpunan Agung Umno. Jika beliau betul-betul mahu membela rakyat dan ada maruah, beliau sepatutnya meletakkan jawatan dengan kadar segera sebagai bantahan kepada dasar-dasar pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang beliau sendiri akui menekan rakyat. Saya percaya jika beliau meletakkan jawatan, tindakan itu boleh menggoncang kedudukan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan mempercepatkan lagi beliau turun dari kerusi Perdana Menteri.

Saudara Khairy Jamaluddin juga sepatutnya memberi sedikit sokongan moral kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato’ Seri Shafiee Afdal yang sedang menjalankan tanggungjawab mereka dalam merungkai skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion ke akaun Perdana Menteri.

Pun begitu, saya tidak begitu yakin bahawa Saudara Khairy Jamaluddin akan berani mengambil tindakan-tindakan sebegini. Paling kurang, saya berharap beliau sanggup berdebat secara terbuka mengenai isu-isu rakyat dan orang muda dengan Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Saudara Nik Nazmi Nik Ahmad seperti yang pernah dicadangkan sebelum ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.