Hentikan Perbincangan Undang-Undang Pembiayaan Politik Selagi Perdana Menteri & Kabinet Tidak Isytihar Harta

Saya merujuk kepada kenyataan-kenyataan mengenai usaha pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang kononnya ingin menggubal undang-undang mengawal pembiayaan politik selepas skandal dana RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi beliau didedahkan kepada rakyat.

Saya juga telah menerima jemputan sebelum ini dari Institut Integriti Malaysia yang ingin mengadakan rundingan meja bulat mengenai perkara ini.

Pendirian saya adalah jelas bahawa:

1. Isu penggubalan undang-undang mengawal pembiayaan politik ini hanya timbul ekoran dari keterdesakan Dato’ Seri Najib Tun Razak berdepan dengan kemarahan rakyat akibat skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion;

2. Isu penggubalan undang-undang ini adalah satu cubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat dari isu sebenarnya dan cuba berdalih dengan rakyat mengenai bagaimana dana RM2.6 bilion boleh dimasukkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak;

3. Isu sebenar ialah kekayaan peribadi pimpinan politik yang tidak sepadan dengan gaji mereka yang disahkan dengan pengakuan Dato’ Seri Najib Tun Razak sendiri bahawa dana RM2.6 bilion itu masuk ke akaun peribadi beliau sebagai derma kepada beliau.

Dakwaan oleh Sarawak Report pada hari ini bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak telah membelanjakan sekitar USD1 juta (bersamaan RM3.5 juta) perbelanjaan melalui kad kredit CIMB dan Maybank ketika bercuti di Eropah dalam Ogos 2014 mendedahkan lagi berleluasanya gejala pimpinan politik yang hidup mewah melebihi pendapatan.

Oleh itu, saya menyeru semua pihak yang terbabit supaya memboikot sebarang usaha untuk menggubal undang-undang yang mengawal pembiayaan politik selagi Perdana Menteri dan keseluruhan anggota Jemaah Menteri tidak mengisytiharkan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan seperti yang pernah saya buat.

Hanya selepas pengisytiharan perincian harta, pendapatan dan perbelanjaan dibuat oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan anggota Jemaah Menteri, barulah rakyat boleh membincangkan satu kerangka pembiayaan politik yang telus dengan harapan mana-mana menteri yang terbukti mempunyai harta dan berbelanja melebihi pendapatan didakwa dan dihukum terlebih dahulu.

Saya juga berpendapat pembiayaan politik yang telus boleh dicapai dengan menggunakan kaedah kerajaan memperuntukkan geran kepada parti-parti politik mengikut jumlah sokongan undi majoriti yang diperolehi di dalam pilihanraya yang lepas. Apabila kerajaan memperuntukkan geran sebegini, barulah undang-undang boleh diketatkan dengan mensyaratkan sebarang derma atau sumbangan politik kepada mana-mana ahli politik atau parti politik diisytiharkan secara telus – seperti mana yang diamalkan di negara-negara yang matang amalan demokrasinya.

Oleh itu, saya menasihatkan supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low supaya cuba mendapatkan pengisytiharan harta dari Dato’ Seri Najib Tun Razak dan anggota Jemaah Menteri sebelum beliau sibuk memukul canang mengenai undang-undang pembiayaan politik.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Penggantungan Hanif Mahpa & Afiqah Zulkifli: Gerakan Mahasiswa Wajar Bangkit

Jemput_Ahmad_Maslan

Saya tidak terkejut dengan tindakan bacul pimpinan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung Saudara Hanif Mahpa, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPP) UIA dan Saudari Afiqah Zulkifli, EXCO MPP UIA selama dua semester (iaitu setahun) hanya kerana mereka menjemput saya menyertai satu forum mengenai GST.

Yang saya terkejut ialah bagaimana pimpinan mahasiswa seperti Saudara Hanif Mahpa, Saudari Afiqah Zulkifli dan rakan-rakan mereka di dalam MPP UIA yang jauh lebih berani dari orang-orang tua berjawatan tinggi yang mengepalai UIA. Semasa saya dijemput untuk hadir, saya pada mulanya menolak kerana saya tahu mereka (pimpinan mahasiswa ini) akan berdepan dengan risiko kerana pimpinan UIA mempunyai rekod paling buruk berbanding universiti-universiti lain.

