Kontrak Tan Sri Annuar Musa Sebagai Pengerusi MARA Tetap Disambung Dan Tiada Sebarang Penjelasan Dari Pengerusi MARA Terdahulu

visit5

Saya mengambil maklum kenyataan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kontrak perkhidmatan dua pegawai tinggi MARA iaitu Dato’ Abdul Halim Rahim (CEO MARA Inc) dan Dato’ Mohammad Lan Allani (Pengerusi MARA Inc) telah ditamatkan ekoran pendedahan skandal pembelian hartanah melibatkan dana MARA di Australia.

Sementara tindakan tidak menyambung perkhidmatan kedua-dua mereka itu tepat, itu adalah tindakan yang paling ringan yang diambil oleh MARA dan tidak menyelesaikan apa-apa. Perkara yang paling penting ialah memastikan mereka yang bertanggungjawab di kedua-dua belah pihak (iaitu kepimpinan/pengurusan MARA yang meluluskan pembelian dan ahli politik/ahli perniagaan yang menjadi broker kepada pembelian) perlulah dibawa ke muka pengadilan supaya mereka dihukum kerana terlibat di dalam urusniaga yang menyelewengkan dana rakyat.

Oleh yang demikian, selagi soalan-soalan berikut tidak terjawab:

1. Siapa di kalangan kepimpinan dan pengurusan MARA yang bertanggungjawab sehingga menyebabkan MARA meluluskan pembelian hartanah-hartanah ini yang sekarang jelas ada unsur penyelewengan?

2. Siapa di kalangan ahli politik dan ahli perniagaan yang menjadi broker kepada pembelian-pembelian ini dan apa kaitan mereka dengan MARA sehingga mereka menjadi begitu berpengaruh?

3. Siapa yang mendapat keuntungan dari urusniaga yang melebihi harga pasaran sehingga RM129 juta dan apakah ada di kalangan kepimpinan dan pengurusan MARA yang mempunyai kepentingan bersama yang turut mendapat laba dari keuntungan ini?

Rakyat akan terus beranggapan bahawa skandal ini ditutup begitu sahaja dan mereka yang bertanggungjawab tidak pun dihadapkan ke muka pengadilan.

Dato’ Ismail Sabri Yaakob sebagai menteri yang bertanggungjawab juga perlu menjelaskan kepada rakyat kenapa Tan Sri Annuar Musa masih dilantik sebagai Pengerusi MARA bagi penggal yang baru sedangkan pendedahan setakat ini menunjukkan beliau tahu mengenai pembelian-pembelian ini tetapi tidak mengambil sebarang tindakan segera untuk merungkainya, sehinggalah perkara ini didedahkan oleh saya dan media Australia pertengahan tahun ini.

Dato’ Ismail Sabri Yaakob juga perlu menjawab kenapa sehingga kini mantan Pengerusi MARA pada ketika pembelian-pembelian ini berlaku iaitu Dato’ Seri Idris Jusoh sehingga sekarang masih belum dipanggil atau disiasat kerana semua ini berlaku di bawah pengawasan beliau.

Saya akan terus memberi fokus kepada isu ini dan kepincangan MARA dalam menjaga kebajikan anak-anak Melayu/Bumiputra. Skandal ini tidak boleh ditutup dengan penamatan kontrak dua orang pegawai tinggi MARA.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.