Selesai Masalah 1MDB Dalam 6 Bulan: Apa Yang Dijual, Digadai, Dilelong?

Saya merujuk kepada kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak semalam bahawa masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan dari sekarang. Kenyataan beliau itu adalah konsisten dengan pengumuman kononnya proses rasionalisasi kewangan 1MDB akan mengambil masa 6 bulan sejak bulan lepas.

Sejak membawa isu 1MDB bersama-sama dengan YB Tony Pua dan Ahli Parlimen yang lain, saya tidak pernah mempersoalkan mengenai kemungkinan hutang-hutang 1MDB (yang setakat 31 Disember 2014 berjumlah RM42 bilion) itu boleh dibayar. Ada banyak cara bagaimana hutang korporat boleh dibayar dan bukanlah sukar untuk mencari jalan menyelesaikan hutang RM42 bilion itu.

Kebimbangan utama saya dan sebahagian besar rakyat yang lain ialah apakah harga yang perlu dibayar oleh rakyat demi menyelamatkan 1MDB yang bermasalah itu?

Rekod pentadbiran Barisan Nasional dalam menyelamatkan syarikat-syarikat yang berkait dengan kepentingan elit pemerintah (“ruling elite”) sejak tahun 1980an lagi telah menunjukkan bagaimana mudahnya Barisan Nasional menggunakan dana awam untuk menyelamatkan kepentingan mereka. Dahulunya, dana PETRONAS sering menjadi mangsa setiap kali ada syarikat lain yang bermasalah.

Setakat ini, rakyat telah mengetahui bahawa badan-badan pelaburan awam seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT, melalui anak syarikat) semuanya telah terdedah kepada risiko kewangan 1MDB apabila mereka ada urusniaga kewangan dengan 1MDB (sama ada dalam bentuk pinjaman yang diberikan, bon yang dipegang dan lain-lain).

Jika sebelum ini pun pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan mudahnya mengheret tabung-tabung awam ini membantu 1MDB, apakah jaminan Dato’ Seri Najib Tun Razak bahawa tabung-tabung ini tidak digunakan secara senyap-senyap untuk menyelamatkan 1MDB?

Saya juga sedia maklum bahawa pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang berusaha untuk merundingkan urusniaga kewangan dengan bank-bank dan pihak berkuasa Negara-negara Teluk bagi tujuan membantu 1MDB. Ini mungkin sebahagian kecil dari pelbagai jalan yang diusahakan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk menyuntik dana ke dalam 1MDB.

Tidak ada negara, bank atau institusi kewangan di dalam dunia ini yang akan memberikan bantuan kewangan secara percuma kepada 1MDB dalam keadaan kewangannya yang tenat seperti sekarang. Sebarang bantuan atau suntikan kewangan sudah tentu akan diberikan dengan syarat-syarat yang begitu ketat dan menguntungkan mereka sebagai timbal balik kepada risiko kewangan besar yang mereka tanggung.

Oleh yang demikian, saya bimbang apabila Dato’ Seri Najib Tun Razak menyatakan masalah kewangan 1MDB akan diselesaikan dalam tempoh 5 bulan, ini bermakna sudah ada persetujuan-persetujuan mengenai urusniaga kewangan dengan pihak ketiga yang besar kemungkinan akan merugikan rakyat.

Saya menyeru supaya sebelum sebarang urusniaga kewangan yang melibatkan suntikan dana kepada 1MDB dipersetujui, butiran setiap urusniaga kewangan itu (baik yang melibatkan Kerajaan Persekutuan, badan pelaburan milik rakyat, agensi kerajaan atau pun pihak swasta/pihak ketiga) perlulah dibentangkan secara terperinci di Parlimen dan dibahaskan terlebih dahulu.

Soalan-soalan berikut perlu dijawab secara terperinci oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak bagi setiap urusniaga kewangan itu:

1. Apa terma terperinci yang melibatkan tanggungan kerajaan dan rakyat?

2. Berapa jumlah kos keseluruhan yang melibatkan dana awam?

3. Adakah urusniaga itu melibatkan apa-apa harta atau tanah milik awam?

4. Adakah pihak yang menyuntik dana akan mendapat apa-apa kontrak atau balasan kewangan lain yang tidak berkaitan dengan 1MDB tetapi ditanggung/dianugerahkan oleh Kerajaan Malaysia atau mana-mana agensi milik Kerajaan Malaysia?

5. Adakah Kerajaan Malaysia memberikan sebarang jaminan untuk menanggung hutang/suntikan dana baru ini?

6. Siapakah individu-individu terbabit (di depan dan di belakang) yang merundingkan dan akan mendapat keuntungan dari urusniaga itu?

Proses membentangkan secara terperinci sebarang urusniaga kewangan baru melibatkan 1MDB adalah penting untuk mengelakkan berulangnya skandal-skandal yang mana harta-harta kerajaan dan jaminan kerajaan diberikan kepada 1MDB sehingga merugikan rakyat. Kita juga tidak mahu walau satu sen pun lagi dana awam diberikan kepada 1MDB selepas ini.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.