Walau bagaimana pun, mereka meyakinkan saya bahawa prinsip kebebasan akademik lebih penting dari tunduk kepada ugutan beberapa orang profesor yang selesa dengan pangkat. Lalu saya tetap hadir, apatah lagi program itu forum yang adil kerana ada wakil Umno yang akan turut berucap.

Setelah mereka diberi notis dipanggil membela diri kerana dituduh melanggar peraturan universiti, sekali lagi saya duduk berbincang dengan Saudara Hanif, Saudari Afiqah dan rakan-rakan pimpinan MPP UIA. Malah, saya menasihatkan mereka supaya mereka cari jalan untuk berkompromi supaya mereka tidak digantung dari universiti. Mereka meyakinkan saya bahawa mereka tidak akan berganjak kerana memperjuangkan kebebasan akademik itu penting demi kematangan mahasiswa dan mereka sanggup berdepan dengan sekeras-keras hukuman.

Oleh kerana saya sendiri tidak mampu memujuk mereka supaya tidak terlalu berani, kami ada membincangkan beberapa pilihan sekiranya kedua-dua mereka digantung oleh universiti. Saya memberi komitmen bahawa saya mengambil tanggungjawab kepada kebajikan mereka sepanjang mereka digantung.

Oleh yang demikian, saya telah memberikan beberapa pilihan termasuklah bertugas dengan saya sepanjang setahun sebagai pegawai saya untuk menimba pengalaman pentadbiran atau menjalani kursus pendek yang boleh meningkatkan kemahiran dan daya saing mereka sebagai mahasiswa. Saya akan mengusahakan pembiayaan yang sewajarnya untuk mempastikan kebajikan mereka terjaga sepanjang tempoh penggantungan ini.

Saya juga menyeru supaya pimpinan mahasiswa seluruh Malaysia mengambil iktibar bahawa kebebasan akademik tidak akan diberikan kepada kampus kecuali ia dituntut habis-habisan. Dalam suasana kemelut politik sekarang, profesor-profesor selesa di universiti akan lebih keras untuk mempertahankan pemerintahan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya menjangkakan universiti-universiti akan mengetatkan lagi ruang kebebasan berfikir yang sudah sedia sempit di kampus untuk melindungi Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Oleh yang demikian, saya menggesa kesemua pertubuhan mahasiswa dan pimpinan mahasiswa untuk bersatu dan memperhebatkan lagi tuntutan kebebasan akademik di kampus. Saya juga mencabar pertubuhan mahasiswa dan pimpinan mahasiswa supaya lebih agresif dalam mendepani usaha membawa perubahan di negara ini dengan terus memberi tekanan agar Dato’ Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan serta-merta.

Saya akan terus memberi sokongan dan dokongan kepada pimpinan mahasiswa memandangkan latar belakang saya sendiri sebagai aktivis mahasiswa semasa menjadi Pengerusi United Kingdom Executive Council for Malaysian Students (UKEC) di UK dahulu.

Untuk itu, saya telah memberikan komitmen-komitmen berikut kepada gerakan mahasiswa:

1. Bersama-sama menjelajah ke seberapa banyak kampus di seluruh negara untuk memberikan penerangan dan berdebat mengenai GST untuk mempertahankan hak mahasiswa bersuara dan berfikir; dan

2. Menubuhkan satu tabung untuk mengumpul dana bagi membela pimpinan dan aktivis siswa yang berhadapan dengan tindakan digantung akibat keberanian mereka mempertahankan kebebasan akademik seperti Saudara Hanif Mahpa dan Saudari Afiqah Zulkifli. Satu majlis mengumpul dana akan dianjurkan oleh Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) bagi tujuan ini dalam masa terdekat.

Saya percaya adik-adik mahasiswa akan terus bangkit menjadi tonggak kepada gerakan perubahan seperti mana kami, generasi pimpinan siswa dahulu kini menjadi pimpinan politik yang berdepan terus dengan gelojoh pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Penyelesaian Kes Saman Tan Sri Khalid Ibrahim vs Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan Parti Keadilan Rakyat

Kedua-dua pihak plaintif (Tan Sri Khalid Ibrahim) dan defendan-defendan (Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan Parti Keadilan Rakyat) telah bersetuju untuk menyelesaikan kes saman plaintif di luar mahkamah. 

Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang turut hadir sebagai saksi defendan telah berbincang dengan kedua-dua pihak plaintif dan defendan pagi ini. Sebagai menghormati beliau dan mengambil kira kepentingan masyarakat dengan latar belakang kemelut politik negara akibat skandal melibatkan Dato’ Seri Najib Razak, kedua-dua pihak bersetuju perkara-perkara berikut:

1) Tan Sri Khalid Ibrahim menarik balik saman

2) Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan KEADILAN memohon maaf kepada Tan Sri Khalid Ibrahim

3) Tan Sri Khalid Ibrahim memohon maaf kepada Dato’ Saifuddin Nasution Ismail dan KEADILAN

Persetujuan ini dimeterai dan difailkan di mahkamah seperti di dalam dokumen mahkamah yang disertakan bersama.

Bagi pihak KEADILAN, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN


Laporan Kepada SPRM Untuk Siasatan Sumbangan Politik Berjumlah RM2.6 Bilion

laporansprmtabungayam

Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam bahawa sejumlah RM2.6 bilion wang yang dipindahkan ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah derma politik mengundang lebih banyak persoalan mengenai rasuah dan pecah amanah yang perlu disiasat.

Saya ingin mengingatkan Dato’ Seri Najib Tun Razak dan rakyat Malaysia bahawa skop siasatan Pasukan Petugas Khas (“Special Task Force”) yang dianggotai oleh SPRM, BNM, PDRM dan Peguam Negara adalah untuk menyiasat secara keseluruhan urusniaga 1MDB untuk memastikan tidak ada pecah amanah atau salah guna kuasa. Ini meliputi semua tuduhan yang dibawa sebelum ini termasuklah tuduhan wang 1MDB dipindahkan ke akaun milik individu yang rapat dengan Dato’ Seri Najib Tun Razak seperti Jho Low; sehinggalah kegagalan 1MDB memenuhi komitmen kewangannya untuk membayar hutangnya yang telah mencecah RM42 bilion.

Urusniaga pemindahan wang sebanyak RM2.6 bilion ke akaun peribadi Dato’ Seri Najib Tun Razak hanyalah satu tugasan kecil yang kebetulan mendapat perhatian rakyat apabila Wall Street Journal mendedahkan adanya dana yang dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri. Oleh yang demikian, kenyataan SPRM semalam tidak sedikit pun menjawab soalan-soalan penting yang perlu disiasat oleh Pasukan Petugas Khas yang bertanggungjawab kepada rakyat untuk merungkai semua persoalan mengenai 1MDB.

Malah, kenyataan SPRM semalam mengundang lebih banyak persoalan mengenai sumbangan politik berjumlah RM2.6 bilion itu, terutamanya berhubung peruntukan-peruntukan khusus Akta SPRM 2009 seperti berikut:

 Seksyen 3 Akta SPRM menetapkan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak adalah penjawat awam yang tidak dibenarkan menerima “suapan” dalam apa jua bentuk sekali pun. Takrifan “suapan” di bawah akta ini termasuklah hadiah dan derma apabila hadiah dan derma itu diberikan untuk mendapat balasan.

 Seksyen 50 Akta SPRM menetapkan bahawa sekiranya seorang penjawat awam memberi atau menerima suapan, penjawat awam itu telah melakukan satu rasuah.

 Seksyen 16 Akta SPRM menetapkan bahawa seseorang yang didapati bersalah melakukan rasuah boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun.

Tidak ada rakyat Malaysia yang waras yang boleh menerima penjelasan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak menerima derma sebanyak RM2.6 bilion dari seseorang untuk membiayai kempen PRU13 Barisan Nasional tanpa penderma itu mendapat sebarang balasan. Oleh itu, derma yang disebut-sebut oleh pimpinan Umno sekarang ini boleh digolongkan sebagai suapan mengikut Seksyen 3 Akta SPRM.

Oleh itu, pada hari ini telah mengarahkan pimpinan KEADILAN di seluruh negara di semua peringkat untuk membuat laporan kepada SPRM mendesak SPRM memulakan siasatan terhadap sumbangan politik itu mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009. Satu pekeliling dengan laporan contoh telah dikeluarkan kepada pimpinan KEADILAN di seluruh negara bagi tujuan ini.

