Hentikan Perbincangan Undang-Undang Pembiayaan Politik Selagi Perdana Menteri & Kabinet Tidak Isytihar Harta

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan mengenai usaha pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kononnya ingin menggubal undang-undang mengawal pembiayaan politik selepas skandal dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi beliau didedahkan kepada rakyat.

Saya juga telah menerima jemputan sebelum ini dari Institut Integriti Malaysia yang ingin mengadakan rundingan meja bulat mengenai perkara ini.

Pendirian saya adalah jelas bahawa:

1. Isu penggubalan undang-undang mengawal pembiayaan politik ini hanya timbul ekoran dari keterdesakan Dato’ Seri Najib Tun Razak berdepan dengan kemarahan rakyat akibat skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion;

2. Isu penggubalan undang-undang ini adalah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenarnya dan cuba berdalih dengan rakyat mengenai bagaimana dana RM2.6 bilion boleh dimasukkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak;

3. Isu sebenar ialah kekayaan peribadi pimpinan politik yang tidak sepadan dengan gaji mereka yang disahkan dengan pengakuan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa dana RM2.6 bilion itu masuk ke akaun peribadi beliau sebagai derma kepada beliau.

Dakwaan oleh Sarawak Report pada hari ini bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membelanjakan sekitar USD1 juta (bersamaan RM3.5 juta) perbelanjaan melalui kad kredit CIMB dan Maybank ketika bercuti di Eropah dalam Ogos 2014 mendedahkan lagi berleluasanya gejala pimpinan politik yang hidup mewah melebihi pendapatan.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terbabit supaya memboikot sebarang usaha untuk menggubal undang-undang yang mengawal pembiayaan politik selagi Perdana Menteri dan keseluruhan anggota Jemaah Menteri tidak mengisytiharkan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan seperti yang pernah saya buat.

Hanya selepas pengisytiharan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan dibuat oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan anggota Jemaah Menteri, barulah rakyat boleh membincangkan satu kerangka pembiayaan politik yang telus dengan harapan mana-mana menteri yang terbukti mempunyai harta dan berbelanja melebihi pendapatan didakwa dan dihukum terlebih dahulu.

Saya juga berpendapat pembiayaan politik yang telus boleh dicapai dengan menggunakan kaedah kerajaan memperuntukkan geran kepada parti-parti politik mengikut jumlah sokongan undi majoriti yang diperolehi di dalam pilihanraya yang lepas. Apabila kerajaan memperuntukkan geran sebegini, barulah undang-undang boleh diketatkan dengan mensyaratkan sebarang derma atau sumbangan politik kepada mana-mana ahli politik atau parti politik diisytiharkan secara telus – seperti mana yang diamalkan di negara-negara yang matang amalan demokrasinya.

Oleh itu, saya menasihatkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low supaya cuba mendapatkan pengisytiharan harta dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan anggota Jemaah Menteri sebelum beliau sibuk memukul canang mengenai undang-undang pembiayaan politik.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.