MARA Turut Terlebih Bayar RM18 Juta Untuk Bangunan 51 Queen Street

National Oversight & Whistleblowers (NOW) meneruskan siasatan terhadap pembelian-pembelian hartanah di Melbourne oleh MARA susulan pendedahan semalam yang jelas menunjukkan bangunan 333 Exhibition Street dibeli oleh MARA Inc pada harga yang jauh lebih tinggi daripada kadar pasaran.

NOW telah meneliti satu lagi dokumen yang diterbitkan oleh Quintessential Equity iaitu sebuah dana hartanah yang pernah memiliki bangunan 51 Queen Street. Ringkasan laporan tersebut (http://www.quintessential.com.au/project/51-queen-street-melbourne/) adalah seperti berikut:

i. Bangunan 51 Queen Street dibeli oleh Quintesssential Group of Companies (QGC) sekitar tahun 2010 pada harga AUD$ 8.2 juta

51queenst

ii. Bangunan tersebut telah dinaikkan taraf oleh QGC

iii. Dalam tempoh tiga tahun bangunan tersebut telah dijual pada harga AUD$16.65 juta kepada pihak yang tidak dinamakan.

iv. Kemudian dalam bulan Mac 2013, MARA Inc membeli bangunan 51 Queen Street dari pihak yang tidak dinamakan tersebut pada harga AUD$ 22 juta atau RM 70.4 juta

v. Pembelian ini adalah AUD$ 5.35 juta atau RM 18 juta lebih mahal dari harga yang dibeli dari QGC

Ini jelas membuktikan bahawa pembelian 51 Queen Street ini melibatkan kaedah yang sama dengan pembelian Dudley House dan 333 Exhibition Street, iaitu harga yang dibayar oleh MARA Inc adalah jauh lebih tinggi dari harga pasaran.

Jumlah keseluruhan lebihan bayaran setakat ini adalah seperti berikut:

HARTANAH PEMBELIAN MARA PEMBELIAN SEBELUM MARA JUMLAH LEBIHAN BAYARAN
Dudley House AUD$ 22.6 juta

RM 67.2 juta

 

  AUD$ 4.75 juta

RM 15.2 juta

333 Exhibition Street AUD$ 31 juta

RM 99.2 juta

 

AUD$ 22 juta

RM 66.2 juta

AUD$ 9 juta

RM 33 juta

51 Queen Street

 

AUD$ 22 juta

RM 70.4 juta

 

AUD$ 16.65 juta

RM 52.4 juta

AUD$ 5.35 juta

RM 18 juta

 

JUMLAH KESELURUHAN

AUD$ 19.1 juta

RM 66.2 juta

Berdasarkan bukti-bukti yang didedahkan setakat ini, ianya seolah-olah menunjukkan satu modus operandi yang sistematik dan NOW yakin wujudnya unsur pecah amanah (criminal breach of trust).

Seharusnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhenti daripada berdolak-dalik dan menyegerakan siasatan mengenai isu ini sejajar dengan komitmen yang diberikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak untuk memastikan siasatan yang menyeluruh diambil.

Memandangkan isu ini melibatkan kepentingan awam, rakyat juga berhak mendapat maklumat atau status terkini siasatan dari semasa ke semasa.

NOW seterusnya mengajukan soalan-soalan berikut kepada Tan Sri Annuar Musa:-

i. Mengapa Majlis MARA meluluskan pembelian 51 Queen Street yang harganya RM18 juta lebih mahal daripada harga pasaran?

ii. Siapakah yang memiliki 51 Queen Street sebelum MARA Inc membelinya dengan harga RM18 juta lebih mahal daripada harga pasaran?

iii. Adakah hartanah keempat iaitu 746 Swanston Street turut melibatkan pembelian pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran?

Rakyat berhak untuk mengetahui ke manakah perginya RM 66.2 juta wang amanah rakyat yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan bumiputra melalui bantuan pendidikan dan perniagaan kecil.

Jawapan dan penjelasan daripada pengerusi MARA selepas ini diharap munasabah dan berfakta bagi mengurangkan kerisauan rakyat dan mengembalikan keyakinan terhadap amanah yang diberikan.

RAFIZI RAMLI
AKMAL NASIR
Pengarah Eksekutif NOW
1 Julai 2015

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.