Kerajaan Perlu Hentikan GST Dan Bayar Keuntungan Kepada Peniaga Yang Lambat Menerima Bayaran Balik GST (“GST Refund”)

Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Chua Tee Yong semalam semasa menjawab soalan lisan telah mengesahkan bahawa sejak GST dilaksanakan, hanya 41% dari bayaran balik GST (“GST refund”) yang dibuat mengikut undang-undang iaitu dalam tempoh 14 hari dari tarikh borang GST (“GST return”) difailkan.

Ini bermakna 59% dari bayaran balik GST setakat ini tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri. 59% dari peniaga lewat menerima bayaran balik GST yang membawa kesan kepada aliran tunai (“cashflow”) peniaga. Apabila aliran tunai peniaga terjejas, ini meningkatkan kos perniagaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Kelewatan bayaran balik GST ini telah ditimbulkan sebelum ini oleh pelbagai pihak baik peniaga sendiri atau dewan-dewan perniagaan. Walau bagaimana pun, kerajaan hanya memberi pengesahan semalam bahawa selama ini memang kerajaan telah lewat membayar balik GST kepada peniaga-peniaga.

Kegagalan membayar balik GST kepada peniaga mengikut tempoh masa yang dijanjikan oleh kerajaan adalah satu kepincangan besar yang tidak boleh dipandang rendah. Setelah 6 bulan GST dilaksanakan, kerajaan masih belum dapat menguruskan sistem GST ini dengan baik dan yang menjadi mangsa adalah peniaga dan rakyat yang lewat menerima bayaran balik.

Saya tidak boleh menerima alasan yang diberikan oleh Timbalan Menteri Kewangan semalam bahawa ini perkara biasa yang terpaksa dilalui semasa di peringkat awal pelaksanaan GST kerana rakyat telah membayar GST tepat pada masanya sejak ia dilaksanakan pada 1 April 2015 lalu.

Oleh yang demikian, saya menyeru supaya kerajaan berlaku adil kepada peniaga dan rakyat dengan menghentikan serta-merta sistem cukai GST ini sehinggalah segala masalah yang dihadapi oleh pihak berkuasa yang menyebabkan kelewatan bayaran balik GST dapat diselesaikan. Hanya apabila kerajaan dapat membayar balik GST kepada peniaga dan rakyat tepat pada masanya barulah adil rakyat membayar GST tepat pada masanya seperti yang diperuntukkan undang-undang.

Saya juga berpendapat adalah adil sekiranya kerajaan membayar keuntungan (faedah) di atas jumlah cukai GST yang lewat dibayar balik kepada peniaga dan rakyat sebagai timbal balik kepada kos peniaga dan rakyat yang terpaksa menanggung kos tambahan untuk menampung gangguan kepada aliran tunai akibat dari kelewatan kerajaan membayar balik GST selama ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.