Download (PDF, 53KB)

Saya menjemput seberapa ramai rakyat Malaysia untuk turut sama membuat laporan SPRM untuk menyiasat mengenai sumbangan politik kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak ini sebagai luahan rasa marah rakyat kepada perkembangan politik mutakhir.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

Isu Pembiayaan Politik Helah Menutup Skandal 1MDB

Sejak beberapa hari yang lepas, ada cubaan yang tersusun oleh pimpinan Umno untuk membawa isu baru iaitu pembiayaan parti-parti politik. Perkara ini mula-mula disebut oleh Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan disambut sendiri oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak.

Dalam ucapannya di Seremban, Dato’ Seri Najib mengumumkan kesediaan beliau untuk menyatakan punca kewangan Umno dan penyumbang-penyumbang kepada dana Umno lalu mencabar parti-parti pembangkang untuk turut menyatakan punca kewangan kami.

Operasi harian KEADILAN termasuk membayar gaji kakitangan di ibupejabat, sewa pejabat-pejabat KEADILAN negeri dan perbelanjaan ibupejabat ditampung oleh potongan gaji oleh wakil rakyat KEADILAN. KEADILAN mempunyai 29 ahli parlimen dan 40 ADUN di seluruh negara. Ahli Parlimen dan ADUN di Selangor dan Pulau Pinang (negeri yang diperintah pakatan pembangkang) menyumbang 20% dari gaji bulanan kepada KEADILAN. Ahli Parlimen dan ADUN dari negeri lain menyumbang 10% dari gaji bulanan kepada KEADILAN.

Bagi perbelanjaan lain, KEADILAN mengadakan majlis mengutip derma dari semasa ke semasa terutamanya menjelang pilihanraya. Kutipan dana dari majlis mengutip derma ini bergantung kepada kehadiran – ada yang berjaya mengutip dari RM50,000 sehingga RM500,000 bergantung berapa banyak tiket dijual.

Walau bagaimana pun, isu pembiayaan parti-parti politik ini hanyalah helah yang dimainkan oleh Umno dan Dato’ Seri Najib Tun Razak. Saya berpandangan bahawa isu ini ditimbulkan untuk menutup dua persoalan besar yang tidak boleh dijawab oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak:

1. Ke manakah wang RM42 bilion yang dipinjam oleh 1MDB dan benarkah wang itu telah diambil oleh individu-individu yang rapat dengan Perdana Menteri seperti Jho Low?

2. Kenapakah RM2.6 bilion yang sebahagiannya dituduh turut berasal dari dana 1MDB dimasukkan ke akaun peribadi Perdana Menteri?

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Datuk Azalina Othman setakat ini memberi gambaran seolah-olah dana RM2.6 bilion itu kononnya adalah sumbangan dermawan antarabangsa kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dan bukannya dana 1MDB.

Saya tidak terkejut sekiranya Dato’ Seri Najib Tun Razak melalui jurucakapnya seperti Datuk Abdul Rahman Dahlan dalam masa beberapa minggu ini akan menjual cerita-cerita berikut:

1. Dana RM2.6 bilion itu adalah derma dari orang kaya dari Timur Tengah secara peribadi kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak. Derma itu digunakan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak untuk membiayai kempen pilihanraya Umno dan Barisan Nasional dalam PRU13 yang lalu

2. Ada bukti dalam bentuk dokumen bahawa kononnya dana RM2.6 bilion itu adalah derma kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak

3. Oleh kerana dokumen itu, maka pemindahan RM2.6 bilion itu bukanlah berunsur rasuah dan hanyalah sumbangan politik seperti mana kes RM40 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Dato’ Seri Musa Aman, Ketua Menteri Sabah satu ketika dahulu

4. Berdasarkan perkara ini, siasatan ke atas 1MDB dan dana RM2.6 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri akan menyimpulkan bahawa tidak ada unsur rasuah dan kes ditutup begitu sahaja

Isu-isu yang dibawa kebelakangan ini berkaitan pembiayaan parti-parti politik hanyalah untuk mempersiapkan orang ramai dengan skrip yang telah disediakan iaitu siasatan berkenaan 1MDB dan dana di dalam akaun peribadi 1MDB mendapati tiada unsur rasuah dan kes ditutup begitu sahaja.

Saya yakin rakyat Malaysia yang celik tidak akan termakan dengan putar alam begini. Saya juga berharap pimpinan Umno yang masih ada sedikit maruah seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengkritik Dato’ Seri Najib Tun Razak supaya rakyat tidak diperbodohkan dengan cerita dongeng kononnya dana RM2.6 bilion ini adalah sumbangan derma orang kaya Timur Tengah kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak.


RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN